Wednesday, January 11, 2012

Agama alat untuk pembodohan umat


Candu, atau opium dalam Bahasa Inggeris boleh menjadi bermanfaat jika digunakan untuk tujuan perubatan. Tapi ia juga boleh mendatangkan mudarat yang amat besar jika disalahgunakan. Kerana candu, Penjajah Inggeris dapat menakluki China dengan lebih mudah dalam Perang Candu dalam abad ke-18.
Begitu juga dengan agama. Manusia memang memerlukan agama kerana ianya adalah fitrah. Agama, jika diamal dengan betul ia mampu mendatangkan kesejahteraan di dalam masyarakat. Tetapi bila ia disalahgunakan untuk kepentingan sesetengah pihak - ia adalah satu malapetaka yang maha dahsyat. Proses pembodohan melalui agama mendatangkan hasil yang lumayan. Agama dijadikan sebagai medium untuk mencapai sesuatu matlamat dan ia adalah senjata yang ampuh, terutamanya agama Islam yang mana kebanyakan penganutnya bersikap taksub dan fanatik.
Kata-kata Karl Marx patut dikaji balik secara adil. Beliau mahukan masyarakat berfikir dengan bersandarkan pada realiti. Proses pembodohan umat melalui agama menyebabkan masyarakat Eropah menjadi mundur dalam segala bidang. Bukannya beliau bermaksud untuk menggalakkan masyarakat tidak mempunyai pegangan agama. Tidak!
Saya bukan berfahaman sosialis. Tapi banyak poin yang saya setuju dalam fahaman tersebut. Dengan melihat pada realiti zaman sekarang, terutamanya di Malaysia - di mana agama dijadikan medium untuk memperbodohkan rakyat, memainkan sentimen keagamaan, alat untuk menghasut dan mencapai kepentingan politik (seperti Zul Noordin, Hassan Ali, Perkasa, UMNO, sesetengah "ulamak" dalam PAS, dll), tak hairanlah sekularisme semakin diyakini dan dituntut.
Sekular tak semestinya anti pada agama. Sifat sekular boleh jadi terhasil apabila tidak sanggup melihat agama yang suci dijadikan alat untuk mencapai kepentingan tertentu.
Agamawan yang bijak dan ikhlas tidak akan sekali-kali mempergunakan agama untuk meraih sokongan.

0 comments: