Monday, June 8, 2009

Ulasan Muktamar

Muktamar PAS Ke-55 telahpun berakhir pada semalam. Apa-apa keputusan yang dibuat oleh parti harus diterima dengan sebulat suara walaupun masih ada suara yang tidak berpuas hati. Demi untuk memantapkan parti. Untuk mengukuhkan parti. Dan mempertahankan parti dari sebarang anasir-anasir yang tidak baik. Ahli-ahli serta pemimpin harus berani untuk menyuarakan pandangan serta pendapat.


Sekarang kita lihat ancaman kepada parti kesayangan kita ini datang dari berbagai penjuru. Baik dari luar mahupun dalam. Ambillah iktibar daripada pergerakan Islam di luar negara seperti Parti Hizbullah di Lubnan serta kerajaan Iran. Kedua-dua ini menerima ancaman baik dari dalam mahupun luar negara. Dari dalam negara mereka berdepan dengan perisik-perisik tajaan Amerika dan Israel laknatullah, mencari maklumat untuk melumpuhkan gerakan Islam. Begitu juga ancaman dari luar negara, cemuhan dari negara anti Islam serta sekatan ekonomi.


PAS jangan menyangkakan mereka terselamat dari sebarang ancaman. Lawan kita yang nyata tentulah UMNO. UMNO sanggup lakukan apa saja demi survivor parti mereka. Sekarang mereka mengalu-alukan akan "perkahwinan" dilakukan antara PAS dan UMNO, demi kepentingan umat Melayu dan Islam kononnya! Bila sudah kalah teruk barulah terhegeh-hegeh nak bermuzakarah. Semasa menang besar pada 2004 dulu, PAS nak bermuzakarah, langsung tak dilayan. Sekarang nak berbaik-baik pula. Kononnya satu kalimah, satu tuhan, dan satu nabi. Baru kutahu rupanya UMNO ni ada tuhan dan nabi. Tak sedar pun selama ini.


PAS sudah banyak kali dipatuk oleh UMNO. Sekarang memang benar dan sahih memang ada beberapa pimpinan PAS yang agak berminat untuk berbaik dengan UMNO. Sebenarnya mereka inilah yang ingin memecahkan jemaah. PAS tak usah mudah lupa diri, mentang-mentanglah menang besar. Jadikan kemenangan demi kemenangan satu muhasabah bagi PAS untuk meneruskan perjuangan sekaligus untuk berdakwah kepada rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat. Bukankah keputusan sebulat suara PAS akan kekal di dalam PR, pada muktamar tahun lepas di Ipoh?


PAS jangan kecewakan harapan menggunung bagi penyokong yang bukan Islam yang bencikan kezaliman dan penindasan yang dilakukan oleh BN selama 52 tahun. Orang bukan Islam tidak lagi takut kepada PAS. DAP juga begitu. Ada diantara pimpinan DAP sudah tidak ada masalah untuk bersama PAS. Contohnya Tan Seng Giaw, Teresa Kok, Lim Guan Eng, dan Nga Kor Ming. PAS juga perlu mengambil pengajaran yang menimpa Parti Keadilan Sejahtera (PKS) di Indonesia. PKS merupakan parti Islam di Indonesia. Pada pilihanraya di Indonesia baru-baru ini, sokongan yang diterima oleh PKS jatuh merudum. Kerana apa? Kerana pimpinan PKS yang berbaik-baik dengan parti Golkar, yang suatu masa dahulu pernah diterajui oleh si kuku besi Suharto.


Rakyat Indonesia masih lagi nostalgik dengan kejahatan Suharto, dan apabila mereka mendapat tahu bahawa PKS berbaik-baik dengan parti Golkar, mereka sepakat untuk tidak mengundi PKS pada pilihanraya. PAS nak juga ke keadaan sebegitu menimpa? Untuk mendapat kuasa kita perlukan sokongan. Dan kita sedia maklum negara kita ini didiami oleh masyarakat majmuk. Kebanyakan tempat ada yang bermajoritikan bukan Islam. Untuk memerintah PAS mesti mendapat majoriti di Dewan Rakyat. Oleh itu sokongan diperlukan dari orang Islam dan bukan Islam. Sekarang orang bukan Islam majoritinya menolak BN. Jika PAS ingin berbaik dengan UMNO, maka kemungkinan besar nasib yang sama menimpa PAS, seperti PKS, iaitu ditolak oleh rakyat pada PRU akan datang.




Pemimpin PAS janganlah tertipu dengan taktik UMNO, yang semata-mata mahu mengekalkan kuasa. Awasi pimpinan yang ingin mendekati UMNO. Kadang-kadang mereka ada mengguna pakai kata-kata dari penasihat mereka, yang menyebabkan banyak kerugian yang menimpa parti. Cuba tengok Terengganu, PAS hanya dapat bertahan sepenggal saja. Dan pada PRU lepas, gagal menawan Terengganu. Sedangkan negeri itu berpotensi untuk jatuh ke tangan PAS. Siapa yang harus dipertanggungjawabkan? Kenapa Terengganu gagal bertahan sebagaimana Kelantan? Ini bergantung pada peranan pesuruhjaya mahupun penasihatnya. Kadangkala pemimpin seperti ini banyak membawa bencana kepada parti.


Oleh itu, PAS kalau ingin maju dan memperkukuhkan sokongan, maka teruslah beristiqamah melawan pihak dan pemerintah yang zalim, dan tidak berminat untuk melaksanakan syariat. PAS harus mendengar amanat yang diberikan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz, yang banyak makan garam, dan memahami tentang sesuatu keputusan yang dibuat. Apa-apa pun perlu dirujuk kepada Mursyidul Am terlebih dahulu.

1 comments:

onn said...

Ulasan yang menarik. Dan kita perlu belajar dari sejarah. Pengalaman Tuan Guru Nik Aziz sudah cukup untuk kita berkongsi bersama.

Dan marilah kita dengar nasihatnya..!!!