Saturday, June 20, 2009

Surat Terbuka Kepada Ustaz Nik Abduh


Assalamu'alaikum w.b.t
Kepada al-fadhil Ustaz Nik Abduh, semoga Allah SWT memberi kesihatan serta kekuatan kepada ustaz dalam menghadapi berbagai ujian dan halangan. Diharap Ustaz bersama keluarga hidup di dalam limpahan rahmat Allah SWT hendaknya.
Tujuan saya menulis surat terbuka ini kepada ustaz hanyalah untuk menyatakan keresahan dan kebimbangan saya sejak akhir-akhir ini apabila melihat keadaan jemaah parti sudah mula retak, dan takut-takut jika dibiarkan terlalu lama, maka sejarah lama yang menimpa Almarhum Dato' Asri mungkin berulang buat kali kedua.
Walaupun saya bukanlah ahli berdaftar kepada gerakan Parti Islam Se-Malaysia (PAS), namun saya sangat cakna kepada perkara yang menimpa parti kesayangan saya ini, memandangkan inilah satu-satunya parti yang memperjuangkan al-Qur'an dan as-Sunnah di negara Malaysia yang dicintai ini.
Semenjak saya membaca posting ustaz di http://nikabduh.wordpress.com/ saya menjadi kagum terhadap ustaz yang membongkarkan "rahsia di dalam rahsia". Akhir-akhir ini keadaan di dalam parti semakin kucar-kacir semenjak idea Kerajaan Perpaduan dimainkan semula oleh sesetengah pihak. Dan ketika inilah pertama kali saya menyaksikan orang bawahan dan penyokong sanggup memaki hamun dan menyumpah pemimpin sendiri. Manakala di pihak atasan pula ada yang cuba menangguk di air yang keruh.
Tuan Guru Presiden terpaksa berangkat ke luar negara buat sementara waktu, dan sambil menerangkan kepada rakyat Malaysia di sana. Manakala Timbalan Presiden pula sudah menghilangkan diri, sidang parlimen pun tidak dihadiri. Setiausaha Agung pula diam membisu seribu bahasa, walaupun dia sudahpun mengeluarkan kenyataan bahawa semua pihak hendaklah berhenti bercakap mengenai Kerajaan Perpaduan.
Namun, mulut manusia tidak boleh ditutup sebagaimana mulut tempayan. Di kedai kopi, kedai gunting rambut, warung-warung, kaki lima, dan alam maya sekalipun isu ini menjadi tajuk perbualan utama dan menjadi topik yang hangat. Pemimpin UMNO pula terlalu teruja sehinggakan mendapat reaksi positif daripada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, dan juga Ketua Pemuda UMNO.
Ditambah lagi dengan kali pertama Tuan Guru Mursyidul Am, yang merupakan ayahanda Ustaz, memberitahu kepada wartawan tentang Timbalan Presiden. Jika Timbalan Presiden berminat juga untuk meneruskan agenda Kerajaan Perpaduan, lebih baik dia meletakkan jawatan selaku Timbalan Presiden PAS dan Ahli Parlimen Bachok, kemudian sertai UMNO. Kenyataan ini mengejutkan semua pihak. Dan juga tindakan 10 orang Ahli Parlimen PAS yang menyokong Mursyidul Am tentang penolakan Kerajaan Perpaduan. Ini "mungkin" akan memburukkan keadaan di dalam parti dan juga pakatan pembangkang.
Seperti yang semua maklum, Tuan Guru Mursyidul Am lah yang paling keras menolak idea yang disampaikan oleh Tuan Guru Presiden. Beliau masih tidak dapat melupakan kezaliman UMNO yang menyingkirkan PAS pada 1978 dan seterusnya merampas Kelantan dengan cara yang tidak wajar. Dan juga Kelantan dianak tirikan selama 18 tahun. Tapi benarkah Kerajaan Perpaduan seperti yang difahamkan oleh Tuan Guru Mursyidul Am sama seperti Kerajaan Perpaduan yang berasal dari Tuan Guru Presiden? Benarkah Tuan Guru Mursyidul Am mengeluarkan kenyataan "keras" beliau tanpa "dicucuk" oleh sesiapa? Saya harap Ustaz siasat.
Saya pun buat masa sekarang tidaklah menyokong sebarang rundingan dan perbincangan dibuat dengan UMNO, namun saya tidaklah membenci mereka yang menyokong idea ini, sama ada sokong secara terang-terangan mahupun secara diam. Dalam masa yang sama, saya turut menyokong golongan yang menentang idea ini, namun bukanlah sokong sepenuhnya. Kerana bagi saya kedua golongan ini ada bahagian baiknya, dan ada bahagian buruknya. Kecuali beberapa pimpinan yang sudah dikenal pasti sebagai "gunting di dalam lipatan,"
Ustaz Nik Abduh, sejarah juga telah memceritakan bahawa penasihat memberi peranan yang besar di dalam sebarang keputusan yang bakal dibuat oleh seseorang pemimpin. Saya bawakan kisah Firaun dan wazirnya, Haman. Kerana di dakwah oleh Nabi Musa A.S, Firaun telah hampir-hampir memeluk Islam, tetapi hasrat Firaun itu telah ditegah oleh Haman, yang menyebabkan Firaun membatalkan niatnya, dan terus menerus mengancam Nabi Musa. Begitu juga dengan dakwah Rasulullah S.A.W melalui surat kepada Maharaja Rom, iaitu Hercules. Hercules juga telah hampir-hampir memeluk Islam, tapi ditegah oleh pembantunya dengan mengatakan, Hercules akan kehilangan takhta dan harta jika memeluk Islam. Hercules juga membatalkan hasratnya untuk memeluk Islam, sama seperti Firaun.
Saya menyebut kisah di atas sebagai respons kepada tulisan ustaz di blog yang menyiarkan kisah "wazir-wazir" yang berada di sekeliling Tuan Guru Mursyidul Am. Benarkah Tuan Guru berkeras mengenai Kerajaan Perpaduan atas dasar pendiriannya, bukan "dinasihati" oleh orang yang mahu melagakan kedua-dua Tuan Guru? Siapa? Jika Tuan Guru Presiden mempunyai "orang di belakangnya", maka siapakah "orang di belakang" Tuan Guru Mursyidul Am? Betulkah kali ini "mee-mee celup" tidak punyai peranan terhadap isu Kerajaan Perpaduan?
Saya bimbang, jika pemimpin atasan tersilap langkah, ia mendatangkan kerosakan besar di dalam jemaah. Saya harap sangat jemaah ini kembali sedia kala, seperti dahulu. Saya yakin Ustazlah yang benar-benar memahami ayahanda ustaz, kerana bukan setahun dua ustaz mengenali beliau, tapi sudah 40 tahun hidup serumah. Pasti Ustaz faham benar mengenai kelakuan ayahanda Ustaz, selain daripada kekanda dan ibunda ustaz sendiri. Saya harap Ustaz berani tampil ke hadapan untuk menyatakan kebenaran.
Sekian.
Reformis Jalanan,
Bangi, Selangor Darul Ehsan, 10.26 AM

0 comments: