Showing posts with label pejuang bahasa. Show all posts
Showing posts with label pejuang bahasa. Show all posts

Thursday, August 13, 2009

Tok Janggut Mahu Beraksi Lagi


Nampaknya Tok Janggut Moden kita ini sekali lagi mahu rakyat beraksi di jalan raya. Berdasarkan kenyataan beliau di Malaysiakini bahawa akan mencadangkan satu lagi himpunan anti-PPSMI bagi mendesak kerajaan mansuhkan akta itu serta merta. Cadangan itu akan dilontarkan oleh beliau didalam mesyuarat GMP hujung minggu ini.


Sekali lagi Tok Janggut bangkit untuk mempertahankan bahasa ibunda yang amat penting kepada bangsa Melayu. Jika dahulu Tok Janggut mengetuai orang Melayu untuk menentang British kerana mengenakan cukai tanah kepada orang Melayu, sekarang Tok Janggut buat kali keduanya mengetuai orang Melayu untuk menentang anak didik British (UMNO) yang banyak merugikan bangsa Melayu. Apa-apapun, kita di belakang Tok Janggut untuk memberikan sokongan. Umur 79 tahun ibarat seperti 30-an! Hidup Tok Janggut!!

Thursday, July 2, 2009

Terima Kasih, Pak Syeikh


Akhirnya terkeluar juga kenyataan daripada pimpinan tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) tentang dasar PPSMI. 28 Jun lepas Pak Syeikh menyatakan di dalam blognya bahawa dasar PPSMI gagal mencapai sasaran, dan menggesa pihak kerajaan memansuhkannya. Beliau juga menyatakan pimpinan UMNO telah mengkhianati semangat perjuangan bahasa yang telah dirintis sejak dulu.



Di dalam akhbar mingguan Suara Keadilan semalam kenyataan Pak Syeikh mengenai PPSMI turut dikeluarkan di muka hadapan, beserta 2 orang lagi yang turut menentang dasar itu, iaitu Prof. Ungku Aziz (kenapa muka dia di dalam akhbar tersebut seperti muka kolonel KFC?), dan Menteri Besar Johor, Ghani Othman. Walaupun pada pandangan saya, Ghani Othman dilihat seakan bacul kerana selepas 6 tahun PPSMI dilaksanakan, barulah berani bersuara dan menentang, sedangkan ketika dasar itu mula diperkenalkan, dia diam membisu.



Tapi tak apalah, sekurang-kurangnya dia lebih berani daripada pemimpin-pemimpin UMNO yang lain dalam menyatakan kebenaran. Begitu juga dengan Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda UMNO, sepatutnya dia keluarkan kenyataan mengenai PPSMI selepas demonstrasi besar-besaran pada 7 Mac lalu. Sekarang sudah ada 2 pemimpin UMNO yang telah bersuara. Puad Zarkashi juga sudah membisu.
Prof. Ungku Aziz di dalam kenyataannya mengatakan bahawa pelaksanaan dasar PPSMI merupakan tindakan yang gila oleh ahli politik yang mencari penyelesaian segera kepada sesuatu masalah. Bagi saya PPSMI juga dasar gila, tengok saja Matematik, Matematik banyak menggunakan simbol, bukannya bahasa. Buat apa nak tukarkan bahasa pengantar?!
Pemimpin UMNO hanya pentingkan 2-3 kerat kroninya yang mengaut keuntungan di dalam bisnes alatan pengajaran dasar ini. Bukannya apa. Persetankan dengan nasib anak bangsa yang pencapaiannya jatuh merosot di dalam kedua-dua subjek itu, terutamanya yang tinggal di luar bandar.
Mereka yang bodoh mempertahankan dasar ini atas alasan ianya bahasa ilmu. Rujuklah dulu dengan tulisan Puan Ainon, dan buatlah kajian tentang negara Jepun, di mana penduduknya bodoh dalam bahasa Inggeris, tapi penyelidikan yang dibuat jauh lebih berkualiti daripada Barat, dan juga memenangi Hadiah Nobel pada tahun lepas.
Lupakah dahulu Bahasa Melayu dikenali sebagai bahasa lingua-franca? Bahasa yang digunakan agak meluas ketika era kegemilangan Kerajaan Melayu di Melaka. Kalau tidak macam mana pedagang-pedagang dari India, China, Arab dan sebagainya boleh berdagang di sini? Kenapa mudah sangat lupakan sejarah, dan memuja bahasa lain?
Geram betul dengan orang yang bodoh yang sokong dasar ini, bagi alasan yang rapuh semata-mata untuk menyokong dasar gila ini. Contohnya posting Pak Syeikh di dalam blognya yang bertarikh 28 Jun, di dalam ruangan komen, masih ramai Melayu dan Cina yang bodoh lagi tolol memberikan alasan yang dangkal untuk PPSMI.
Pak Syeikh juga menyatakan bahawa PPSMI merupakan pengkhianatan kepada dasar bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi. Mungkin semangat membela dan berjuang bahasa sudah timbul kembali di dalam diri Pak Syeikh ini, setelah dia membisukan diri pada 14 tahun dahulu apabila penguncupan bahasa ibunda di universiti.
Apa-apapun, saya amat berterima kasih di atas kenyataan-kenyataan pemimpin dan tokoh di atas di dalam menentang dasar gila PPSMI. Terima kasih juga kepada pimpinan-pimpinan PAS yang prihatin terhadap bahasa ibunda, dan tidak lupa ucapan terima kasih pada semua yang mendesak agar PPSMI dimansuhkan. Terima kasih juga kepada A. Samad Said, Dr. Hasan Ahmad, Prof. Abdullah Hasan, Suhaizan Kayat, dan pemimpin Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang lain yang tidak jemu perjuangkan bahasa kebangsaan.
Terima Kasih Pak Syeikh di atas kenyataan sdr. HAPUSKAN PPSMI!!!

Sunday, May 24, 2009

PPSMI




Ini merupakan kali ketiga saya berbicara mengenai PPSMI di dalam blog ini. Saya hairan kenapa pihak pemerintah susah sangat untuk memberi kata putus mengenai isu ini, setelah rakyat, para pencinta bahasa, dan sasterawan negara bersusah payah berarak dari Masjid Negara ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum, pada 7 Mac lalu. Di tambah lagi dengan hadiah kesakitan yang diberikan oleh unit beruniform yang berupa gas pemedih mata, air, dan cota.






Saya memang berterus terang, saya bencikan PPSMI, saya tak setuju dasar seumpama begitu dilaksanakan di negara ini. Negara Malaysia bermajoritikan bangsa Melayu, tapi malangnya bahasanya diketepikan dan tidak diambil peduli oleh pemerintah yang juga berbangsa Melayu. Mereka tidak sedar perbuatan mereka telah mengecewakan sebahagian besar anak-anak Melayu, yang kebanyakannya gagal di dalam mata pelajaran Matematik dan Sains, yang rata-ratanya berasal dari kawasan pedalaman. Dasar sebegini sudah dikira gagal, kerana ia hanya menjayakan segelintir dari kalangan pelajar sahaja.






Saya tidak sempat merasai PPSMI, tapi saya seolah-olah merasainya sekarang kerana di IPT bahasa pengantarnya juga di dalam Bahasa Inggeris. Hanya orang bodoh saja yang mengatakan PPSMI memudahkan pelajar bertutur di dalam Bahasa Inggeris apabila di peringkat IPT nanti. Soal saya, berapa ramai yang benar-benar boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris di IPT? Kebanyakan yang saya jumpa, mereka cakap pun tunggang langgang bahasanya. Hakikatnya, ramai lagi pelajar IPT yang tidak boleh berbahasa Inggeris dengan baik. Cuba lihat waktu dahulu, zaman di mana PPSMI belum lagi wujud, dan bahasa pengantar di IPT masih lagi berbahasa ibunda. Ramai yang boleh bertutur dalam bahasa Inggeris dengan baik, walaupun tanpa PPSMI. Apa sebabnya? Kerana itu adalah berkat usaha mereka sendiri belajar bahasa Inggeris tanpa mengubah bahasa pengantar.






Hanya segelintir sahaja pelajar yang tinggal di dalam bandar boleh menguasai bahasa Inggeris dengan baik. Itu pun bukan semuanya. Nanti ada pula ibu bapa yang menyokong PPSMI, dengan beralasan anak mereka cemerlang di dalam Matematik dan Sains. Jawapan saya, baguslah kalau anak kamu cemerlang, tapi jangan menjadikan taraf kamu seperti lembu, tak tahu berfikir, kerana bukan semua pelajar sekolah sebagus anak kamu. Tuhan mengurniakan kelebihan yang berlainan bagi setiap manusia. Ada sesetengah perkara, hanya segelintir sahaja yang berjaya lakukan.






Inilah malangnya Malaysia kerana dipimpin oleh orang yang tidak mementingkan anak bangsanya sendiri. Sebenarnya mereka takut untuk mansuhkan PPSMI, kerana dibimbangi mamak tua itu mengamuk. Di negara yang lebih maju dan advance dari Malaysia, mereka tidak perlu menganggap Bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu. Mereka belajar di dalam bahasa mereka sendiri. Lihatlah mereka lebih maju daripada Malaysia. Ilmu itu sukar dikuasai jika bukan di dalam bahasa ibunda. Jika asas agama wajib dipelajari di dalam Bahasa Arab, maka alamatnya ramailah yang buta agama di dalam negara ini.






Pendek kata, PPSMI tidak diperlukan untuk memajukan anak bangsa. Itu hanyalah perkara yang menyusahkan. PPSMI patut dimansuhkan, jangan biarkan anak-anak Melayu menjadi malas untuk belajar oleh kerana tidak faham di dalam subjek tertentu. PPSMI adalah musuh saya, jika ada sesiapa yang berani mengatakan PPSMI itu bagus, maka andalah musuh saya. Saya sesekali tidak akan berundur mengenai isu ini. Kerana ianya berkenaan dengan jenayah, iaitu Jenayah Akademik!

Saturday, May 2, 2009

Mohamad Sabu Timbalan Presiden PAS


1. Tak lama lagi, berlangsunglah Muktamar Tahunan PAS, yang kali ini bertempat di Stadium Malawati, Shah Alam. Pemilihan pucuk pimpinan parti ini pasti meriah kerana beberapa pemimpin bakal "bertukar kerusi", dan juga ada muka baru yang mahu bertanding. Penulis hanya ingin memfokuskan kerusi Timbalan Presiden yang agak "panas".


2. Beberapa nama pemimpin timbul untuk mencabar Ust. Nasharuddin di kerusi no.2 parti itu. Nama-nama tersebut ialah Mohamad Sabu, Husam Musa, Dr. Haron Din, Ust. Azizan Razak, dan Hassan Ali. Bagi penulis, penulis bersetuju jika Tuan Haji Mohamad Sabu dipilih menduduki kerusi Timbalan Presiden bagi menggantikan Nasharuddin Mat Isa. Ada beberapa sebab kenapa penulis amat berharap supaya beliau menduduki tempat itu. Sebelum itu, penulis ingin menyatakan sebab kenapa nama-nama selain dari Mat Sabu atau Abang Mat tidak perlu menduduki kerusi tersebut.


3. Datuk Husam Musa merupakan orang yang agak "dingin", dan juga kurang mesra alam, terutamanya bila berhadapan dengan orang yang tidak dikenali. Lagipun, beliau masih perlu menjalankan tugas beliau dengan teliti sebagai seorang exco kerajaan negeri Kelantan, dan juga sebagai ADUN. Dia ini juga dilihat agak "tidak kena", kerana begitu bernafsu mahukan jawatan no.2 dalam parti, dan seperkara lagi, dia dilihat agak pro kepada Anwar Ibrahim, dan juga dari kalangan profesional-liberal.


4. Bagi Dato' Dr. Haron Din pula, eloklah beliau mengekalkan saja jawatan sebagai Timbalan Mursyidul Am, kerana pemimpin seperti beliau lebih sesuai untuk memimpin rohani, dan lebih bagus jika beliau membantu tugas Tuan Guru Nik Aziz, Mursyidul Am PAS. Ustaz Azizan Razak, tanggungjawab beliau agak berat, kerana perlu menjaga negeri Kedah, kerana beliau adalah seorang Menteri Besar, dan juga ADUN Sungai Limau, jadi, dikhuatiri beliau kurang menumpukan perhatian jika jawatan serta tugasnya terlalu banyak.


5. Dan pendapat bagi Hassan Ali, dia juga mempunyai tugas tersendiri, sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor, exco kanan kerajaan Selangor, dan juga ADUN Gombak Setia. Masalah di MAIS pun dia dah pening kepala, inikan pula nak tambah bebanan nakkan kerusi Timbalan Presiden. Tumpukan saja kerja di Selangor tu! Jangan nak sibuk-sibuk ambil bahagian nak bertanding.


6. Kenapa Mohamad Sabu layak menduduki tempat Timbalan Presiden, untuk membantu Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang selaku presiden, kerana beliau bukannya seorang ADUN mahupun Ahli Parlimen. Jadi beliau tidak banyak tugas untuk diselesaikan, dan hanya perlu menumpukan perhatian terhadap jawatan Timbalan Presiden sahaja, disamping membantu tugas Presiden parti.


7. Beliau seorang yang mudah mesra, walaupun terhadap orang yang masih belum dikenali. Tidak lokek dengan senyuman, berbeda jauh dengan Husam Musa. Penulis masih ingat, betapa ramahnya Mohamad Sabu ini semasa penulis makan semeja dengannya sewaktu beliau datang ke Kuala Terengganu, dan juga perbualan penulis dengannya sewaktu di Masjid Negeri. Memang seorang yang mesra dan senang mendampingi orang-orang bawahan. Lagipun, bagi penulis, Mohamad Sabu ini adalah "diantara" golongan profesional dan golongan agama. Kedudukannya adalah ditengah-tengah.


8. Mohamad Sabu merupakan antara pemimpin PAS yang banyak menerima ujian dan dugaannya, contohnya pernah dikenakan ISA, beberapa kali ditahan polis, dilokap,turun naik mahkamah, dan lain-lain. Selalu berada di mana-mana demonstrasi, malah memimpin perhimpunan dan perarakan aman. Beliau juga seorang pemimpin yang lantang jika berucap, walaupun kadangkala agak celupar. Walaupun celupar, elok juga, ia boleh mengimbangkan di antara presiden dengan timbalan presiden. Jika presiden PAS nadanya lembut, maka timbalannya mestilah sebaliknya.


9. Dan yang paling penting, Mohamad Sabu merupakan orang yang arif dan faham akan perangai Anwar Ibrahim, kerana beliau pernah duduk di dalam ABIM, maka beliau boleh "mengawasi" tindak tanduk politik Anwar Ibrahim. Beliau juga pernah menjadi "seteru" Anwar. Ini boleh dipastikan supaya unsur-unsur mahupun anasir-anasir Anwar Ibrahim dapat dihalang dan juga dibendung daripada merebak ke dalam PAS. Kalau tidak, apa bedanya antara PAS dan PKR.


10. Inilah diantara alasan penulis yang menginginkan Tuan Haji Mohamad Sabu menjadi Timbalan Presiden PAS. Harap menjadi kenyataan. Sekian.

Saturday, April 25, 2009

Amanat Buat Pejuang Muda



Tarikh : 26 April 2009 (esok)


Tempat : Seksyen 16 Petaling Jaya (Pejabat lama Anwar Ibrahim)


Masa : 8 malam


Persembahan deklamasi puisi, sajak dan lagu khas dari tetamu jemputan seperti Amin Iskandar (Black), Rahmat Haron, dan wakil-wakil pertubuhan yang bersama mendesak kerajaan Malaysia untuk menghapuskan PPSMI.


Acara kemuncak merupakan amanat dari Datuk A. Samad Said Sasterawan Negara. Semua dijemput hadir. Jika berlaku juga PRK di Penanti, InsyaAllah Datuk A. Samad Said akan membawa isu PPSMI di sana.


MANSUHKAN PPSMI. SELAMATKAN BAHASA MELAYU.