Wednesday, October 21, 2009

Ulangtahun Ke-19 Kerajaan Kelantan



Pada 21 Oktober 1990 parti gabungan S46 dan PAS membentuk kerajaan negeri Kelantan Darul Naim. Tuan Guru Nik Aziz dinobatkan menjadi Menteri Besar yang baru menggantikan Ahmad Yaakob. Semenjak mengetuai Kelantan pada 1990 hingga sekarang, berbagai perkara di dalam pentadbiran negeri diubah, sesuai dengan slogan "Membangun Bersama Islam". Negeri Kelantan menjadi negeri yang Islamik di dalam negara Malaysia. Pada awal pemerintahan, Tuan Guru melakukan perubahan drastik dengan menutup kedai judi, menghadkan jualan arak, menutup kedai kerinting rambut, memperkenalkan sistem perbankan Islam, mengasingkan akaun kerajaan negeri yang mempunyai hasil riba, serta menghapuskan riba.


Tuan Guru Nik Aziz juga membuat beberapa perubahan yang belum terdetik bagi mana-mana Menteri Besar ketika itu, contohnya memperkenalkan cuti bersalin, kerja 5 hari dalam seminggu, mengisytiharkan hari Jumaat sebagai hari cuti dan hari menuntut ilmu, rumah minimum 3 bilik, dan sebagainya. Akhirnya perubahan-perubahan sebegini mulai ditiru oleh kerajaan pusat. Jasa Tuan Guru Nik Aziz begitu besar dalam menyuburkan unsur-unsur Islam di dalam pemerintahan. Jika Tuan Guru Nik Aziz tidak menjadi Menteri Besar, maka agak lewat bagi rakyat menikmati semua di atas.


Sepanjang pemerintahan Kerajaan PAS Kelantan, Tuan Guru Nik Aziz dan negeri Kelantan banyak menerima dugaan. Antaranya dinafikan bantuan oleh kerajaan pusat, negeri Kelantan dianak tirikan, sehinggakan Tuan Guru Nik Aziz terpaksa merangkak untuk membangunkan Kelantan, tambahan pula sepanjang pemerintahan beliau, beliau tak habis-habis dicemuh dan difitnah oleh UMNO. Banyak kenyataan beliau dimanipulasi dan diselewengkan oleh UMNO. Tapi Tuan Guru Nik Aziz tetap bertahan hingga sekarang. Kelantan semakin makmur. Agak susah untuk mencari pengganti yang serupa dengan beliau untuk mengemudi negeri Kelantan.


Hari ini saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada Tuan Guru Nik Aziz kerana berjaya memerintah dan mempertahankan Kelantan selama 19 tahun. Hari ini juga genap 19 tahun pemerintahan kerajaan PAS Kelantan. Semoga ia berkekalan.

0 comments: