Saturday, May 2, 2009

Mohamad Sabu Timbalan Presiden PAS


1. Tak lama lagi, berlangsunglah Muktamar Tahunan PAS, yang kali ini bertempat di Stadium Malawati, Shah Alam. Pemilihan pucuk pimpinan parti ini pasti meriah kerana beberapa pemimpin bakal "bertukar kerusi", dan juga ada muka baru yang mahu bertanding. Penulis hanya ingin memfokuskan kerusi Timbalan Presiden yang agak "panas".


2. Beberapa nama pemimpin timbul untuk mencabar Ust. Nasharuddin di kerusi no.2 parti itu. Nama-nama tersebut ialah Mohamad Sabu, Husam Musa, Dr. Haron Din, Ust. Azizan Razak, dan Hassan Ali. Bagi penulis, penulis bersetuju jika Tuan Haji Mohamad Sabu dipilih menduduki kerusi Timbalan Presiden bagi menggantikan Nasharuddin Mat Isa. Ada beberapa sebab kenapa penulis amat berharap supaya beliau menduduki tempat itu. Sebelum itu, penulis ingin menyatakan sebab kenapa nama-nama selain dari Mat Sabu atau Abang Mat tidak perlu menduduki kerusi tersebut.


3. Datuk Husam Musa merupakan orang yang agak "dingin", dan juga kurang mesra alam, terutamanya bila berhadapan dengan orang yang tidak dikenali. Lagipun, beliau masih perlu menjalankan tugas beliau dengan teliti sebagai seorang exco kerajaan negeri Kelantan, dan juga sebagai ADUN. Dia ini juga dilihat agak "tidak kena", kerana begitu bernafsu mahukan jawatan no.2 dalam parti, dan seperkara lagi, dia dilihat agak pro kepada Anwar Ibrahim, dan juga dari kalangan profesional-liberal.


4. Bagi Dato' Dr. Haron Din pula, eloklah beliau mengekalkan saja jawatan sebagai Timbalan Mursyidul Am, kerana pemimpin seperti beliau lebih sesuai untuk memimpin rohani, dan lebih bagus jika beliau membantu tugas Tuan Guru Nik Aziz, Mursyidul Am PAS. Ustaz Azizan Razak, tanggungjawab beliau agak berat, kerana perlu menjaga negeri Kedah, kerana beliau adalah seorang Menteri Besar, dan juga ADUN Sungai Limau, jadi, dikhuatiri beliau kurang menumpukan perhatian jika jawatan serta tugasnya terlalu banyak.


5. Dan pendapat bagi Hassan Ali, dia juga mempunyai tugas tersendiri, sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor, exco kanan kerajaan Selangor, dan juga ADUN Gombak Setia. Masalah di MAIS pun dia dah pening kepala, inikan pula nak tambah bebanan nakkan kerusi Timbalan Presiden. Tumpukan saja kerja di Selangor tu! Jangan nak sibuk-sibuk ambil bahagian nak bertanding.


6. Kenapa Mohamad Sabu layak menduduki tempat Timbalan Presiden, untuk membantu Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang selaku presiden, kerana beliau bukannya seorang ADUN mahupun Ahli Parlimen. Jadi beliau tidak banyak tugas untuk diselesaikan, dan hanya perlu menumpukan perhatian terhadap jawatan Timbalan Presiden sahaja, disamping membantu tugas Presiden parti.


7. Beliau seorang yang mudah mesra, walaupun terhadap orang yang masih belum dikenali. Tidak lokek dengan senyuman, berbeda jauh dengan Husam Musa. Penulis masih ingat, betapa ramahnya Mohamad Sabu ini semasa penulis makan semeja dengannya sewaktu beliau datang ke Kuala Terengganu, dan juga perbualan penulis dengannya sewaktu di Masjid Negeri. Memang seorang yang mesra dan senang mendampingi orang-orang bawahan. Lagipun, bagi penulis, Mohamad Sabu ini adalah "diantara" golongan profesional dan golongan agama. Kedudukannya adalah ditengah-tengah.


8. Mohamad Sabu merupakan antara pemimpin PAS yang banyak menerima ujian dan dugaannya, contohnya pernah dikenakan ISA, beberapa kali ditahan polis, dilokap,turun naik mahkamah, dan lain-lain. Selalu berada di mana-mana demonstrasi, malah memimpin perhimpunan dan perarakan aman. Beliau juga seorang pemimpin yang lantang jika berucap, walaupun kadangkala agak celupar. Walaupun celupar, elok juga, ia boleh mengimbangkan di antara presiden dengan timbalan presiden. Jika presiden PAS nadanya lembut, maka timbalannya mestilah sebaliknya.


9. Dan yang paling penting, Mohamad Sabu merupakan orang yang arif dan faham akan perangai Anwar Ibrahim, kerana beliau pernah duduk di dalam ABIM, maka beliau boleh "mengawasi" tindak tanduk politik Anwar Ibrahim. Beliau juga pernah menjadi "seteru" Anwar. Ini boleh dipastikan supaya unsur-unsur mahupun anasir-anasir Anwar Ibrahim dapat dihalang dan juga dibendung daripada merebak ke dalam PAS. Kalau tidak, apa bedanya antara PAS dan PKR.


10. Inilah diantara alasan penulis yang menginginkan Tuan Haji Mohamad Sabu menjadi Timbalan Presiden PAS. Harap menjadi kenyataan. Sekian.

0 comments: