Friday, April 30, 2010

Semoga Allah Mengampuni Saya


Apa yang saya perjuangkan dalam politik Malaysia ialah satu sistem yang mempunyai nilai-nilai serta elemen-elemen Islam. Tidak bermakna saya tidak mahukan Islam keseluruhannya. Saya sedar dan akui serta yakini bahawa ayat di dalam surah an-Nisa': 105 merupakan dalil putus, iaitu wajib menjalankan hukum-hukum Allah.


Tapi jika dilihat di dalam konteks Malaysia, perkara ini begitu sukar jika mahu dilakukan secara terus. Ia mesti secara beransur-ansur. Oleh itu, saya berpendapat bahawa jika mahu memerintah Malaysia dengan Islam, sebaik saja memperolehi kuasa, tadbir dulu negara dengan nilai-nilai Islam. Masukkan elemen-elemennya di dalam pemerintahan.


Keadilan ialah prinsip asas di dalam Islam. Tadbir dulu dengan keadilan dan kesaksamaan kepada semua rakyat, selesaikan dahulu masalah korupsi dan penyelewengan, kemiskinan, dan lain-lain. Sebarkan kepada seluruh rakyat mengenai Islam. Inilah yang sepatutnya dilakukan. Perbuatan mengharamkan sekaligus sebaik saja mendapat kuasa memang saya tidak setuju. Ia akan membawa impak yang besar kepada Islam dan menyebabkan Islam semakin dijauhi, bukannya didekati. Ini pendirian saya. Sepatutnya orang yang bermati-matian perjuangkan Islam bersikap terbuka dan tidak bertindak seperti ekstremis/pelampau.


PAS membuat satu langkah yang bijak apabila memutuskan untuk bersikap lebih terbuka. Pemimpin-pemimpinnya seorang demi seorang meninggalkan kepompong fundamentalist, tidak seperti tahun 80-an dulu. Jika dulu, di mana pemimpin-pemimpin PAS bersikap fundamentalist, sokongan terhadap PAS sangat menyedihkan. Ahli-ahli Parlimen DAP kalau boleh jika berjalan tidak mahu berselisih dengan ahli-ahli parlimen PAS.


Tapi lihat sekarang. PAS mula bersikap terbuka dan moderate, bukan saja pemimpin DAP sudi duduk satu pentas dengan PAS, bahkan sanggup berpelukan dengan pimpinan PAS. Inilah dia, lupakan perbezaan, perjuangkan persamaan. PAS bukan sekadar gerakan dakwah, tapi merupakan parti politik, sebab itu PAS masuk pilihanraya.


Jika PAS hanya mahu bercakap tentang hudud, syariat, hukum-hukum Islam, Tauhid, saya setuju, dan tak bantah, Tetapi, PAS akan mengalami nasib yang sama seperti 30 tahun lalu. Ataupun PAS boleh menjadi NGO yang hanya bermotifkan dakwah. Tapi PAS memilih demokrasi. PAS masuk pilihanraya. Ini bermakna PAS juga mahukan kuasa. Jika mahukan kuasa, PAS mesti lakukan anjakan paradigma. Untuk mendapat kuasa dalam negara demokrasi, PAS patut membuat gabungan/pakatan yang didalamnya terdapat semua ideologi - liberal, sosialis, Islam, dan lain-lain.


Sebab itu saya tidak setuju dengan pendirian PAS yang dulu, asyik menekankan kewajiban melaksanakan hudud, dan lantang terhadap unsur-unsur yang tidak Islamik, sehingga mempengaruhi sebahagian penyokong PAS dan sehingga peringkat kafir-mengkafir.


Saya tak setuju bukan apa, kerana perkara-perkara tersebut sudah mula kena atas batang hidung PAS. UMNO menjadikan perkara itu sebagai peluru untuk menembak PAS, tatkala PAS mengambil keputusan untuk berpakat dengan PKR dan DAP.


"Tengok tu, dulu cakap nak sangat Islam, kata UMNO sekular, tapi PKR dan DAP yang dasarnya tidak Islam itu bagaimana?"


"Mana dia hudud yang dicanangkan PAS? Mana dia hukum Islam yang diperjuangkan PAS di Selangor, Kedah, dan Pulau Pinang?"


Kan dah kena? Saya tak setuju dengan pendirian PAS yang dulu tapi sangat menyokong pendiriannya yang sekarang.

EKSTREMIS


Saya gelarkan mereka yang tergesa-gesa mahukan syariat ditegakkan sebaik saja berkuasa sebagai golongan ekstremis/pelampau. Malah lebih melampau lagi, ada di antara mereka yang tidak mempercayai demokrasi dan hanya bercakap pasal syariat, syariat, syariat, Tauhid. Bukan saya tak suka, tapi ini negara Malaysia. Iklimnya berbeza dengan Timur Tengah. Kalau nak sebarkan Islam, ada strateginya. Bukan membabi buta bercakap syariat.


Seperti yang saya katakan di atas tadi, jika buat macam itu, orang ramai (sama ada Islam mahupun bukan Islam) bukan semakin mendekati Islam, tetapi semakin menjauhi. Ya betul, Nabi Muhammad (SAAW) sewaktu berdakwah di Mekah baginda hanya menekankan Tauhid dan akidah kepada Yang Maha Esa. Tapi mengapa samakan zaman nabi dengan zaman sekarang?


Zaman Nabi dahulu, penduduk Mekah tidak kenal dan tidak pernah dengar apa itu Islam. Islam yang dibawa oleh nabi merupakan suatu yang baru bagi mereka. Oleh itu, amat mudah menyeru kepada Islam - dan tidak lupa, di zaman tersebut tidak lagi timbul istilah "hak asasi dan kebebasan" dan manusia tidak kenal lagi benda tu.


Berlainan di zaman sekarang, orang Islam mahupun kafir sudah kenal apa itu Islam dan masing-masing mempunyai pelbagai persepsi dan pandangan yang berlainan mengenai Islam. Jadi macam mana? Kita asyik cakap Islam itu baik, Islam itu indah - tapi mereka akan balas, "Kalau awak kata Islam itu agama yang baik, kenapa ramai orang Islam jadi perompak, perogol, dan pembunuh dan pencuri?" "Haiya itu perangai budak-budak Islam teruk loo," "Kalau Islam itu bagus, mesti umatnya baik," "Islam menyekat hak kebebasan manusia, itu haram, ini haram," - hah macam mana, berkesankah pendekatan macam tu?


Tunjukkan teladan melalui pemerintahan yang bercirikan Islam. Macam mana kita boleh mengaku negara Islam, tapi masih ramai yang hidup merempat, indeks rasuah dan jenayah meningkat, korupsi dan penyelewengan? Ini saja yang boleh yakinkan orang ramai dengan Islam.


SAYA SEORANG LIBERAL


Setiap manusia diciptakan dengan sama taraf, mereka diberi pencipta mereka hak-hak yang tidak boleh dinafikan, bahawa ini adalah kehidupan, kebebasan, dan mengejar kebahagiaan, bahawa untuk melindungi hak-hak ini, kerajaan dibuat oleh manusia, yang menggunakan kuasa mereka secara adil dengan izin mereka yang diperintah.


Saya bersetuju dengan kebebasan berfikir, bersuara, batasan kepada kuasa kerajaan, kedaulatan undang-undang, private property, dan ketelusan sistem pemerintahan. Sebab itu saya amat ambil kisah tentang keadilan dan integriti serta maruah. Ini juga terkandung dalam sistem Islam. Namun, jangan salah sangka. Saya bukan Islam Liberal!


KESIMPULAN


Inilah yang akan tetap saya perjuangkan. Saya tak nafikan menegakkan undang-undang Allah adalah wajib dan itu memang hak Allah. Tapi, jika pendirian dan perjuangan saya ini salah, saya memohon kemapunan kepadaNya, dan semoga saya diampuni.

0 comments: