Wednesday, February 10, 2010

"Reformasi" Sekarang Tidak Serancak 11 Tahun Dahulu

Sewaktu laungan "Reformasi" meletus lebih 11 tahun dahulu, saya masih lagi tidak mengerti apa-apa kerana masih lagi di bangku sekolah rendah. Cuma saya ada mendengar cakap-cakap oraang ramai mengenai Anwar-Mahathir dan banyak melihat poster dan pelekat yang bertulis perkataan "Reformasi" dan "Reformasi Keadilan". Hanya setahun selepas itu (1999) baru saya mengerti. Saya melihat kemarahan orang Melayu terhadap Mahathir terlalu membuak-buak. Ramai yang menunjukkan tanda protes. Banyak demonstrasi diadakan. Tapi itu dulu.


Sekarang, laungan tersebut kedengaran lagi. Tapi tidak "semeriah" 11 tahun dahulu. Kalau 11 tahun dahulu orang-orang Melayu boleh berkata "Anwar dianiayai", sekarang mana perginya mereka semua? Semenjak Anwar dipecat dari jawatannya, ramai yang mencurahkan simpati termasuk pemimpin-pemimpin parti pembangkang seperti Lim Kit Siang dan Almarhum Ustaz Fadzil Noor. Bahkan, majalah Tamadun yang selalu menerbitkan artikel yang menghentam Anwar Ibrahim, tiba-tiba bertukar 360 darjah dengan memaparkan banyak wajah Anwar Ibrahim dan juga artikel-artikel yang tidak lagi menghentam Anwar. Ahmad Lutfi Othman sendiri pada waktu itu tidak lagi menulis pada ruangan "Catatan Hujung" dalam majalah terbabit.


Saya ada membaca blog aktivis Reformasi 11 tahun lalu (Norazimah Mohd Nor). Beliau sendiri seolah-olah merasa kesal kerana jumlah orang yang turun untuk memberi sokongan kepada Anwar Ibrahim pada kali ini berkurang. Keadaannya sangat berbeda berbanding 11 tahun lalu. Ini sedikit sedutan daripada blog beliau;


Keadaan amat berbeza sewaktu demo dahulu dan demo sekarang. Kenapa ya...mana pergi mereka yang hari ini sedang memegang jawatan dalam PKR - mahupun dalam Pakatan Rakyat - yang mungkin sebelum ini tak pernah kenal erti reformasi - tidak pernah tahu erti perjuangan - tapi Nora tetap dengan prinsip - selagi Nora lihat perkara-perkara yang tidak menunjukkan keadilan - tidak memartabatkan rakyat - Nora turun untuk membantah....


Kalau dulu, ada juga pemimpin UMNO yang menunjukkan simpati terhadap Anwar, lebih-lebih lagi Zahid Hamidi. Muhyiddin Yassin pun ada mengunjungi Anwar di rumahnya pada hari Anwar dipecat (2 September). Sekarang mereka berdua tidak lagi "berminat" terhadap Anwar. Orang-orang Melayu yang berhimpun dan berduyun-duyun menyokong Anwar dulupun sudah senyap. Ini dibuktikan dengan mereka mengembalikan mandat kepada BN pada 2004 dulu. Agaknya mereka dapati berjuang untuk Anwar ini hanya membuang masa dan tenaga mereka saja kot.. Ataupun mungkin kerana Anwar disebelah pembangkang dan tidak ada imej "orang tak bersalah" seperti 11 tahun lalu.


Sekarang suasana sudah berubah. Tidak ada lagi kain-kain rentang, pelekat-pelekat dan juga poster-poster mengenai Anwar dan Reformasi. Tidak lagi bersepah-sepah seperti dulu walaupun skrip konspirasi 1998 dulu tak jauh bezanya dengan sekarang. Manusia memang senang berubah.


Kulit majalah Tamadun pada Oktober 1998. Penuh dengan berita-berita dan artikel yang menyokong dan tidak lagi menghentam Anwar. Sebelum edisi ini, isi Majalah Tamadun seperti tidak sah kalau tiada artikel menghentam Anwar.


Bermula Majalah Tamadun keluaran Oktober 1998, banyak gambar Anwar menghiasi dalam dan luar majalah terbabit. Banyak juga poster-poster. Ini saya dapat melalui koleksi Majalah Tamadun yang telah dijilidkan dan ditempatkan di tingkat atas perpustakaan di kolej saya.

0 comments: