Helikopter polis yang berulang-ulang kali berlegar-legar di atas kepala kami. Pada mulanya ia banyak berlegar di kawasan Masjid Negara, kemudian beralih ke Sogo dan Masjid Jamek.
Bahagian belakang Masjid Negara semasa solat Zohor. Dijangkakan jumlah demonstran ketika ini ialah lebih kurang 1000.
Perarakan menuju ke Dataran Merdeka untuk bergabung dengan demonstran dari Sogo dan Masjid Jamek. Laluan ke Istana Negara ditutup.
Eh?! Tiba-tiba Dato' Seri Nizar muncul di sebelah saya! Dia menegah saya mengambil gambarnya, bimbang dimasukkan ke dalam ISA.
"Laluan Bulatan Dato' Onn Ke Tun Perak Ditutup. Ikut Arahan Polis". Perkataan di barisan pertama dan kedua itu memang saya percaya. Tapi perkataan di barisan akhir, saya (kami) tak mahu ikut.
Sebahagian daripada kain rentang yang dibawa. Ada lagi, tapi saya tak sembat ambil kerana keadaan yang agak kecoh ketika itu.
Dari flyover saya zoomkan ke arah pasukan FRU yang berkumpul di jalan yang menghala ke Dataran Merdeka. Saya lihat mereka sibuk membetulkan barisan.
Dr. Mujahid Yusof Rawa. AJK PAS Pusat. Dialah yang bagi arahan kepada para demonstran untuk turun dari flyover dan ikut barisan yang diketuai oleh Dr. Hatta Ramli, ketika itu sudahpun berada di bawah. Malam tadi saya ada baca beliau (Dr. Mujahid) antara ratusan demonstran yang ditangkap.
Inilah Zaid Ibrahim. Bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang menyertai PKR baru-baru ini. Saya lihat mukanya dipenuhi peluh. Saya mengambil kesempatan untuk bersalam dengan beliau dan meminta kebenaran untuk mengambil gambar. (Baru dia tahu macam mana jadi pembangkang hehehe). Saya lihat mukanya dari dekat, dan bertanya di dalam hati, adakah ibu atau bapa kepada Zaid ini orang Amerika?
Lihat lelaki di atas. Tetap bersemangat walaupun kehilangan sebelah kaki. Tetap mahu membantah ISA, jauh lebih bermaruah daripada yang mempunyai 2 belah kaki, tapi takut untuk turun berdemo untuk menegakkan keadilan. Dan lelaki di atas inilah antara yang kuat menjerit kepada demonstran dari Masjid Negara supaya mara ke FRU.
Saya mengambil gambar ini ketika berada di bawah flyover. Ketika itulah FRU melepaskan gas pemedih mata ke arah barisan yang diketuai oleh Dr. Hatta Ramli.
Dari jauh kelihatan asap pemedih mata. Kemudian FRU berkumpul bersama water cannon, dan kami berlari ke bawah flyover. Water cannon disembur, tetapi tidak mengenai kami kerana berada di tempat yang terlindung. Kemudian FRU bersiap-sedia untuk menembak kami. Kami semua berlari ke seberang jalan, dan ketika itulah bertubi-tubi peluru gas pemedih mata ditembak ke arah kami. Kami menjadi panik, dan saya mendengar seorang lelaki menjerit, "Kepala, kepala," - maksudnya, jaga kepala kami, dikhuatiri terkena peluru yang ditembak.
Saya berlari sambil tunduk dan memegang kepala. Di situlah 2 kali saya terkena gas. Dan berlari ke tempat yang jauh. Tak henti-henti saya meludah air liur. Mata terlalu pedih. Nasib baik cepat pulih kerana saya mendapat sedikit air untuk disapu ke muka dan berkumur.
Di hadapan FRU inilah saya berlari kepedihan. Mereka hanya lihat saja. Ketika ini saya sudah berada jauh daripada mereka dan zoom kamera.
Water cannon disembur. Masa ini tenaga saya hampir habis, dan saya hanya mampu berjalan, sebahagian dari kami berjalan menghala ke sebelah stesen KTM Rawang, kemudian ke Bank Negara.
Ketika ini saya sudah ada berdekatan dengan Sogo. Jauh juga saya berjalan, dan saya telah terpisah dengan kumpulan kami yang datang dari Masjid Negara. Kelihatan penjaga butik berlindung di dalam kedai sambil tengok keadaan dari bawah. Ketika baru sampai di Sogo, seingat saya sudah mengabiskan setin air soya, dan 2 bungkus air tembikai untuk menghilangkan letih. tapi saya tetap tak bermaya.
Semasa keadaan mulai tenang di Sogo, ada upacara yang diadakan oleh 4 orang lelaki cina, mereka memegang replika seakan-akan naga, dan seorang lagi cina di hadapan memegang replika kepala manusia, dan melontarkan replika kepala itu ke mulut "naga" tersebut. Orang ramai mula berkumpul untuk mengambil gambar, termasuklah orang yang tidak terlibat dengan perarakan. Orang mula berkerumun.
Tetapi FRU tanpa usul periksa, pergi ke tempat orang berkerumun itu dan menyerang semua yang berada di sana, termasuklah polis yang berkawal di situ turut menjadi mangsa. Sewaktu water cannon disembur, saya mencari tempat perlindungan di tiang bahagian belakang Sogo. saya lihat seorang perempuan menjerit kerah suaminya, kerana menyuruh suamiya melindungi anak mereka. Saya lihat budak itu sudah mula menangis kerana terkena percikan air kimia.
tak cukup dengan itu, bertubi-tubi gas ditembak, saya mendengar perempuan berteriak, dan menangis. Mereka semua langsung tidak terlibat dengan perarakan.
Keadaan tenang di sepanjang jalan menghala ke Masjid jamek. Saya melihat seorang pak cik memegang kelongsong gas pemedih mata, dan saya mengambil gambar tangannya yang memegang kelongsong itu. saya turut memegangnya, tetapi panas.
Pak cik ini tanpa menghiraukan keadaan dan FRU tak jauh di hadapan, sedang kusyuk memotong keropok lekor. Di sebelahnya ada seorang lagi peniaga air. Tempat ini dihadapan pintu utama Sogo. Ketika ini jam lebih kurang pukul 5 lebih. FRU satu demi satu beredar. Dan saya berjalan kaki semula ke Bank Negara untuk menaiki KTM.
0 comments:
Post a Comment