Saturday, August 1, 2009

Himpunan Anti ISA

Ini merupakan demonstrasi kedua yang saya sertai selepas demonstrasi mansuh PPSMI pada Mac lepas. Saya bertolak ke Kuala Lumpur (Masjid Negara) lebih kurang jam 12.30 tengahari tadi dan tiba di sana pada jam 1.20 petang. Semasa sampai ke stesen KTM Kuala Lumpur, jalan untuk menuju ke Masjid Negara sudah ditutup, dan beberapa anggota polis berkawal di sana. Saya mengambil keputusan untuk ke Masjid Negara melalui jalan jauh, iaitu di Ibu Pejabat Pos Malaysia.


Ketika sampai ke Masjid Negara, suasana lengang, tiada orang di bahagian hadapan masjid. Bahkan pintu depannya juga dikunci rapat. Saya berjaya juga masuk ke Masjid Negara melalui bahagian belakang masjid itu, yang terdedah dan tiada pagar. Di sana saya lihat sudah ramai peserta demonstrasi menunaikan solat zohor. Saya tercari-cari juga puak-puak pro-ISA, namun tiada.

Di atas ini suasana bahagian hadapan Masjid Negara yang tiada orang, hanya ada 2-3 orang polis berkawal di hadapan pagar yang berkunci.

Perarakan bermula dari bahagian belakang Masjid Negara
Perarakan bermula selepas menunaikan solat zohor. Awal-awal lagi kami semua diberi amaran oleh pihak polis supaya bersurai. Namun amaran itu tidak kami endahkan. Kami semua tidak jadi untuk menuju ke Istana Negara, kerana jalan sudah ditutup. Kami semua berarak dari Masjid Negara menghala ke Dataran Merdeka, untuk bergabung dengan peserta demonstrasi anti-ISA dari Sogo dan Masjid Jamek. ( Gambar di atas ini menunjukkan sudah ada peserta demonstrasi yang takut-takut untuk turun selepas polis memberi amaran. Mereka masih lagi memerhatikan kami dari atas.)



Ramai juga peserta perarakan dari Masjid Negara. Sama ramainya seperti demonstrasi mansuh PPSMI pada Mac lepas. Ketika ini kami melalui jalan atas, dan pada penghujung jalan FRU sudah menyekat laluan. Di belakang barisan FRU sudah kelihatan peserta demonstrasi dari Sogo dan Masjid Jamek. Hal itu telah menaikkan semangat peserta demonstrasi dari Masjid Negara. Ada yang bertakbir, dan menjerit " Kawan kita telah datang". Kami semua berhenti seketika, kemudian meneruskan perarakan apabila melihat peserta demonstrasi dari Sogo dan Masjid Jamek ditembak dengan gas pemedih mata.


Kami turun ke jalan bawah untuk mengikuti barisan perarakan yang diketuai oleh Dr. Hatta Ramli. Selain beliau, pemimpin yang saya sempat jumpa iala Zaid Ibrahim dan Mujahid Yusof Rawa. Di bawah inilah saya 2 kali terkena asap pemedih mata.


Saya berlari, ketika itu tenaga saya memang betul-betul hampir habis. Saya hanya mampu berjalan. Walaupun saya melihat trak FRU yang menyembur air berada di belakang, tapi saya tak mampu lari. Ketika itu saya memikirkan, jika air itu disembur ke arah saya, saya akan cari perlindungan di tepi longkang. Tapi nasib baik, air yang dipancut habis dan tak sempat mengenai saya.


Jalan punya jalan, saya sampai ke Sogo. Ketika inilah FRU lagi mengganas, menembak gas ke arah bukan peserta demonstrasi.



gambar kelongsong gas pemedih mata.
Selebihnya saya akan menyambung esok. Dan gambar di atas hanyalah sebahagian daripada yang saya ambil.

0 comments: