Saturday, May 1, 2010

Berselindung Di Sebalik Syed Qutb



Masyarakat di zaman moden yang penuh dengan teknologi ini tidak mudah menerima sesuatu unsur dan fikrah tanpa berlandaskan logika. Ia hendaklah dikaitkan dengan isu-isu semasa, mampu menjawab persoalan, tidak membosankan dan menjemukan, serta disokong dengan fakta-fakta yang kuat dan menarik.


Bezakan tahap populariti buku-buku yang bersifat current affair, berlegar pada sekitar disiplin falsafah dan sains sosial, politik, sosiologi serta sejarah berbanding buku-buku atau kitab yang ditulis pada puluhan tahun dahulu. Di mana-mana saja, Pesta Buku atau perpustakaan, buku atau kitab yang dikarang puluhan tahun lalu telah dipenuhi sesawang dan menjadi rumah serangga-serangga kecil.


Ya, buku pun ada tarikh luputnya (expiry date). Ia menjadi expired apabila tidak lagi menjawab persoalan yang berlegar-legar di minda masyarakat zaman sekarang. Apabila isinya dibawa di dalam perbincangan ataupun usrah, ia menimbulkan rasa kebosanan pada pendengarnya jika tidak dikaitkan dengan sains, sejarah, falsafah, atau seumpamanya.


Membawa idea yang ditulis puluhan tahun lalu yang berlainan zaman pada masa sekarang bukanlah sesuatu yang boleh memberansangkan. Memang benar Syed Qutb ada menulis puluhan tahun lalu di dalam kitabnya mengatakan tentang Islam itu sempurna dan mencukupi, tidak perlu mengimport berbagai-bagai sistem atau ideologi. Tapi, ketika perkara itu ditulis, zaman itu zaman apa?


Salahkah beramal dengan sesuatu perkara yang tidak bercanggah dengan Islam - bahkan tidak dilarang sekalipun. Sama ada unsur dari politik, ekonomi, dan sebagainya. Selagi mana ia tidak bercanggah dengan ajaran Islam, apa yang hendak dibimbangkan? Masyarakat sekarang mahukan sistem pembaharuan sesuai dengan peredaran zaman. Ia memerlukan satu sumber yang boleh menjawab persoalan. Tidak sama dengan puluhan tahun lalu.


Perkara-perkara yang mempunyai nilai yang serupa dengan apa yang dituntut oleh Islam mahu diamalkan. Jadi, apa salahnya? Islam itu mudah. Jadi, kesalahan tidak wajar diletakkan di atas bahu Syed Qutb, tapi ia mesti diletakkan ke atas orang yang tidak menggunakan akal yang berselindung di sebalik nama Syed Qutb.

1 comments:

Anonymous said...

setakat tulis camtu, anak aku kat pasti pun pandai tulis.

tulis la satu buku lain utk ganti buku sy qutb, baru bole cakap!