Thursday, June 18, 2009

Amaran dan amarah Tuan Guru Nik Aziz


Tak pernah dilihat kenyataan dan percakapan Tuan Guru Nik Aziz sebegitu lantang dan keras terhadap partinya sendiri sebelum ini. Namun ianya terhambur dari mulutnya semalam, sewaktu sidang media selepas Mesyuarat Exco. Beliau menyuruh Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa meletakkan jawatan dan menyertai UMNO kalau mahu meneruskan agenda kerajaan perpaduan. Itulah reaksi beliau apabila Nasharuddin dilihat terus memperjuangkan idea tersebut.
Dan juga mengatakan Nasharuddin hanya membuat sampah yang mengotorkan PAS, dan sudah merosakkan perpaduan yang sedia ada di dalam PAS. Selain itu TGNA turut berkata jika Nasharuddin benar-benar setuju maka lebih baik dia meletakkan jawatan sebagai MP Bachok dan sertai UMNO. Ini kerana Nasharuddin menyambut baik kenyataan Najib yang mengatakan PAS ikhlas dalam soal kerajaan perpaduan. Khairy Jamaluddin, dan Syed Ali al-Habshee turut memberi reaksi positif.
Berdasarkan kenyataan sebegitu, bagi saya ia bukannya arahan untuk meletakkan jawatan, sebaliknya ia lebih kepada bersifat amaran. Amaran yang keras. Kenapa dua tiga kerat "puak-puak" ini masih lagi berdegil untuk teruskan agendanya sedangkan penyokong dan pemimpin sendiri membantah dengan keras? Tak faham ke? Memang PAS tidak memerlukan orang seperti Nasharuddin, dan satu lagi, sepatutnya TGNA turut menyebut nama Mustafa Ali, salah seorang penyokong kuat idea ini. Memang kedua-dua makhluk ini adalah perosak.
Tapi jika difikirkan dari sudut lain, benarkah kenyataan tersebut adalah betul-betul kenyataan TGNA tanpa "dicucuk" oleh sesiapa? Kita sendiri sedia maklum TGNA sudah beberapa kali melakukan kesilapannya akibat daripada kenyataannya sendiri yang "terlalu awal". Kalau orang yang berdiri di belakang Abdul Hadi adalah Mustafa Ali, siapa pula orang yang berdiri di belakang Nik Aziz?
Dengan ini, TGNA sendiripun telah melakukan kesilapan di Kelantan dengan membiarkan 2 kerusi parlimennya dipegang oleh orang yang tidak sepatutnya; iaitu Pasir Mas dan Bachok. Sekarang PAS berada di dalam keadaan yang sangat bercelaru. Gara-gara isu Kerajaan Perpaduanlah. Seperti posting yang dibawah, PAS perlu mencabut duri di dalam daging parti itu untuk mengembalikan keadaan seperti sedia kala.
Si Nasharuddin masih lagi membisu tentang Leftenan Jeneral Wan Abu Bakar, tentang agenda Task Force 2010. Kalau dia nak sangat berpadu dengan UMNO, lebih baik dia pergi sorang, bawa sekali Mustafa Ali. Tak payahlah nak libatkan parti pula. Lagipun, menurut Pengarah Pilihanraya PAS Pusat, Dato' Abdul Halim Abdul Rahman, yang juga MP Pengkalan Chepa, menjelaskan di dalam Dewan Rakyat sebagai respon kepada MP Putaan, Marcus Mojinggoh tentang Kerajaan Perpaduan. Beliau menjelaskan isu kerajaan perpaduan tidak pernah dibincangkan dalam mana-mana peringkat yang beliau menjadi anggotanya sebelum ini termasuklah Majlis Syura Ulama, Jawatankuasa PAS Pusat dan Jawatankuasa Politik PAS.
Sama seperti kenyataan TGNA sebelum ini yang menyatakan bahawa isu Kerajaan Perpaduan juga tak pernah dibincangkan sama ada di dalam PAS atau Pakatan Rakyat. Tapi ada yang ada ialah hanyalah pertemuan 8 mata di antara TGNA, Haji Hadi, Haron Din dan Anwar Ibrahim. Nasharuddin kalau dia faham akan kenyataan marah Nik Aziz itu pasti dia akan membuat kenyataan bahawa ianya hanyalah pandangan peribadi dia. Dan selepas itu pergi berjumpa dengan TGNA.
UMNO pasti sedang berpesta kerana melihat keretakan di dalam PAS. Bila dah kalah teruk baru teringat soal perpaduan Melayu, baru ingat tentang Islam. Sebelum ni jangan kata nak kembali kepada Islam, hampir tiap-tiap minggu atau bulan hentam PAS. Lebih-lebih lagi bila dekat pilihanraya. Si Khairy Jamaluddin pula dulu sengaja mempermainkan hudud apabila menjerat Husam di dalam debat. Lepas itu menggelarkan PAS sebagai "kluk-klek" sewaktu PRK Kuala Terengganu beberapa bulan lepas. Sekarang terhegeh-hegeh mahukan PAS pula.
UMNO penuh dengan muslihat dan tipu daya. Hati-hatilah bila musuh selalu memuji kita, dan tiba-tiba menaikkan kita. Lihat di TV, nama Nasharuddin selalu disebut-sebut. Habis rosak parti kalau dibiarkan lama-lama.

1 comments:

Anonymous said...

jangan duk tolol dan degil, dah la tepon tak dapat dihubungi, lepas 5 hari keluar jadi wakil bebas kut, huh