Monday, May 18, 2009

PAS, Tolong Jangan Jadi Macam UMNO!




1. PAS merupakan satu-satunya parti yang ingin menjadikan syariat Islam sebagai asas di bumi Malaysia ini. Sebelum mengislahkan Malaysia, mereka terlebih dahulu perlu mengislahkan diri mereka dahulu. Dan apabila selesai, baru fokus kepada matlamat asal.



2. Perjuangan untuk menegakkan Islam adalah semata-mata mahu mendapatkan keredhaan Allah, bukannya nama, gelaran, mahupun pangkat. Kebanyakannya sudah mulai lupa akan tujuan PAS wujud di sini.



3. Baru-baru ini, Ketua Dewan Ulama' PAS Pusat, Mohamed Daud Iraqi mendakwa, sudah mula wujud di dalam parti amalan membeli undi daripada para perwakilan sempena muktamar nanti, seperti mengadakan jamuan dan menghadiahkan baju.



4. Walaupun masih tiada bukti, amatlah wajar sekali pimpinan-pimpinan PAS memberi perhatian dan melakukan penyiasatan, kerana yang mengeluarkan kenyataan itu adalah orang yang arif akan hukum menyebarkan fitnah.



5. Lihat saja contoh seperti UMNO, mula-mula hadiahkan kain, memberi makan, lama-kelamaan sikap tersebut merebak kepada pemberian duit (rasuah), dan sukar dibasmi. Politik wang didalam UMNO sudah mencapai tahap kritikal. Jadi, sebelum apa-apa berlaku, PAS patut berhati-hati, kerana mencegah lebih baik daripada mengubati.



6. Sekarang ini, berlaku persaingan sengit dalam merebut jawatan di dalam PAS. Manusia zaman sekarang tidak kira halal atau haram, asalkan matlamat dicapai, mereka sudah tidak kisah, walaupun berada di dalam kelompok Islam sekalipun. Dan saya sebenarnya sangat berharap agar dakwaan Mohamed Daud itu tidak benar. Tapi walaubagaimanapun, perhatian wajar diberikan.



7. Setakat ini, dakwaan tersebut dinafikan oleh Pengarah Pilihanraya PAS Pusat, Dato' Mustafa Ali, dan Ustaz Ahmad Awang serta Abdul Fatah Haron menggesa supaya dakwaan tersebut dibuktikan jika benar. Kadang-kadang, dalam sesetengah keadaan, mana ada orang yang mengaku melakukan kesalahan. Mohamed Daud Iraqi pula tidak lagi bersedia untuk mendedahkan nama tersebut. Sekarang Mohamed Daud dihadapkan ke Dewan Harian PAS yang kini sedang bermesyuarat di Kuala Lumpur, untuk menjelaskan kenyataan beliau serta membuktikannya.



8. Media pula sibuk memainkan kenyataan Ketua Dewan Ulama' tersebut. Atau apakah kenyataan yang dibuat oleh Mohamed sengaja dibesar-besarkan oleh media yang terbukti merupakan talibarut kepada pihak pemerintah?



9. Moralnya, apa-apa perkara serius yang dilaporkan mengenai PAS, ia patut disiasat segera, dan jika benar, maka hendaklah dihapuskan sebarang gejala negatif. Mana lagi parti yang mahu menegakkan Islam selain PAS? Kalau PAS sendiri hancur, pihak yang mana lagi mahu meneruskan agenda PAS itu? Moral yang kedua ialah, menjelang muktamar, semua pemimpin parti patut menjaga kenyataan masing-masing, kerana semua sudah sedia maklum dengan media di negara ini, UMNO juga sedang sibuk mencari peluru untuk menembak pembangkang.



10. Semua ini penting untuk menjamin kestabilan serta ukhuwwah di dalam parti, selain membersihkannya daripada anasir-anasir jahat. PAS, jangan jadi macam UMNO! Jangan biarkan perwakilan PAS sama macam perwakilan UMNO, yang lebih mementingkan wang dan harta benda daripada bangsa sendiri.
[kemaskini] setelah mendengar penjelasan Ustaz Mohamed Daud Iraqi pagi tadi di dalam mesyuarat Dewan Harian, Presiden PAS Haji Hadi memutuskan bahawa tiada politik wang di dalam parti itu, selepas mengumpulkan maklumat dari semua negeri.
Ustaz Mohamed Daud hanya berkata dia tiada bukti tentang perkara itu (beri makan dan hadiahkan baju kepada perwakilan), dan hanya difahamkan wujudnya perbuatan itu.
Selesai.