Showing posts with label Ulasan. Show all posts
Showing posts with label Ulasan. Show all posts

Thursday, May 21, 2009

Kebaikan Krisis Politik Di Perak



Setiap perkara buruk yang berlaku, di dalamnya pasti ada kebaikannya. Apa-apa perkara pun, jika ia adalah mudarat, namun manfaatnya tetap ada. Di Perak misalnya, memang tidak dinafikan keburukannya sangat banyak, antaranya ialah pencabulan demokrasi secara besar-besaran hingga melibatkan monarki, kuasa speaker tidak dihiraukan, rakyat berada di dalam kekeliruan, tidak tahu kerajaan mana yang memerintah negeri, Sultan mula dihina, dan lain-lain. Namun kebaikannya yang saya ingin sebut di sini ialah :

1. Secara tidak langsung rakyat mendapat pengetahuan tentang bidang kuasa speaker, sultan, dan bagaimana Menteri Besar boleh terlucut jawatannya.

2. Mengukuhkan setiakawan di antara PAS-PKR-DAP. Krisis yang berlaku terbukti menguji pakatan ketiga-tiga parti itu.

3. Mengeratkan perpaduan di antara kaum di Perak khususnya.

4. Krisis di Perak merupakan ujian pada ketiga-tiga parti untuk bekerjasama dan mengeratkan persahabatan, lalu mengenapikan agenda politik masing-masing buat sementara demi menuntut keadilan.

5. DS Nizar dan YB Sivakumar secara tidak langsung menjadi "hero" dan juga ikon sebagai pejuang demokrasi. Sekarang sudah terlanda fenomena mereka di kalangan rakyat.

Kesimpulannya, apa-apa dugaan yang melanda, harus dipandang juga dari sudut kebaikannya. Setiap perkara yang berlaku pasti ada hikmahnya.

Tuesday, May 19, 2009

UMNO Ibarat Kapal Yang Hampir Karam




UMNNO suatu ketika dulu dianggap sebagai parti keramat, parti yang menyelamatkan bangsa melayu. Tanpa UMNO, tiadalah Melayu. Itulah falsafah orang Melayu pada beberapa dekad yang lalu. Zaman sekarang yang serba moden, falsafah itu sudah tidak lagi digunakan, cuma mungkin diamalkan oleh sesetengah orang yang berotak kemetot. Yang masih setia rata-ratanya terdiri daripada pengundi di saluran 1. Dahulu parti ini disokong kuat oleh orang Melayu, sehinggakan parti saingannya, yang juga merupakan parti Melayu, iaitu PAS, gagal menyaingi popularitinya.

Ceramah-ceramah yang dianjurkan oleh PAS ketika dulu kurang mendapat sambutan, terutamanya di sebelah negeri Pantai Barat dan juga Selatan. Pernah Mohamad Sabu menceritakan semasa berceramah di Negeri Sembilan pada tahun 80-an dulu, "tukang bagi ceramah 5 orang, yang dengaq 3 orang,". Di Johor pula, sampai peringkat Almarhum Ustaz Fadzil Noor berdoa, "semoga tumbuhan dan pokok kayu beriman kepada Allah, kerana manusia sudah tak mahu lagi beriman," kerana jumlah pokok yang mendengar ceramah melebihi jumlah hadirin! Namun, itu semua berlaku pada waktu dulu. Parti UMNO ada pasang surutnya. Pernah mengalami kekalahan di dalam PRU pada tahun 1969, 1990, dan 1999. Tapi oleh kerana terlalu lama berkuasa, mereka merasakan negara ini beserta hasil mahsulnya milik mereka sejak dari dulu hingga ke cucu cicit.

Benih-benih penyelewengan beserta korupsi bermula pada zaman Madey, PM ke-4. Lahir pula kronisme, nepotisme, amalan politik wang, yang kemudiannya membarah sehingga hari ini, dan sukar untuk dibendung atau dihapuskan. Bermula pada zaman itulah mahkamah, polis, BPR, dan lain-lain menjadi talibarut pemerintah. Amalan demokrasi pula semakin ditindas. Dan semua perkara negatif ini berkembang dan bertambah ketara semenjak kemenangan besar UMNO/BN pada 2004, dan di bawah pemerintahan Dollah Badawi. Segala kepincangan yang berlaku di dalam negara ini, bermacam-macam isu, barang naik, indeks jenayah meningkat, menyebabkan rakyat sudah mula menjauhkan UMNO/BN. Tengok sajalah rasuah beserta politik wang yang berlaku di dalam UMNO menjelang Perhimpunan Agung. Calon yang didapati mengamalkan politik wang dibenarkan bertanding, serta masih lagi kekal menjadi Ketua Menteri.

UMNO sekarang ini mempunyai Ketua Pemuda yang rasuah, dan tidak terpilih menganggotai kabinet. UMNO semakin suram, terutama sayap Pemudanya. Gagal menambat hati pengundi muda, yang majoritinya lebih cenderung kepada parti haluan kiri. Pemuda UMNO tidak lagi segah seperti mana zaman Dato' Harun Idris dan juga pada zaman Anwar Ibrahim pada tahun 80-an (foto). Mohd Ali Rustam, dibuktikan rasuah, dan tidak dibenarkan bertanding jawatan Timbalan Presiden, tetapi PM masih lagi membenarkannya mengetuai negeri Melaka. Di mana maruah UMNO Melaka? Berketuakan seorang perasuah.

UMNO sekarang ini sudah tidak relevan, Kalau dahulu, di mana-mana Pilihanraya Kecil, pasti mereka akan menang, sekarang, tengok sajalah, semenjak kalah teruk pada PRU ke 12, mana-mana PRK di adakan di semenanjung, BN pasti akan menemui kekalahan. Sekarang tidak mahu bertanding di Penanti, takut kalah. Bekas tahanan ISA, yang merupakan ADUN Kota Alam Shah, M. Manoharan, baru saja mengugut mahu letakkan jawatan, cepat-cepat kerajaan membebaskannya daripada ISA, takut PRK diadakan di sana pula. Isu Elizabeth Wong, ADUN Bukit Lanjan, mana ada lagi pemimpin UMNO yang menyuruh dia meletakkan jawatan, kerana bimbang akan berlaku pula PRK di sana! Di Perak? Mereka akan sedaya upaya memastikan agar DUN tidak dibubarkan, walaupun pemimpin Gerakan, beserta Timbalan Presiden MCA Chua Soi Lek, dan juga bekas pemimpin UMNO sendiri, Ku Li bersetuju agar DUN dibubarkan.

UMNO sudah menuju ke zaman kehancuran, mereka sudah tidak lagi mahu diterima oleh rakyat. Menunggu masa saja untuk ditalkinkan. Bahtera yang gah satu ketika dulu sudah bocor di sana-sini, dan akan tenggelam pada bila-bila masa, umpama kapal Titanic!

BN Tidak Akan Bertanding Di Penanti

Semalam, Perdana Menteri, Najib Tun Razak berkata di dalam sidang medianya, BN tidak akan meletakkan calon di PRK Penanti, dengan meletakkan 3 alasan;


1. Kekekosongan kerusi itu bukan diperuntukkan oleh perlembagaan tetapi satu usaha PKR untuk menyelesaikan masalah dalamannya.


2. Pilihanraya kecil ini satu permainan politik pembangkang.


3. BN lebih mengutamakan khidmat kepada rakyat dan langkah memulihkan ekonomi negara.



Ulasan : Bukti BN takut untuk menghadapi pilihanraya kecil di Semenanjung selepas kalah teruk di Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, dan Bukit Selambau. Tapi tak mustahil mereka akan menaja calon Bebas untuk menentang calon PKR di Penanti. Semua jentera dan petugas PAS di seru mengerahkan tenaga untuk menghadapi PRK di sana.


UMNO/BN sudah semakin tidak relevan. Hanya satu-satunya survivor mereka ialah di Sabah dan Sarawak. Kalaulah PRK diadakan di sana, memang sah awal-awal lagi BN letakkan calon, seterusnya mencabar pembangkang untuk menyertainya. Mereka takut untuk buat Pilihanraya di Semenanjung, tengok saja Perak, sampai bila hendak ditunggu supaya DUN dibubarkan? Mereka akan buat apa saja untuk memastikan diri mereka terus berkuasa. Tapi keadaan ini tidak akan bertahan lama. UMNO selangkah demi selangkah menuju kehancuran.


Pasti ramai yang menggigit jari, maklumlah tempat PRK ni lubuk wang, banyak projek mee segera, kempunan semuanya nak merasa nikmat itu.

Tuesday, May 12, 2009

YAB Dato' Seri Nizar Jamaluddin


Keputusan Hakim Mahkamah Tinggi semalam, Abdul Aziz Rahim, yang memutuskan bahawa DS Nizar merupakan menteri besar Perak yang sah tentunya memberi tamparan yang hebat kepada Najib tun Razak, dan juga Zambry Abdul Kadir, yang berusaha untuk merampas Perak melalui jalan belakang. Sesungguhnya ini merupakan kemenangan yang pertama di pihak Pakatan Rakyat di Perak.


Selepas diumumkan sebagai MB Perak yang sah, DS Nizar mengumumkan beberapa perkara, antaranya beliau akan segera untuk menghadap Sultan Perak untuk meminta perkenan agar DUN dibubarkan, serta menyeru Zambry beserta 6 exconya mengosongkan pejabat masing-masing. Beliau juga mengumumkan menggantung Penasihat Undang-Undang Negeri, Ahmad Kamal Md Shahid. Dan hari ini, DS Nizar telahpun menggantung tugas beberapa orang pegawai kerajaan negeri, iaitu SUK Perak, Dr. Abdul Rahman Hashim, Setiausaha Kewangan Negeri, Jamaluddin al-Amini Ahmad. Tugas mereka dipangku oleh timbalan mereka. Keputusan ini dibuat di dalam mesyuarat exco yang diketuai oleh beliau di Pejabat PAS negeri.


Perdana Menteri, Najib tun Razak berkata pihak mereka akan membawa kes itu untuk dirayu di Mahkamah Rayuan. Begitu juga kata Peguam Pemerhati BN, bahawa keputusan itu baru diputuskan oleh Mahkamah Tinggi, bukannya Mahkamah Persekutuan. Walau apa mahkamah pun, keputusan tadi sudah jelas bahawa Zambry memang Menteri Besar yang tidak sah. Tetapi, pihak PR mungkin akan menghadapi satu lagi masalah, iaitu di DUN Perak, ini ekoran Speaker haram yang dilantik tanpa angkat sumpah di depan sultan. S. Ganesan menggantikan V. Sivakumar. ADUN-ADUN BN bukannya jenis yang ikut dan tahu undang-undang. Tengok sajalah situasi pada Khamis lepas. Jika S. Ganesan mahu adakan sidang tergempar untuk usul undi tak percaya, sidang tersebut tidak sah kerana S. Ganesan bukannya speaker yang sah. Dia hanya mengangkat sumpah pada hari Khamis lepas di hadapan ADUN-ADUN BN dan juga Bebas. Mereka membelakangkan sultan.


Apa-apapun, keputusan mahkamah semalam merupakan hadiah "hari jadi" UMNO yang kononnya sudah berusia 63 tahun! Dan tahniah buat DS Nizar. (kesinambungannya di http://pemerhatiansaya.wordpress.com/ )

Friday, May 8, 2009

Hancur Musnahlah Demokrasi di Perak


Semalam, MB Perak yang haram, Zambry apabila diwawancarakan oleh wartawan, memberi tahu tindakan yang dilakukan oleh ADUN-ADUN Pakatan adalah mengikut undang-undang rimba. Ini berikutan daripada peristiwa kekecohan yang berlaku di dalam sidang DUN Perak semalam, tindakan Zambry mengusulkan speaker yang haram, dan juga tindakan polis yang memasuki dewan yang mulia untuk mengheret V. Sivakumar, telah menyebabkan beberapa ADUN Pakatan menjerit menyuruh mereka berambus daripada dewan.


Kenyataan itu patut dibalas balik ke muka si mamak Zambry. Siapa yang ikut undang-undang rimba sebenarnya? Pakatan Rakyat ataupun kamu? Dan juga UMNO/BN. BN lah yang menggunakan undang-undang rimba, mencabul serta memperkosa demokrasi di Perak, hinggakan kuasa Speaker sudah boleh dicabar di mahkamah, hinggakan sekarang ini Perak mempunyai 2 kerajaan, 2 menteri bersar, dan juga 2 speaker. Yang mana salah satu daripadanya adalah haram. Ini semua berpunca daripada puak-puak kamulah, yang berusaha untuk merampas Perak secara tidak wajar, mulai hari Pakatan Rakyat memerintah negeri itu. Dan juga berpunca daripada ADUN-ADUN lompat kataklah semua ini berlaku di Perak.




Siapa lagi yang mengikut undang-undang rimba? Anggota keselamatan (polis). Mereka sanggup mengotorkan dewan dengan kaki dan tubuh mereka yang busuk semata-mata mahu memaksa serta mengheret Speaker yang sah, V. Sivakumar keluar daripada dewan. Ini membuatkan polis bertambah dibenci. Demokrasi sudah terkubur di Perak. BN sanggup lakukan apa saja untuk mencapai cita-cita mereka. Harapan untuk Pakatan Rakyat memperoleh keadilan di Perak hanya tinggal angan-angan, sudah terbukti Sultan Perak juga tidak akan pernah sesekali memperkenankan agar DUN dibubarkan, surat daripada speaker minta penangguhan persidangan pun dia tak layan! Barangkali mereka semua ini sudah lupa, kita bukannya hidup selama-lamanya di dunia ini, tak lama lagi kita semua akan masuk liang lahad juga, seterusnya tindakan kita di atas muka bumi akan disoal, tak kira rakyat bawahan, golongan bangsawan, raja-raja mahupun sultan, semua akan mengalaminya.


Apa perasaan Najib kalau tindakan yang sama dilakukan oleh Pakatan Rakyat terhadap Dewan Rakyat di Parlimen? Tindakan polis yang mengheret Speaker Pandikar Amin Mulia sama seperti tindakan mereka mengheret V. Sivakumar, seterusnya MP Pakatan melantik speaker baru. Apa rasa puak-puak BN ni?


Harapan hanya tinggal harapan di Perak.

Monday, May 4, 2009

Haji Abdul Hadi Awang


Buku ini penulis terjumpa di rumah nenek pada beberapa tahun lalu. Tengok pada tarikhnya, ia dikeluarkan pada tahun 1984, bermakna buku ini sudahpun berusia 25 tahun. Masih elok, cuma muka depannya agak lusuh. Penulis membaca buku tersebut dan menghabiskannya sebanyak 2 kali. Macam tak percaya, Tuan Guru Haji Hadi, sekarang ini presiden PAS, sewaktu dahulu amat terkenal di seluruh negara.


Buku ini tajuknya Haji Abdul Hadi Awang : Hamba Allah Pemimpin Ummah, tulisan Jamhuri Badiuzzaman. Dakwa penulis buku tersebut, beliau mengikuti pengajian Haji Hadi di Masjid Rusila selama 3 tahun semenjak tahun 80-an. Dalam buku tersebut, penulis buku tersebut mendedahkan, terlalu ramai yang mahu mendengar pengajian agama yang disampaikan oleh Haji Hadi pada setiap pagi Jumaat, bermula jam 9 pagi hingga 10.30 pagi, angka pendengarnya dianggarkan mencecah 10 ribu! Diceritakan lagi, jika seseorang itu pertama kali mendengar kuliah Haji Hadi, maka dia akan rasa mahu mendengar lagi, sehinggakan ada yang menangis kerana insaf apabila mendengar kuliah Haji Hadi. Kaset ceramahnya pula, harga biasa ialah RM3, tapi di luar Terengganu, contohnya di Negeri Sembilan, Pahang, dan Perlis, harga kasetnya boleh mencecah sehingga RM5 atau RM6 sebuah. Penulis buku itu juga menceritakan serta memuji-muji sifat Haji Hadi yang warak, bersopan, baik, dan berakhlak mulia.


Memang penulis agak terkejut apabila mengetahui Haji Hadi agak popular di sekitar tahun 80-an. Ada seorang doktor menceritakan pada penulis, populariti Haji Hadi pada waktu itu mengatasi populariti Nik Aziz. Bahkan, akhbar mingguan Watan pada waktu itu menyiarkan pungutan suara terhadap tokoh-tokoh yang terkenal, antaranya ialah Mahathir di tempat yang pertama, Musa Hitam di tempat yang kedua, dan Haji Abdul Hadi jatuh pada tempat ketiga, diikuti oleh Kassim Ahmad pada tempat keempat. Mungkin pada awal 80-an, Malaysia dipengaruhi oleh angin Revolusi Islam Iran 1979, sehingga membangkitkan PAS di Terengganu pada 1982, dengan mendapat 5 ADUN daripada PAS, iaitu Haji Abdul Hadi (Rhu Rendang), Wan Muttalib Embong (Batu Burok), Mustafa Ali (Wakaf Mempelam), Abu Bakar Chik (Tepuh), dan Harun Taib (Manir). Jika ada soalan yang bertanya, antara Tuan Guru Nik Aziz dan Tuan Guru Abdul Hadi, siapa yang mula-mula mendapat gelaran "Tuan Guru?" Jawapannya ialah Haji Hadi. Beliau dipanggil "tok guru" pada awal 80-an sehingga sekarang pada usia lewat 30-an, sedangkan Nik Aziz mendapat title "tok guru" semasa PAS menguasai Kelantan pada 1990.


Pengaruh Tuan Guru Haji Abdul Hadi masih ada lagi sekarang, walaupun momentumnya tak sehebat 80-an dulu. Penulis berjaya mengenalpasti beberapa penceramah yang mengikuti gaya ucapan Haji Hadi sewaktu berceramah, antaranya Ustaz Nasaruddin Tantawi (Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat), Azman Shapawi (Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu), dan Mohd Nor Hamzah (ADUN Bukit Payong). Hari ini, penulis lihat, biasa saja kuliah pagi Jumaat yang disampaikan oleh Haji Hadi di Masjid Rusila, sama saja dengan mana-mana penceramah. Biasalah masjid di mana-mana penuh apabila yang memberi kuliah itu Haji Hadi. Penulis menjadi anggota jemaah Masjid Rusila sejak tahun 2007, 2 tahun lepas. Jumlah pendengarnya, sampai jugalah ke angka 1 ribu, tapi tidak lah seramai mana yang cuba digambarkan oleh penulis buku di atas. Di sini penulis ada mengambil beberapa keping gambar di Masjid Rusila pada beberapa minggu lalu.


Persoalannya, mengapa pengaruh Haji Hadi berkurangan, tak seperti "fenomena" pada tahun 80-an? Seperti yang digambarkan dalam buku, seolah-olah beliau ini ulama' besar suatu ketika dulu, bahkan pernah dibandingkan dengan Imam Khomeini oleh pelancong dari Perancis. Kehebatan Haji Hadi di Terengganu dulu, membuatkan UMNO menjadi resah, sehingga memaksa mereka memanggil Anwar Ibrahim untuk memberi ceramah di Marang, pada 14 Mac 1986, supaya menyerang serta memperlekehkan perjuangan Islam. Pada waktu itu Anwar mendakwa perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS adalah perjuangan "ayat Kerusi" dan "Kerusi Parlimen", menafikan usaha BN untuk membawa dasar Islamisasi di negara ini.


Mungkin keadaan sekarang sudah berubah, ramai yang mendapat populariti berbanding Haji Hadi. Penulis dapat perhatikan sekarang, Nik Aziz jauh lebih popular dari Haji Hadi. Tak tahu kenapa. Kemungkinan zaman kegemilangan Haji Hadi sudah berlalu..