Friday, December 18, 2009

Bulan Muharram Bulan Kesedihan


Muharram seringkali dikenali sebagai bulan Hijrah, iaitu sempena mengambil peristiwa penghijrahan Nabi Muhammad SAW bersama para sahabat dari Kota Makkah ke Yathrib (Madinah). Kita dan kebanyakan umat Islam di sini sekadar mengucapkan saja kepada sesiapa tentang sambutan tahun baru Islam ini, yang sinonim dengan kegembiraan, tanpa mengambil tahu akan peristiwa penting yang berlaku di bulan yang sebenarnya merupakan bulan kedukaan ini.


Tahun 60 Hijrah, beberapa puluh tahun selepas kewafatan Rasulullah SAW, telah berangkatlah Saidina Hussain bersama pengikut serta ahlul bait ke Kuffah, Kota Pengkhianatan. Atas jemputan penduduk Kuffah itu sendiri yang mahu membai'ah Saidina Hussain menjadi Khalifah kerana mereka tidak menyukai Khalifah Yazid bin Muawiyah, khalifah yang hidupnya penuh dengan berbuat maksiat serta dosa. Menyedari akan tanggungjawab serta risiko yang bakal ditempuhi, Saidina Hussain membuat keputusan untuk menerima jemputan penduduk kota tersebut, yang pernah menjadi pusat pemerintahan ayahanda Saidina Husain sendiri, iaitu Khalifah Ali bin Abi Talib.


Sekitar tahun 60 Hijrah, juga merupakan antara zaman yang penuh dengan penyelewengan dan pengkhianatan. Disaksikan bahawa umat yang kononnya mengaku Islam bersekongkol mengkhianati Saidina Hussain, cucu kesayangan Rasulullah SAW. Bahkan sanggup membunuhnya dengan kejam. Hussain beserta rombongannya terperangkap di Padang Pasir yang diberi nama Karbala, iaitu tempat bersemadinya jasad beliau yang suci itu. Saidina Hussain sendiri mengetahui bahawa ajalnya ialah di padang pasir itu, tetapi tetap memilih untuk ke sana kerana yakin akan hikmahnya dan tidak mahu lari daripada takdir yang ditetapkan oleh Allah SWT.


Selama beberapa hari khemah pengikut Saidina Hussain dan Ahlul Bait dikepung oleh tentera Yazid, yang diketuai oleh Gabenor Ubaidillah bin Ziyad (laknatullahi 'alaih). Beberapa hari itu jugalah rombongan Saidina Hussain tidak makan dan tidak minum, bekalan air dari Sungai Furat disekat. Sehinggalah tibanya detik bersejarah iaitu tanggal 10 Muharram (Hari 'Asyura), berlakulah pembantaian beramai-ramai kepada keluarga serta pengikut Saidina Hussain. Penduduk kota Kuffah telah mengkhianatinya, langsung tidak ada sebarang bantuan dari sana, apabila para tawanan dari khemah Saidina Hussain dibawa masuk ke dalam Kota Pengkhianatan tersebut, masing-masing hanya mendiamkan diri bahkan ada yang bersembunyi di sebalik rumah masing-masing.


Peristiwa ini telah menjadi satu pengajaran kepada kita semua, Saidina Husain telah menunjukkan contoh bahawa penguasa yang zalim patut ditentangi, oleh kerana itulah Saidina Hussain menerima jemputan penduduk Kuffah untuk menerima bai'ah. Orang yang zalim tidak patut diangkat menjadi pemimpin, dan Saidina Hussain bukanlah seorang yang gilakan kuasa dan pangkat sebagai Khalifah, sebaliknya dia merasa dia yang lebih layak memegang jawatan tersebut dan patut merampasnya daripada pihak yang zalim. Jawatan tersebut merupakan haknya, hak ahli keluarganya, dan hak para ahlul bait.


Sewaktu kelahiran Saidina Hussain, Rasulullah SAW sendiri sudah mengetahui bahawa cucu kesayangan baginda itu akan mati dibunuh di sebuah padang pasir, berita tersebut dibawakan oleh Malaikat Jibril. Dan selepas beberapa lama, Siti Fatimah az-Zahra, yang merupakan bonda Saidina Hussain turut mengetahui hal ini, maka menangislah dia mengenangkan nasib anaknya itu. Tanggal 10 Muharram tahun 60 Hijrah, peristiwa tersebut benar-benar terjadi. Sudah hancur luluh hati dan perasaan Siti Fatimah bersama ayahandanya Rasulullah SAW mengenangkan nasib yang menimpa Saidina Hussain. Semoga Allah melaknat golongan yang menganiayai dan menzalimi ahli keluarga Rasulullah SAW.


Allahumma Solli 'ala Muhammad wa aali Muhammad.


Sesungguhnya bulan Muharram merupakan bulan perjuangan, bulan jihad, bulan kesedihan, dan bulan ratapan. Masukkanlah peristiwa penting ini kedalam lubuk hati masing-masing dan jadikannya azimat untuk menentang segala kezaliman dan kemungkaran di atas muka bumi ini.

0 comments: