Tuesday, June 9, 2009

PAS : Dulu & Sekarang - Masihkah Kau Ingat?





Masihkah kau ingat..?



PAS bermula sebagai Persatuan Ulama' Se-Malaya yang ditubuhkan oleh Haji Ahmad Fuad Hassan, bekas ulama' di dalam UMNO, yang keluar daripada UMNO akibat tidak bersetuju dengan cara UMNO mengumpul dana melalui jalan yang salah, iaitu mengadakan fun-fair dan loteri. Tujuan Persatuan Ulama' Se-Malaya ditubuhkan ialah untuk mengajak semua ulama' di Tanah Melayu bergabung di dalam satu platform, dan untuk mentadbir negara ini dengan syariat, di samping menegur pemerintah yang membuat kesilapan.



Kemudian ia bertukar menjadi Persatuan Islam Se-Malaya dan Parti Islam Se-Tanah Melayu (PAS). Kepimpinannya bertukar dan bersilih ganti. Dari Haji Ahmad Fuad Hassan, bertukar kepada Dr. Burhanuddin al-Helmy sebagai Yang Di-Pertua. Perkara utama yang perlu diselesaikan pada ketika itu ialah menubuhkan cawangan di seluruh pelusuk negara. Dan ketika itu hanya terdapat 13 cawangan sahaja. Para pimpinan ketika itu bekerja keras demi memastikan PAS mendapat tempat di hati rakyat. Kemudian PAS menyertai pilihanraya, untuk merealisasikan matlamat dan perjuangan mereka. Tidak kurang dengan ancaman serta gangguan dari musuh mereka, iaitu UMNO.



Sekarang, PAS sudah menang besar, dan mempunyai 3 MB daripada PAS. Banyak kerusi parlimen dan DUN dimenangi oleh PAS. Jika perkara ini diketahui oleh pimpinan yang dulu-dulu, yang berhempas pulas untuk menubuhkan cawangan, serta Haji Ahmad Fuad Hassan, Dr. Burhanuddin, dan Prof. Zulkifli Mohammad, pasti mereka semua mengalirkan airmata kegembiraan... Masihkah kau ingat?



Masihkah kau ingat...?



PAS menang besar pada pilihanraya tahun 1959, dengan menubuhkan kerajaan campuran di Terengganu, dan seterusnya berjaya menawan Kelantan. Tapi akibat daripada permainan jahat UMNO, dengan menyebabkan beberapa wakil rakyat dari kerajaan campuran di Terengganu berpaling tadah, mengakibatkan kerajaan PAS Terengganu hanya bertahan sehingga 1961 sahaja. Usaha jahat UMNO tidak terhenti setakat itu. Kemudian mereka berusaha untuk merampas Kelantan dari genggaman PAS. Kalau boleh UMNO mahu memastikan mereka selama-lamanya berkuasa, dan menanamkan doktrin kepada orang Melayu bahawa negara ini mak bapak UMNO yang punya..



Usaha merampas Kelantan dengan cara yang salah.. cubaan demi cubaan dilakukan, dengan menyebabkan berlaku beberapa pilihanraya kecil di Kelantan, dengan "menyebabkan" beberapa wakil rakyat dari PAS mati "terbunuh". Tapi nasib tidak menyebelahi UMNO. Mereka kalah di semua Pilihanraya kecil di Kelantan. Kemudian timbul pula peristiwa "turn about about turn", iaitu dengan menculik 5 orang ADUN Kelantan, termasuk Speaker. Berlaku pada tahun 1968, selepas Pilihanraya Kecil Parlimen Bachok Utara. Bermacam-macam cara dibuat termasuk dikurung, untuk memastikan mereka akan berpaling tadah kepada PAS dan melompat ke dalam UMNO. Tapi kuasa Allah mengatasi kehendak manusia, apabila tibanya sidang DUN Kelantan, usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Kelantan iaitu Dato' Asri tidak menjadi, kerana kelima-lima ADUN tersebut mempunyai pendirian serta prinsip yang tidak bisa digugat oleh UMNO. Cubaan UMNO untuk merampas Kelantan gagal. Masihkah kau ingat?



Masihkah kau ingat..?



Akhirnya UMNO berjaya juga memujuk PAS menyertai Parti Perikatan, seterusnya membentuk Barisan Nasional pada 1974. PAS menyertai Perikatan melalui Presidennya, Dato' Asri. Beberapa pimpinan PAS dilantik menjadi menteri. Hubungan PAS-UMNO ketika itu agak baik, tapi hanya dalam waktu yang singkat. UMNO mendesak PAS melantik Muhammad Nasir yang tidak mendapat sokongan padu daripada ahli PAS menjadi MB Kelantan. Ini kerana UMNO mempunyai perancangan tersendiri. Akhirnya bibit-bibit perpecahan mulai timbul. PAS mula didiskriminasi. Felda diharamkan bagi orang PAS. Kemudian berlaku krisis di PAS Kelantan. Muhammad Nasir didesak meletak jawatan sebagai MB. Dia kecewa, kemudian menubuhkan BERJASA (Barisan Jamaah Islamiyyah Se-Malaysia). Keadaan Muhammad Nasir berjaya menarik simpati rakyat Kelantan, yang beranggapan bahawa Muhammad Nasir dianiayai.
Seterusnya Kelantan diisytihar darurat dan diletakkan di bawah Mageran. Pilihanraya diadakan. Pada 1978 inilah disaksikan PAS tersungkur di Kelantan, dan juga disingkir dari Barisan Nasional. BERJASA menyertai UMNO. Inilah pengkhianatan serta taktik jahat UMNO. Ianya tak terhenti setakat itu sahaja. PAS terus dianiayai oleh UMNO. UMNO dengan sedaya upaya menyekat kemaraan PAS. Dan apabila PAS bangkit semula pada tahun 80-an, bermacam-macam fitnah yang ditaburkan oleh UMNO terhadap PAS. Kerana pada waktu itu lahir beberapa pemimpin PAS yang berkarisma, dan mampu menarik minat rakyat. Antaranya ialah Tuan Guru Haji Hadi dan Ustaz Fadzil Noor. Oleh kerana terdesak, UMNO sanggup menyekat kemaraan PAS Baling dengan membunuh penyokong-penyokong PAS di dalam peristiwa Memali pada 1985.
Kemudian UMNO menyebarkan dakyah kepada rakyat bahawa perjuangan PAS merupakan perjuangan ekstrim, serta menyelewengkan Amanat Haji Hadi, dan membuat babak 2 orang imam solat di sebuah masjid di Terengganu. Kemudian UMNO mendakwa Haji Hadi dan Ustaz Fadzil mengaku menjadi nabi. Masihkah kau ingat?
Masihkah kau ingat..?
Pada muktamar PAS tahun 1982, yang merupakan muktamar yang memalukan apabila para perwakilan PAS mendesak supaya Dato' Asri meletakkan jawatan, dengan melaungkan "marakbar Asri" (pergi mampus Asri). Dato' Asri kemudiannya meletakkan jawatan dan menubuhkan Hizbul Muslimin Malaysia (HAMIM) bersama pengikutnya. Kemudian Dato' Asri meninggalkan HAMIM dan menyertai UMNO pada 1988.
Pada 1986, menjelang PRU, kali pertama PAS menyertai PRU dalam keadaan dipimpin oleh Ulama'. Pada ketika itulah PAS mendapat sokongan daripada bukan Islam. Sokongan terhadap PAS naik mendadak. Satu pertubuhan cina yang dipanggil CCC (maaf, saya terlupa apakah CCC ini) berunding dengan PAS, untuk menghadapi PRU yang akan datang. Perkara ini sampai kepada pengetahuan UMNO. Sekali lagi UMNO resah. Akibat terdesak, UMNO mengadakan "perjumpaan sulit" dengan pimpinan PAS. Perjumpaan yang tidak diketahui oleh sesiapa. Ketika itu, pemimpin UMNO yang menghadiri perjumpaan sulit itu ialah Mahathir dan Anwar Ibrahim.
Perjumpaan sulit itu tamat di situ. Akan tetapi, sekali lagi UMNO dengan perangai syaitannya menghebohkan tentang pertemuan itu. Para penyokong, rakyat, serta penyokong bukan Islam (termasuk CCC) berasa mereka dikhianati. Akibatnya, PAS kalah teruk pada PRU tahun 1986, dan hanya memperoleh 1 sahaja kerusi parlimen. Masihkah kau ingat?
Masihkah kau ingat..?
Pada PRU tahun 1990, PAS berjaya menguasai Kelantan, dengan berpakat dengan Semangat 46, HAMIM dan BERJASA (Angkatan Perpaduan Ummah). Kelantan yang diketuai oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz membuat beberapa perubahan di Kelantan berdasarkan firman Allah di dalam al-Qur'an dan sabda nabi di dalam hadis. Riba diharamkan di Kelantan. Begitu juga judi. Penjualan arak hanya kepada bukan Islam, dan kedai kerinting rambut ditutup. Apa kaitannya dengan UMNO? UMNO melalui kerajaan pusat mendiskriminasi kerajaan PAS Kelantan, dengan melambatkan dana yang disalurkan, serta beberapa projek yang sepatutnya diperolehi Kerajaan Kelantan, dibatalkan. Tapi Kelantan berjaya bertahan sehingga sekarang, dengan berkat dan karamah daripada Tuan Guru Nik Abdul Aziz.
