Friday, April 10, 2009

Catatan Pagi

SUDAH 52 TAHUN




Tahun ini, 2009 adalah tahun ke 52 negara kita mencapai kemerdekaan. Dan selama 52 tahun inilah UMNO berkuasa. Perdana Menteri silih berganti, sekarang sudah masuk Perdana Menteri ke-6, setiap kali terlantiknya Perdana Menteri yang baru, pasti ada saja kelainan dan perubahan serta agenda yang dibawa, berbeda dengan Perdana Menteri yang sebelumnya. Ya, memang Melayu yang berkuasa, kerana tanah ini asalnya adalah tanah melayu, tanah hak milik kaum melayu.


Catatan penulis pada pagi ini ialah, apakah yang sudah dilakukan oleh pimpinan Melayu di negara ini selama 52 tahun? Setiap kali berucap, pastinya motto dan agendanya ialah memperjuangkan agama, bangsa, dan negara. Bagi penulis, yang benar-benar berkuasa "veto" ialah UMNO. Lain-lain parti komponen hanyalah sebagai "tukang angguk", jika ada yang berani bersuara, hanya perlu beri sedikit habuan, diamlah ia! Selama ini berbagai dasar yang dibuat oleh kepimpinan Melayu UMNO. Memang penulis tidak dapat menafikan, ada kebaikannya. Tapi perlu diingat, keburukannya lagi banyak. Mungkin pada zaman dulu baru lepas merdeka, kesannya tidak lagi kelihatan.


Tapi, kesan atau implikasi sudah mulai membuahkan hasil pada generasi ini. Saudara/saudari lihatlah keadaan sekeliling kita pada hari ini. Inilah hasil dan akibat daripada "merdeka", tapi pada masa yang sama masih lagi menjadi pencacai British. Kenapa penulis katakan begitu, kerana bagi penulis, merdeka yang kita peroleh pada 52 tahun lepas adalah yang paling tidak wajar dalam sejarah. Tiada negara dalam dunia ni yang betul-betul merdeka tanpa pertumpahan darah. Pemimpin Melayu dulu menerima merdeka, tapi dengan syarat oleh pimpinan British, mereka mesti menerima dan menjalankan dasar-dasar British di Tanah Melayu. Tiada bedanya jika ada British atau tak. Dasar negara ini tetap dan masih lagi di bawah British. Inilah satu pembohongan dan dosa besar yang dilakukan dengan menipu oleh pimpinan-pimpinan Melayu UMNO ketika itu, yang berpendidikan Barat, dan mengikut acuan barat. Melaung dan menghebahkan negara ini adalah negara Islam, tapi hakikatnya saling tak tumpah seperti negara Barat dan bukan Islam. Kita sudah boleh lihat kesannya melanda generasi kita pada hari ini.


Yang muda dengan cara mereka, yang tua nak menanti mati pun ada cara tersendiri. UMNO kata, untuk negara. Soalan penulis, siapakah yang menggadaikan Singapura kepada Lee Kuan Yew? Siapakah yang memperbodohkan diri menjual 1000 gelen air kepada Singapura dengan hanya 3 sen, dan membelinya balik dengan harga 50 sen? Siapakah yang menguar-uarkan tentang wilayah ekonomi, yang warga Singapura turut berpeluang mengaut kekayaan hasil mahsul negara ini? Siapakah yang membuat kerja sambil lewa, membiarkan negara Malaysia adalah negara yang jijik dengan kebanjiran pendatang asing?




UMNO melaung-laungkan lagi. Untuk Bangsa. Soalan penulis, siapakah yang banyak merugikan dan memudaratkan orang Melayu, dari sebelum merdeka hingga sekarang? Siapakah yang menghapuskan tulisan jawi, dan memaksa anak-anak melayu mempelajari ilmu menggunakan bahasa asing, kononnya ia bahasa ilmu?! Siapakah yang menggadaikan Genting Highlands dan Tanah Tinggi kepada orang-orang Cina? Siapa yang banyak memberi kontrak dan tanah kepada saudagar Cina? Siapakah yang menarik balik biasiswa daripada anak-anak melayu yang menuntut di universiti? Bangsa mana yang ramai merempat, hidup miskin dan melarat?? Penulis mencabar pemimpin UMNO, jika benar mereka prihatin terhadap bangsa Melayu. Setiap hari minggu, turunlah ke pusat-pusat bandar. Tengoklah kelakuan muda-mudi Melayu. Siapa puncanya, mereka menjadi macam ni, kalau bukan pemerintah??


UMNO kata, untuk agama. Penulis mempersoalkan, negara ni pakai sistem undang-undang Islam atau kafir? Apakah pemimpin negara ini lebih senang dengan sistem ekonomi dan perundangan daripada kafir Barat laknatullah? Siapakah yang menyebabkan tersebarnya budaya sekular dan liberal, sehingga banyak terhasil NGO-NGO liberalis yang mengaku Islam. Anwar Ibrahim jangan menjawab atau pura-pura melenting jika lihat keadaan sebegini!! Kerana kamu pun sama, dua kali lima! Berfahaman liberal! Siapakah yang menyebabkan para-para mufti haprak diam membisu? Tak berani menegur kemungkaran, sedangkan mereka sudahpun berada di dalam kerajaan. Siapakah yang bertanggungjawab membiarkan anak-anak orang Islam mengikut cara hidup orang kafir laknatullah? Siapakah yang juga membiarkan arak, judi, riba, hiburan tanpa batasan menular di negara ini?




Tidak lain dan tidak bukan ianya adalah UMNO. Mereka mempunyai kuasa, tapi tak memanfaatkannya. Ya, memang tidak dinafikan, mereka banyak juga berjasa terhadap negara ini, terutamanya soal pembangunan. Tapi itu tidak cukup, tidak sebesar sebagaimana masalah-masalah di atas. Penulis sangatlah bimbang jika negara kita ini sedikit masa nanti akan menerima nasib seperti negara jiran kita, Indonesia.. Dahulunya negara itu menjalankan dasar-dasar Islam, tapi akibat daripada pengkhianatan pimpinan mereka dulu, maka lahirlah hasil daripada kerja mereka sekarang ini. Boleh dilihat.


Macam mana nak mencegahnya? Nak harapkan Anwar Ibrahim? saudara-saudara sekalian patut melihat video ucapan beliau semasa berucap di luar negara. Bukan niat penulis mahu menghinanya dan merendah-rendahkan martabatnya. Tapi sikap beliau yang terlalu terbuka dan liberal bila berkenaan dengan Islam, itulah yang membimbangkan penulis. Penulis akan menulis artikel khas nanti berkenaan beliau, jika tiada aral melintang.


Buat masa sekarang, penulis berprasangka baik, masih menyokong dia kerana dia bersama perjuangan kami.


Berbalik pada kenyataan tadi, masih nak harapkan UMNO? Penulis takut membayangkan apalah nasib anak-anak orang Islam tak lama lagi.


Tapi, pada siapa yang patut kita harapkan? yang benar-benar ikhlas berjuang untuk Agama, Negara, dan Bangsa?

Di manakah sebenarnya adanya Harapan Baru Untuk Malaysia?

0 comments: