Ini merupakan kali ketiga saya berbicara mengenai PPSMI di dalam blog ini. Saya hairan kenapa pihak pemerintah susah sangat untuk memberi kata putus mengenai isu ini, setelah rakyat, para pencinta bahasa, dan sasterawan negara bersusah payah berarak dari Masjid Negara ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum, pada 7 Mac lalu. Di tambah lagi dengan hadiah kesakitan yang diberikan oleh unit beruniform yang berupa gas pemedih mata, air, dan cota.
Saya memang berterus terang, saya bencikan PPSMI, saya tak setuju dasar seumpama begitu dilaksanakan di negara ini. Negara Malaysia bermajoritikan bangsa Melayu, tapi malangnya bahasanya diketepikan dan tidak diambil peduli oleh pemerintah yang juga berbangsa Melayu. Mereka tidak sedar perbuatan mereka telah mengecewakan sebahagian besar anak-anak Melayu, yang kebanyakannya gagal di dalam mata pelajaran Matematik dan Sains, yang rata-ratanya berasal dari kawasan pedalaman. Dasar sebegini sudah dikira gagal, kerana ia hanya menjayakan segelintir dari kalangan pelajar sahaja.
Saya tidak sempat merasai PPSMI, tapi saya seolah-olah merasainya sekarang kerana di IPT bahasa pengantarnya juga di dalam Bahasa Inggeris. Hanya orang bodoh saja yang mengatakan PPSMI memudahkan pelajar bertutur di dalam Bahasa Inggeris apabila di peringkat IPT nanti. Soal saya, berapa ramai yang benar-benar boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris di IPT? Kebanyakan yang saya jumpa, mereka cakap pun tunggang langgang bahasanya. Hakikatnya, ramai lagi pelajar IPT yang tidak boleh berbahasa Inggeris dengan baik. Cuba lihat waktu dahulu, zaman di mana PPSMI belum lagi wujud, dan bahasa pengantar di IPT masih lagi berbahasa ibunda. Ramai yang boleh bertutur dalam bahasa Inggeris dengan baik, walaupun tanpa PPSMI. Apa sebabnya? Kerana itu adalah berkat usaha mereka sendiri belajar bahasa Inggeris tanpa mengubah bahasa pengantar.
Hanya segelintir sahaja pelajar yang tinggal di dalam bandar boleh menguasai bahasa Inggeris dengan baik. Itu pun bukan semuanya. Nanti ada pula ibu bapa yang menyokong PPSMI, dengan beralasan anak mereka cemerlang di dalam Matematik dan Sains. Jawapan saya, baguslah kalau anak kamu cemerlang, tapi jangan menjadikan taraf kamu seperti lembu, tak tahu berfikir, kerana bukan semua pelajar sekolah sebagus anak kamu. Tuhan mengurniakan kelebihan yang berlainan bagi setiap manusia. Ada sesetengah perkara, hanya segelintir sahaja yang berjaya lakukan.
Inilah malangnya Malaysia kerana dipimpin oleh orang yang tidak mementingkan anak bangsanya sendiri. Sebenarnya mereka takut untuk mansuhkan PPSMI, kerana dibimbangi mamak tua itu mengamuk. Di negara yang lebih maju dan advance dari Malaysia, mereka tidak perlu menganggap Bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu. Mereka belajar di dalam bahasa mereka sendiri. Lihatlah mereka lebih maju daripada Malaysia. Ilmu itu sukar dikuasai jika bukan di dalam bahasa ibunda. Jika asas agama wajib dipelajari di dalam Bahasa Arab, maka alamatnya ramailah yang buta agama di dalam negara ini.
Pendek kata, PPSMI tidak diperlukan untuk memajukan anak bangsa. Itu hanyalah perkara yang menyusahkan. PPSMI patut dimansuhkan, jangan biarkan anak-anak Melayu menjadi malas untuk belajar oleh kerana tidak faham di dalam subjek tertentu. PPSMI adalah musuh saya, jika ada sesiapa yang berani mengatakan PPSMI itu bagus, maka andalah musuh saya. Saya sesekali tidak akan berundur mengenai isu ini. Kerana ianya berkenaan dengan jenayah, iaitu Jenayah Akademik!
0 comments:
Post a Comment