Pada 1999, PAS menang besar, Terengganu menjadi negeri kedua kepunyaan PAS. PAS menang besar kerusi di Parlimen. Kali ini PAS menjadi Ketua Pembangkang. Tapi hanya seketika. Ditambah dengan pemergian Ustaz Fadzil yang dikasihi. Kemenangan yang besar itu telah membuatkan PAS menjadi besar kepala dan lupa diri, terutamanya di Terengganu. Mereka menyangkakan rakyat sudah menyokong mereka. Sedangkan umum kita ketahui pada waktu itu orang Melayu berasa sangat marah terhadap Mahathir kerana penganiayaannya terhadap Anwar Ibrahim.
Akibat daripada itu, ditambah dengan kebongkakan beberapa pimpinan PAS, akhirnya kerajaan PAS hanya bertahan 1 penggal sahaja, sebelum dirampas oleh UMNO pada 2004. PAS kalah teruk. Beberapa ketika UMNO memerintah Terengganu, PAS dianiayai, PAS diburukkan melalui media. UMNO merobohkan rumah rakyat di Kemaman. UMNO bersikap kurang ajar di Dewan Undangan Negeri Terengganu. Lupakah Mustafa Ali akan hal ini? Lupakah Haji Hadi akan perkara ini? Lupakah beberapa pimpinan PAS Terengganu akan hal ini? Masihkah kau ingat kejahatan UMNO terhadap PAS, dari dulu hingga sekarang? Masihkah kau ingat?
Masihkah kau ingat..?
PAS kembali semula mendapat sokongan daripada rakyat, akibat daripada kelemahan ketara kerajaan Malaysia pimpinan Abdullah Badawi. PAS Terengganu yakin mereka dapat menawan Terengganu. PRU ke 12 bermula pada 2008. PAS Terengganu terlalu over confident. Di tambah lagi Mustafa Ali sebagai Pesuruhjaya. Akhirnya PAS gagal juga menawan Terengganu. Akibat terlalu yakin, apabila terlalu yakin, kuranglah membuat kerja. Tetapi di negeri lain PAS menang dengan bergaya. Juga sumbangan daripada undi kaum bukan Islam.
Tapi sayangnya. Pimpinan PAS masih lagi tidak berubah. Menang besar kali ini juga membuatkan mereka lupa diri. Mereka dengan mudah termakan dengan jerat UMNO yang sudah nyawa-nyawa ikan, UMNO mahu berunding. PAS dengan senang saja menerima, seakan-akan lupa kejahatan UMNO dahulu dan sekarang. Apa sudah jadi? Di Selanggor, akibat melawan rundingan itu, Khalid Samad serta Saari Sungib disingkirkan. Di Perak pula, Ustaz Ahmad Awang mendakwa ada pimpinan PAS yang menghasut beliau supaya menerima kerjasama PAS-UMNO di Perak.
Kemudian Haji Hadi mengumumkan pula akan idea Kerajaan Perpaduan. Ia mendapat tentangan keras daripada pimpinan serta penyokong PAS. Memang ada yang berperanan besar di sebalik Presiden PAS itu. Dah lah 16 September gagal kerana orang ini. Semuanya gara-gara pimpinan PAS Terengganu. Kemudian kritikan Tuan Guru Nik Abdul Aziz tidak disiarkan di Harakah. Apa kena dengan Mustafa Ali ini? Apa masalah dia? Dialah yang banyak mempengaruhi Tuan Guru Haji Hadi. Kesian Haji Hadi, kerana masalah sekarang, imejnya sudah tercemar teruk selaku orang alim.
Pemilihan Timbalan Presiden PAS juga memihak kepada calon pro-muzakarah dengan UMNO. Sudah tentu perwakilan yang banyak memeri sokongan kepada calon pro-UMNO ini adalah perwakilan daripada Terengganu! Dan memang kelihatan bahawa Nasharuddin dan Mustafa Ali ini satu kapal. Nasharuddin juga sudah berani membidas kenyataan Nik Aziz. Di mana wala' kepada ketua parti? Adakah dengan kemenangan besar PAS, kamu semua sudah lupa diri?
Demi parti, demi perjuangan Islam, demi matlamat, demi Tuan Guru, demi penyokong-penyokong, demi kekuatan serta keutuhan parti, demi ukhuwwah di dalam jemaah, demi rakan-rakan Pakatn Rakyat, PAS TOLONG JANGAN BERI MUKA KEPADA UMNO. Masihkah kau ingat? Masihkah kau ingat..?
Catatan serta nukilan ini saya tekankan beberapa perkara;
1. PAS mesti menjaga keutuhan parti. Elakkan perpecahan. Lupakan saja untuk berunding dengan UMNO.
2. PAS tolonglah kenang akan perkara yang menimpa UMNO pada lewat 80-an, dengan terdapat dua kem, iaitu Team A dan Team B. Hendak ke PAS juga mengalami perkara sebegitu???
3. Khusus kepada mereka yang selalu berkata "buat apa pandang ke belakang", "barang yang lepas jangan dikenang". Mereka semua ini tidak gunakan akal dengan betul, kerana mengenang perkara yang lepaslah kita dapat jadikan pedoman serta iktibar bagi kita untuk menempuhi perkara yang akan datang.
4. Pimpinan PAS yang masih lagi degil, ingatlah jangan biarkan ahli PAS memperlakukan kamu SERUPA dengan apa perwakilan PAS memperlakukan Dato' Asri pada muktamar tahun 1982. Jangan biarkan mereka mendesak kamu semua berundur.

1 comments:

Sayang TGNA said...

Semuanya dah tak ingat..
Kerana Melayu mudah lupa..