Monday, May 4, 2009
Haji Abdul Hadi Awang
Buku ini penulis terjumpa di rumah nenek pada beberapa tahun lalu. Tengok pada tarikhnya, ia dikeluarkan pada tahun 1984, bermakna buku ini sudahpun berusia 25 tahun. Masih elok, cuma muka depannya agak lusuh. Penulis membaca buku tersebut dan menghabiskannya sebanyak 2 kali. Macam tak percaya, Tuan Guru Haji Hadi, sekarang ini presiden PAS, sewaktu dahulu amat terkenal di seluruh negara.
Buku ini tajuknya Haji Abdul Hadi Awang : Hamba Allah Pemimpin Ummah, tulisan Jamhuri Badiuzzaman. Dakwa penulis buku tersebut, beliau mengikuti pengajian Haji Hadi di Masjid Rusila selama 3 tahun semenjak tahun 80-an. Dalam buku tersebut, penulis buku tersebut mendedahkan, terlalu ramai yang mahu mendengar pengajian agama yang disampaikan oleh Haji Hadi pada setiap pagi Jumaat, bermula jam 9 pagi hingga 10.30 pagi, angka pendengarnya dianggarkan mencecah 10 ribu! Diceritakan lagi, jika seseorang itu pertama kali mendengar kuliah Haji Hadi, maka dia akan rasa mahu mendengar lagi, sehinggakan ada yang menangis kerana insaf apabila mendengar kuliah Haji Hadi. Kaset ceramahnya pula, harga biasa ialah RM3, tapi di luar Terengganu, contohnya di Negeri Sembilan, Pahang, dan Perlis, harga kasetnya boleh mencecah sehingga RM5 atau RM6 sebuah. Penulis buku itu juga menceritakan serta memuji-muji sifat Haji Hadi yang warak, bersopan, baik, dan berakhlak mulia.
Memang penulis agak terkejut apabila mengetahui Haji Hadi agak popular di sekitar tahun 80-an. Ada seorang doktor menceritakan pada penulis, populariti Haji Hadi pada waktu itu mengatasi populariti Nik Aziz. Bahkan, akhbar mingguan Watan pada waktu itu menyiarkan pungutan suara terhadap tokoh-tokoh yang terkenal, antaranya ialah Mahathir di tempat yang pertama, Musa Hitam di tempat yang kedua, dan Haji Abdul Hadi jatuh pada tempat ketiga, diikuti oleh Kassim Ahmad pada tempat keempat. Mungkin pada awal 80-an, Malaysia dipengaruhi oleh angin Revolusi Islam Iran 1979, sehingga membangkitkan PAS di Terengganu pada 1982, dengan mendapat 5 ADUN daripada PAS, iaitu Haji Abdul Hadi (Rhu Rendang), Wan Muttalib Embong (Batu Burok), Mustafa Ali (Wakaf Mempelam), Abu Bakar Chik (Tepuh), dan Harun Taib (Manir). Jika ada soalan yang bertanya, antara Tuan Guru Nik Aziz dan Tuan Guru Abdul Hadi, siapa yang mula-mula mendapat gelaran "Tuan Guru?" Jawapannya ialah Haji Hadi. Beliau dipanggil "tok guru" pada awal 80-an sehingga sekarang pada usia lewat 30-an, sedangkan Nik Aziz mendapat title "tok guru" semasa PAS menguasai Kelantan pada 1990.
Pengaruh Tuan Guru Haji Abdul Hadi masih ada lagi sekarang, walaupun momentumnya tak sehebat 80-an dulu. Penulis berjaya mengenalpasti beberapa penceramah yang mengikuti gaya ucapan Haji Hadi sewaktu berceramah, antaranya Ustaz Nasaruddin Tantawi (Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat), Azman Shapawi (Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu), dan Mohd Nor Hamzah (ADUN Bukit Payong). Hari ini, penulis lihat, biasa saja kuliah pagi Jumaat yang disampaikan oleh Haji Hadi di Masjid Rusila, sama saja dengan mana-mana penceramah. Biasalah masjid di mana-mana penuh apabila yang memberi kuliah itu Haji Hadi. Penulis menjadi anggota jemaah Masjid Rusila sejak tahun 2007, 2 tahun lepas. Jumlah pendengarnya, sampai jugalah ke angka 1 ribu, tapi tidak lah seramai mana yang cuba digambarkan oleh penulis buku di atas. Di sini penulis ada mengambil beberapa keping gambar di Masjid Rusila pada beberapa minggu lalu.
Persoalannya, mengapa pengaruh Haji Hadi berkurangan, tak seperti "fenomena" pada tahun 80-an? Seperti yang digambarkan dalam buku, seolah-olah beliau ini ulama' besar suatu ketika dulu, bahkan pernah dibandingkan dengan Imam Khomeini oleh pelancong dari Perancis. Kehebatan Haji Hadi di Terengganu dulu, membuatkan UMNO menjadi resah, sehingga memaksa mereka memanggil Anwar Ibrahim untuk memberi ceramah di Marang, pada 14 Mac 1986, supaya menyerang serta memperlekehkan perjuangan Islam. Pada waktu itu Anwar mendakwa perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS adalah perjuangan "ayat Kerusi" dan "Kerusi Parlimen", menafikan usaha BN untuk membawa dasar Islamisasi di negara ini.
Mungkin keadaan sekarang sudah berubah, ramai yang mendapat populariti berbanding Haji Hadi. Penulis dapat perhatikan sekarang, Nik Aziz jauh lebih popular dari Haji Hadi. Tak tahu kenapa. Kemungkinan zaman kegemilangan Haji Hadi sudah berlalu..
1 comments:
salam, ada satu lagi buku berkenaan beliau pada tahun 1980an, tajuknya "bertaubat di masjid rusila".
Post a Comment