Friday, June 26, 2009

Ancaman Terhadap Umat Islam Di Malaysia

Umat Islam di negara ini berada di dalam kedudukan terancam dari beberapa segi. Ini adalah hasil daripada pemerhatian saya sendiri tentang keadaan Islam di negara ini. Saya kemukakan beberapa bukti serta contoh bahawa umat Islam di Malaysia sedang diancam dan berada di dalam keadaan yang lemah. Para penjenguk mungkin boleh bersetuju dengan saya, dan mungkin juga tidak.



Beberapa serangan terhadap Islam di Malaysia dapat saya kategorikan di dalam beberapa jenis iaitu serangan terhadap aqidah, gaya hidup, pemikiran, sistem ekonomi dan pemakanan. Serangan terhadap aqidah ialah berleluasanya gerakan memurtadkan orang Islam di negara ini, kita tidak tahu sudah berapa ramai orang Melayu yang meninggalkan agama Islam. Begitu juga dengan perancangan untuk melemahkan syiar Islam di negara ini yang dilakukan oleh golongan kafir, iaitu cadangan penubuhan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) yang menuntut supaya perlaksanaan Islam di Malaysia dibataskan.




Gerakan kristianisasi hebat dijalankan terutamanya terhadap anak orang Islam, dan gerakan ini juga tertumpu kepada orang Islam yang hidup di dalam kesempitan wang. Golongan kristian dengan mudah saja dapat mengumpan mereka dengan berbagai habuan untuk meninggalkan agama Islam. Sekarang di Malaysia sudah ada paderi-paderi yang terdiri daripada bangsa Melayu. Umat Islam di Malaysia juga semakin berkurangan. Jika dahulu di zaman selepas merdeka, peratusan umat Islam di negara ini melebihi 70%. Tetapi sekarang jumlah itu berkurangan sehingga peratus umat Islam di negara ini hanyalah sebanyak 55%.



Serangan terhadap gaya hidup/kebudayaan pula ialah serangan yang berbentuk mempengaruhi orang Islam di negara ini supaya meninggalkan cara hidup yang dituntut di dalam Islam. Kita dapat perhatikan gaya hidup sama ada golongan muda mahupun tua yang beragama Islam yang mula mengikuti gaya hidup orang kafir. Arak, judi, dan zina dilakukan tanpa rasa takut dan bersalah. Mengapa perkara ini berlaku? Orang kafir banyak mengimport budaya mereka ke dalam negara umat Islam, yang akhirnya gaya hidup sebegitu meresap ke dalam jiwa orang Islam dan sudah menjadi sebati. Yang terbaru ialah Malaysia antara negara yang paling banyak pelacur, seperti yang diberitakan. Ini merupakan satu perkara yang amat serius.



Yang ketiga ialah serangan terhadap pemikiran. Sekarang sudah banyak ideologi yang bersarang di dalam diri umat Islam di sini yang bertentangan dengan ajaran Islam. Fahaman seperti sekularisme, liberalisme, pluralisme, dan feminisme sudah banyak diamalkan oleh orang Melayu Islam di negara ini. Fahaman-fahaman serta corak pemikiran yang jelas bercanggah dengan Islam. Sekularisme telah menyebabkan orang Islam di Malaysia menganggap bahawa Islam merupakan agama ritual semata-mata. Sebarang urusan dunia, politik, kehidupan seharian, pemerintahan, undang-undang, sistem ekonomi - semua ini tidak bersangkut paut dengan Islam.



Fahaman liberalisme merupakan fahaman yang menuntut akan kebebasan dan keterbukaan kepada manusia, tanpa batasan. Fahaman inilah yang banyak dianuti oleh umat Islam di Malaysia. Sehingga menyebabkan agama Islam itu disalah tafsirkan. Pluralisme pula ialah fahaman yang meletakkan bahawa semua agama adalah setaraf. Ini bercanggah dengan al-Qur'an yang mengatakan bahawa agama di sisi Allah hanyalah Islam (ali-Imran : 19). Dan feminisme ialah fahaman yang mahu meletakkan dan menyama tarafkan wanita dengan lelaki, sehingga mereka mempersoalkan hukum di dalam al-Quran, contohnya poligami dan faraid.


Sistem ekonomi pula mereka mengagungkan sistem kapitalis yang mengamalkan penindasan terhadap golongan bawahan. Mereka yang mengamalkan sistem ini hanya mementingkan untung semata-mata, walaupun perbuatan tersebut bertentangan dengan Islam. Riba dilaksanakan dengan meluas. Golongan yang kaya bertambah kaya, sedangkan yang miskin bertambah merempat.



Dan yang terakhir ialah serangan terhadap pemakanan. Boleh ke kita pastikan bahawa makanan yang masuk ke dalam perut kita merupakan makanan yang benar-benar halal? Memang betul kita memperoleh makanan tersebut dari wang dan sumber yang halal, tapi adakah bahan makanan tersebut halal? Belum tentu, walaupun luarannya nampak halal. Kesan kepada umat Islam apabila memakan makanan yang haram ialah ia boleh menggelapkan hati, dan menyebabkan ilmu sukar memasukinya. Selain itu, ia turut menjadi penghalang kepada doa kita daripada dimakbulkan oleh Allah S.W.T.



Adakah kita boleh memastikan ayam yang kita makan tiap-tiap hari disembelih mengikut syarak? Bagaimana pula kita mahu memastikan bahawa daging burger dan sosej yang dimakan benar-benar bebas daripada sebarang unsur daripada babi? Begitu juga dengan ikan air tawar seperti keli dan patin. Bagaimana dengan gelatin dan lemak babi yang digunakan agak meluas di dalam industri pemakanan? Belum tentu ianya halal walaupun terdapat cop halal. Dan masakan-masakan di hotel juga perlu diambil kira.



Kesimpulannya, kesemua di atas telah menghakiskan keislaman terhadap orang Melayu di Malaysia. Agak malang perkara-perkara di atas hanya dipandang sebelah mata saja oleh pihak yang sepatutnya seperti para mufti, ulama', pemerintah, dan lain-lain. Semakin lama, Islam semakin lemah di bumi Malaysia, jika dibiarkan ianya berterusan, maka Islam di Malaysia menerima nasib yang sama seperti Indonesia dan Turki.

0 comments: