Thursday, February 16, 2012

Hukuman bunuh adalah tidak wajar

Saya tak akan sesekali bersetuju dengan hukuman bunuh di dalam mana-mana kes yang membabitkan kepercayaan. Begitu mudah untuk mengambil nyawa seseorang hanya kerana tuduhan menghina. Saya tidak pernah bersetuju dengan tindakan Khomeini yang isytihar hukuman bunuh terhadap Salman Rushdie, untuk dilihat sebagai 'hero' oleh dunia Islam.
Salman Rushdie dikatakan menghina Nabi Muhammad (s) di dalam The Satanic Verse. Menurut sahabat saya, Salman menulis di dalam buku tersebut bahawa syaitan telah ''interrupt'' sewaktu Nabi menerima wahyu daripada Tuhan. Jadi, hasilnya ayat-ayat yang terkandung di dalam al-Quran adalah ayat-ayat yang telah diubahsuai oleh syaitan.
Saya juga tidak bersetuju dengan hukuman bunuh yang dijatuhkan oleh kerajaan Arab Saudi terhadap Hamza Kashgari, ekoran dakwaan menghina Nabi di dalam Twitter beliau. Malahan, saya secara peribadi menentang dan mencela Arab Saudi yang begitu mudah menjatuhkan hukuman bunuh (baca : pancung).
Apakah reaksi Nabi Muhammad apabila ada orang yang menghina serta mengejek baginda? Adakah dalam catatan sejarah yang menyatakan baginda memerintahkan hukuman bunuh terhadap sesiapa yang menghina baginda?
Jika Nabi Muhammad masih hidup di zaman ini - cuba fikir - adakah baginda bersetuju dengan hukuman tersebut?
Nabi, memaafkan penduduk Taif yang melontarkan batu ke arah baginda dan Ibnu Abbas. Nabi tidak bersikap agresif sewaktu tubuh baginda dilontar najis ketika baginda sedang beribadah. Nabi hanya diam apabila seorang Musyrikin Quraish mencaci di hadapannya.
Apakah sudah tidak ada peluang kedua terhadap Hamza dan Salman Rushdie? Hal sebegini sepatutnya diselesaikan dengan dialog dan perbincangan disertai dengan nasihat. Bukan dengan mudahnya memutuskan hukuman dengan menamatkan nyawa seseorang.

0 comments: