Showing posts with label Nostalgia. Show all posts
Showing posts with label Nostalgia. Show all posts

Sunday, July 19, 2009

Gambar Bercerita : Pemimpin PAS Terengganu Turun Padang

Foto Ihsan daripada Suhaimi al-Maniri


Dari jauh kelihatan Ustaz Abu Bakar Chik (ABC) bersembang dengan penduduk tempatan


Turut mengunjungi kedai mamak ini ialah Abdul Wahid Endut (MP Kuala Terengganu, ADUN Wakaf Mempelam), bersama dengan Haji Mahyuddin (bekas MP Hulu Terengganu). Perhatikan mamak yang tekun mendengar percakapan seorang pak lebai. Dia ialah Jamal, pemilik kedai makan itu (india muslim). Berniaga di situ lebih dari 10 tahun.


Abdul Wahid Endut dan Harun Taib (Pesuruhjaya PAS Terengganu) mendengar celoteh salah seorang ahli parlimen kedai kopi. Lelaki yang berpakaian belang biru putih itu ialah Ali, yang bekerja di kedai kusyen bersebelahan dengan markas pilihanraya PKR di Tanjung. Jika lihat dari jauh, wajahnya seperti Zainuddin Maidin.


Ini gambar yang saya ambil daripada salah seorang blogger yang berasal dari Terengganu. Cuma apa yang saya ingin katakan ialah kedai mamak tempat pimpinan di atas berkunjung merupakan kedai yang saya selalu pergi makan dan minum petang, lebih 3 tahun dulu, ketika saya masih belajar di sekolah menengah. Lokasinya ialah Tanjung. Ada 2 kedai mamak yang berhubungan, lagi satu ialah di seberang jalan. Mereka berniaga di sana sudah melebihi 10 tahun.


Seronok dulu apabila minum di sana, sambil mendengar ahli parlimen kedai kopi mengulas suatu isu politik bersama ahli parlimen kedai kopi yang lain. Kadangkala ulasan mereka mengalahkan Profesor kangkung di Universiti (kangkung yang hanya layak dimasukkan kedalam masakan nasi goreng kampung). Itu semua nostalgia sewaktu zaman sekolah dulu. Tapi kedai mamak ini tak berubah di bahagian hadapannya, sama seperti dahulu.


Di samping itu saya tak lupa juga mengucapkan tahniah kepada Pak Syeikh dan semua pimpinan dan penyokong PKR kerana kemasukan seorang ahli politik yang berpengalaman. Dr. Chua Jui Meng, bekas Menteri Kesihatan. Saya juga ingin mengucapkan selamat datang Dr. Chua ke dalam Pakatan Rakyat. Marilah sama-sama berjuang untuk menghapuskan UMNO/BN yang sebati dengan kezaliman dari sejarah politik Malaysia.


Dr. Chua melepaskan jawatannya sebagai pengerusi MCA Bahagian Bakri, Johor pada 3 hari lepas, dan mengumumkan menyertai PKR pada petang semalam. Tahniah. Pasti Pak Syeikh tidur dengan nyenyak semalam, dan bermimpikan dia semakin menghampiri kerusi nombor satu negara.

Tuesday, June 23, 2009

Ustaz Fadzil Noor Dalam Ingatan


"Tidak ada satu parti politik di Malaysia yang mempunyai tradisi penyatuan ulama' dan golongan profesional yang kukuh seperti yang wujud di dalam PAS"

- Ucapan Dasar Dato' Fadzil Noor dalam Muktamar Tahunan PAS ke-46, 2000.


Hari ini genap 7 tahun Almarhum Dato' Fadzil Noor pergi meninggalkan kita. Mungkin ramai yang terlupa, mungkin sibuk agaknya dengan isu perdamaian Nik Aziz - Nasharuddin, isu mensyuarat Pakatan Rakyat menolak Kerajaan Perpaduan, isu kes liwat Anwar Ibrahim yang akan dibicarakan pada bulan depan, isu PRK Manek Urai, dan lain-lain.



Hari ini merupakan ulangtahun perginya seorang mujaddid di dalam gerakan Islam di Malaysia, yang banyak meninggalkan kesan kepada pakatan pembangkang dan PAS khususnya. Kebanyakan kejayaan pakatan pembangkang yang kita lihat pada hari ini adalah hasil daripada Almarhum yang banyak merintis bentuk perjuangan parti pembangkang.



Almarhum dilahirkan pada tahun 1937, di Kampung Seberang Pumpung, Alor Setar, Kedah. Mula menyertai PAS pada pertengahan tahun 60-an. Mula berkecimpung sepenuhnya di dalam PAS selepas tamat pengajian di Al-Azhar, Mesir. Menjadi Presiden PAS dari tahun 1989 sehingga 2002. Almarhum mula menjadi wakil rakyat di DUN Bukit Raya pada tahun 1982-1999. Pada tahun 1999, almarhum bertanding di DUN Anak Bukit dan Parlimen Pendang, dan memenangi kedua-dua kerusi tersebut, dan seterusnya menjadi Ketua Pembangkang di DUN Kedah dan juga di Dewan Rakyat.



Almarhum lah yang merupakan salah seorang pejuang Islam yang sangat saya kagumi. Pidatonya banyak memberi kesan. Seingat saya, hanya sekali saja saya melihat beliau di depan mata, iaitu pada 10 tahun lepas, sewaktu era reformasi melanda di negara ini. Almarhum dijemput berceramah di Kuala Terengganu, pidato beliau sangat bersemangat dan menyebabkan suasana menjadi agak bising ekoran pendengarnya yang agak bersemangat.



Almarhum dihormati kawan dan lawan. Walaupun nampak lembut di luaran, tapi apabila beliau berucap, ucapannya mampu memberi kesan yang agak mendalam, kadangkala tegas dan keras. Almarhum juga mampu memberi hujah yang baik ketika berucap di Parlimen. Dan beliau berucap tanpa teks ucapan.



Bagi perjuangan pakatan pembangkang, almarhum lah yang menjadi perintis sehingga terbentuknya Angkatan Perpaduan Ummah pada tahun 1990, hasil gabungan daripada PAS, S46, HAMIM, BERJASA, dan KIMMA. Hasil daripada itu, kemenangan besar dikecapi oleh pembangkang. Kemudian almarhum sekali lagi merintis kepada pembentukan Barisan Alternatif, iaitu PAS, PKN, PRM, dan DAP, yang kekal sehingga hari ini dan dikenali sebagai Pakatan Rakyat.



Tindakan permuafakatan politik yang dibawa almarhum sangat sukar diduga oleh pemimpin mahupun penyokong PAS. Siapa sangka pada petang Anwar Ibrahim dipecat, beberapa jam kemudian almarhum tiba di rumah Anwar untuk memberi sokongan, walaupun Anwar berpuluh kali melukakan hati almarhum. Hasil daripada itu, sampai sekarang parti PAS dan Keadilan tidak pernah terpisah. Ini jasa daripada almarhum.


Almarhum juga perintis kepada sebuah NGO iaitu GERAK (Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi) dan juga Gerakan Mansuhkan ISA pada 2001. Semua usaha yang dikerjakan oleh almarhum telahpun membuahkan hasilnya pada hari ini. Kejayaan demi kejayaaan berjaya diperoleh pakatan pembangkang.


Almarhum dimasukkan ke hospital kerana mengadu sakit dada selepas tamat Muktamar di Terengganu, pada Jun 2002. Kemudian almarhum dimasukkan ke HUKM, dan menghembuskan nafasnya yang terakhir di sana. Jenazah almarhum dihantar melalui pesawat dari Subang hingga ke lapangan terbang di Kepala Batas, kemudian dihantar ke Kedah. Pemergiannya dikerumuni oleh 100 ribu rakyat marhaen, yang berebut-rebut mahu mengangkat kerandanya untuk dikebumikan di Madrasah Darul Ulum, Pokok Sena, Kedah.



Almarhum masih lagi sempat "berdakwah" ketika di dalam perjalanan ke liang lahad. Pesawat yang dinaiki jenazah almarhum dipayungi oleh awan. Perkara ini dilihat oleh krew pesawat terbabit, dan menyebabkan pemandu pesawat tersebut yang beragama Hindu, akhirnya memeluk Islam akibat takjub dengan peristiwa tersebut.



Pemergian almarhum merupakan satu kehilangan besar kepada gerakan Islam di Malaysia. Tiada yang dapat menggantikan almarhum. Al-Fatihah.

Saturday, June 13, 2009

Kesian Haji Hadi...

Sekarang sudah ramai yang tidak segan silu berani menghina, mengutuk, mengecam, dan mengumpat Haji Hadi ini ekoran idea yang diperkenalkannya. Walaupun pada pandangan kita, dia memang salah, tapi takkanlah sampai berani melabelkan beliau sebagai "sial", "bodoh", "stupid", "celaka", dan sebagainya. Memang salah Haji Hadi sebab dia yang perkenalkan idea itu, dan tidak pula mahu menjelaskan dengan lebih lanjut, tapi dia pun manusia. Dia pun tak sunyi dari buat salah dan silap.


Kalau dah marah sangat, berlapiklah bila mengata kat dia. Dia bukannya orang biasa. Dalam dadanya penuh dan sarat dengan ilmu yang bermanfaat. Kalau dah tak suka, benci, sekurang-kurangnya hormatilah dia kerana ilmu yang dimiliki. Janganlah memaki dan menyumpah dia seolah-olah dia langsung tidak ada jasa di dalam mengembangkan ajaran Islam dan juga PAS. Beliau tanpa kenal lelah jemu menyampaikan firman tuhannya. Kenanglah sikit jasanya dahulu, di saat negara dilanda fenomena kepimpinan baru pada tahun 80-an. Di masa itu Mahathir baru saja menjadi PM. Memang aura dia kuat, rakyat banyak yang sokong. Ditambah lagi dengan fenomena Anwar Ibrahim yang menyertai UMNO.


Siapa yang mengimbangkan sokongan rakyat kepada UMNO kalau bukan Haji Hadi? Pada tahun 80-an jugalah Haji Hadi mula menonjol, PAS semakin mendapat sokongan, sehinggakan PAS menjadi saingan utama kepada UMNO. {engaruh Haji Hadi masa itu tidak terbatas di Terengganu saja, bahkan hampir keseluruh negara. Pahang, Kelantan, Perlis, Kedah, Selangor, dan Kuala Lumpur. Ramai yang berminat dengan perjuangan Islam ketika itu, ditambah lagi dengan angin Revolusi Iran pada lewat 70-an. Haji Hadilah salah seorang yang banyak berjasa dalam menarik rakyat menyokong perjuangan PAS.


Kesian Haji Hadi. Tak cukup dengan UMNO selalu menghentam beliau, orang sendiri pun nak hentam? Dulu Haji Hadi banyak berhadapan dengan ujian dan dugaan. Kenyataan beliau selalu diputar belitkan oleh kerajaan pemerintah. Dia dituduh di dalam isu kafir mengkafir, ekoran menyampaikan kuliah menggunakan kitab Mustika Hadis, di dalam bab cara yang boleh membatalkan iman.


Tak termasuk dengan Amanat Haji Hadi yang diselewengkan. UMNO menyeleweng amanat tersebut dengan mendakwa, Haji Hadi menyeru rakyat menentang UMNO bukan kerana namanya UMNO, tetapi kerana UMNO berkawan dengan orang bukan Islam. Sungguh berat fitnah itu. Sedangkan amanat yang original ialah semasa Haji Hadi menyampaikan ceramahnya di Kampung Benggol, Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981 yang berbunyi ;


Saudara-saudara sekelian percayalah,

Kita menentang UMNO, bukan kerana nama dia UMNO. Kita menentang Barisan Nasional bukan kerana dia lama memerintah kerajaan. Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah. Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh kerana itulah kita menghadapi mereka. Oleh itulah kita cuba berlawan dengan mereka.


Percayalah saudara-saudara sekelian,

Perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam. Kita tidak perlu masuk Buddha, Kita tidak perlu masuk Hindu, Kita tidak perlu masuk Kristian, Tapi kita menjadi kafir dengan mengamalkan 'politik suku, agama suku'.


Inilah amanat yang sebenar. Cukuplah UMNO saja yang selalu mengutuk Haji Hadi, termasuk UMNO Terengganu yang kuat memaki hamun beliau, janganlah penyokong PAS sendiri yang membuat perkara yang sama. Kesianlah sikit kepada beliau. Beliau telah mengorbankan sebahagian besar kehidupannya demi menyebarkan Islam di negara ini. Berterima kasihlah sikit.

Monday, May 11, 2009

TERKENANG WAKTU DAHULU

Markas besar PKR Terengganu

Waktu itu bahang pilihanraya umum ke-12 sedang membara, seluruh negara menyaksikan kebangkitan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum sedang bersiap sedia untuk mengajar rejim Dollah Badawi dan kuncu-kuncunya. Penulis pada waktu itu bersemangat, turut berkeinginan untuk membantu kempen pilihanraya, masa itu, lebih kurang semimnggu sebelum hari penamaan calon, iaitu 17hb Februari 2008. Penulis berjalan-jalan di sekitar bandar Kuala Terengganu, sesampainya di Tanjung Che Mat Tokey, terus hati penulis bergerak untuk pergi ke satu markas PKR yang ada di sana.


Sesudah masuk, penulis memberi salam kepada penghuni markas yang baru dibuka lebih kurang seminggu pada waktu itu. Terdapat 3 orang, yang semuanya tergolong di dalam warga emas. Mereka dikenali sebagai Pak Mansor (foto) selaku Setiausaha PKR Bahagian Kuala Terengganu, dan 2 orang rakannya Pak Isa dan Ayah Wan. Kami bersembang lebih kurang setengah jam, dan penulis menawarkan diri untuk membantu berkempen. Permintaan penulis itu diterima serta merta, kerana mereka amat memerlukan warga muda untuk bekerja. Bermula pada hari itu, penulis hanya membantu mengemaskan markas yang agak berdebu dan membuang sampah yang bertimbun di dalamnya. Tugas penulis sewaktu di sana agak mudah, membantu setiausaha bahagian menyelesaikan dalam masalah pembahagian alat-alat untuk berkempen, selain daripada menjaga markas. Markas tersebut merupakan markas induk PKR Terengganu. Semua bahan kempen dari pusat dibawa ke sana.


Seperti biasa, tibanya hari berkempen, macam-macam aktiviti diadakan, ceramah kelompok, BBQ, memasang bendera di sekitar markas, dan lain-lain. Penulis amat berterima kasih kepada pak Mansor, Setiausaha PKR Bahagian Kuala Terengganu yang melayan dengan baik, walaupun kami belum lagi kenal sepenuhnya, tapi kelakuan kami seperti sudah lama kenal-mengenal antara satu sama lain. Dia juga Timbalan setiausaha Perhubungan PKR Terengganu. Nama sebenarnya Abd Ghani, tapi entah kenapa ramai yang memanggilnya Pak Mansor.

Mohamad Sabu, calon parlimen Kuala Terengganu, di salah kedai kopi yang berhadapan dengan tempat pembuangan undi
Pejabat Perhubungan PKR Terengganu di Jalan Sultan Mohamad



Tibanya hari membuang undi pada 8 Mac, banyak juga tempat penulis berulang-alik untuk meninjau keadaan di tempat membuang undi. Kami mendapat laporan bahawa ada satu kereta yang dihuni oleh "hantu", terus kami ke tempat tersebut, berjaga-jaga. Tapi hampa. Khabarnya "hantu-hantu" tersebut adalah Puteri-Puteri UMNO. Selepas habis waktu mengundi, ramai orang menjangkakan calon yang bertanding di kawasan itu bakal menang dengan selesa, kerana pengiraan di peringkat awal banyak undi berpihak kepada calon PKR terbabit. malam itu, keputusan bagi Terengganu diumumkan agak lewat, Terengganu gagal ditawan. Lebih mengejutkan, calon yang dijangka menang itu kalah dengan majoriti 1000 lebih undi.


Penulis akui, tujuan penulis berkempen membantu calon PKR pada waktu itu terdorong kerana "terpesona" dengan janji-janji yang dibuat oleh Anwar Ibrahim. Yang membuatkan penulis terus bersemangat membantu calon PKR pada waktu itu ialah, Anwar di dalam ceramahnya selalu menyebut, jika pembangkang berjaya memerintah, pendidikan akan diberi percuma, dari Tadika hingga ke universiti. Dan lagi satu, kalau pembaca hendak tau, selepas menang besar pada 8 Mac, penulis pada waktu itu nyaris-nyaris nak mengisi borang keahlian PKR. Tapi niat tersebut terbatal pada saat-saat akhir kerana penulis mahu lihat dulu perkembangan politik yang akan datang. Nasib baik, tindakan yang dibuat oleh penulis dahulu adalah satu tindakan yang tepat, kerana penulis sudah jenis apakah PKR itu.

Sunday, May 3, 2009

Mengapa Penulis Berjinak Dengan Berpolitik

Kehidupan penulis semasa kecil dahulu sama saja dengan kanak-kanak lain. Tiada apa yang hendak difikirkan, dan langsung tak tahu menahu tentang politik di tanah air. Sehinggalah akhir pada tahun 1998, masa itu penulis baru di darjah 3, semua pelajar di sekolah penulis pada waktu itu sibuk bercakap tentang Anwar dan Madey. Antara soalan yang popular pada waktu itu ialah "Kau sokong Anwar ke Mahathir?" Penulis yang langsung tak tahu menahu pada waktu itu, dan hanya mengenal Madey seorang saja sebagai PM, terus menjawab, "mestilah Mahathir". Selepas memberitahu jawapan tersebut, penulis terus digelakkan. Lama kelamaan barulah penulis tahu konflik di antara Anwar dan Madey. Pada waktu itu, kalau seseorang diketahui menyokong Madey, dia akan dicop sebagai "jahat". Kalau menyokong Anwar, barulah dikatakan baik. Namun, selepas 11 tahun berlalu, barulah penulis sedar bahawa kedua-dua "malaun" tersebut langsung tak boleh dipakai..


Sikap penulis pada darjah 3 itu merebak sehingga ke darjah 4 (tahun 1999), pada masa itu, PRU ke 10 semakin hampir, dan penulis hanya mengikuti orang sekeliling yang rata-ratanya membenci Madey, penulis mula didedahkan pada politik di usia sebegitu, dan akhirnya, lekatlah perkataan "Mahathir Jahat", "Mahathir Bapak Keling", dan "UMNO - Undur Mahathir Negara Okey". Keputusan PRU pada waktu itu mengumumkan bahawa negeri penulis iaitu Terengganu sudah jatuh ke tangan PAS. Apalagi, bersorak gembiralah pada waktu itu.


Selepas waktu itu, sedikit demi sedikit penulis mula tidak mengambil tahu soal politik, hinggalah habis UPSR, naik ke sekolah menengah, satu fikiran baru mulai timbul, penulis mengambil keputusan untuk tidak mengambil tahu urusan politik, kerana pendapat penulis pada waktu itu, "tak kira siapa memerintah, asalkan negara aman, sudah." Pada waktu itu, penulis sudah melupai Reformasi 1998 secara total. Langsung tiada sedikit wajah Anwar Si Mata Lebam di dalam fikiran, dan penulis hanya menyokong dan agak pro kepada BN, tanpa mengetahui fakta. Waktu itu penulis diantara Form 1 hingga Form 3. Penulis langsung tak ambil kisah siapa yang memerintah negara, asalkan negara selamat. Sikap ini hinggalah usia meningkat ke 16 tahun (2005). Dalam tahun tersebut, terjadilah satu peristiwa, yang menyebabkan tanggapan penulis terhadap BN berubah 100%, terjadi pada pertengahan tahun 2005, apabila satu peristiwa menyayat hati berlaku di Kampung Bujal, Kemaman, Terengganu. Rumah serta masjid dirobohkan, tanpa belas kasihan, oleh barua-barua Idris Jusoh.



Sejak peristiwa itu, penulis insaf dan mula menanam kebencian terhadap UMNO/BN dan juga Idris Jusoh, MB Terengganu pada masa itu. Tapi, penulis masih tidak ikut perkembangan politik tanah air pada waktu itu, dan hanya menyokong PAS dari belakang, support segala usaha PAS. Bila penulis mula mengikuti perkembangan politik tanah air? Sewaktu habis SPM, hujung tahun 2006. Isu-isu popular pada waktu itu ialah kejahatan Khir Toyol terhadap Kampung Berembang, dan juga kes pembunuhan Altantuya. Setiap 2 minggu penulis pasti akan membeli Harakah. Minat terhadap politik bertambah apabila penulis mula belajar di Madrasah al-Hidayah (rujuk profile penulis di http://diarireformis.wordpress.com/), pada tahun 2007. Masa itulah penulis terdedah dengan ceramah politik, selalu membeli vcd ceramah, tambahan pula ilmu agama semakin meningkat, membuatkan penulis terus-menerus menyokong perjuangan Islam.


Selepas keluar dari tempat itu pada Jun 2007, penulis semakin kerap pergi mendengar ceramah politik, manakala VCD ceramah yang terkumpul sudah mencecah ratusan keping, dalam masa beberapa bulan. Agak seronok apabila mengambil tahu tentang politik. Banyak maklumat, informasi, serta pengetahuan yang berguna penulis peroleh, membuatkan penulis membuat keputusan untuk terus menjauhi UMNO. Tahun 2008, musim PRU 12, penulis buat pertama kali melibatkan diri dalam berkempen, dengan membantu seorang calon PKR bertanding. Minat terhadap politik terus berkembang di dalam diri penulis sehingga sekarang, tak pernah jemu atau bosan, di samping rajin membaca untuk menambahkan pengetahuan tentang suasana politik dahulu dan sekarang, dan penulis rajin membeli buku-buku politik, untuk dibuat rujukan dan kajian, menggantikan buku-buku belajar yang sepatutnya penulis baca, kerana buku-buku tersebut langsung tiada guna, tidak menarik minat langsung.


Dan sekarang ini, penulis melangkah lebih maju, dengan mula terjun ke dalam dunia blog, dan melahirkan blog ini, sejak dari Februari lepas. Penulis dapat rasakan, kerjaya penulis pada masa yang akan datang akan berkaitan dengan politik..

Sunday, April 26, 2009

Parti India Di Malaysia Bertambah

Di Malaysia ini, kaum India memang banyak fahaman politik. Kalau Melayu, ia cuma ada UMNO, PAS, AKIM, dan lain-lain (tak termasuk PKR). Cina pula, fahaman politik yang ada ialah MCA, DAP, Gerakan, SAPP. Kaum India penulis merasakan terlibat dengan banyak parti, bahkan ada sesebuah parti, walaupun tidak memperjuangkan nasib masyarakat India, tapi majoritinya adalah India. Contohnya Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan PPP (Parti Progresif Penduduk).


Sekarang, ada parti India terbaru, alternatif kepada parti-parti India yang sedia ada, iaitu MINDRAF (Malaysian Indian Democratic Action Front). Macam Hindraf je bunyinya?? Nampaknya semakin meriahlah arena politik di tanah Malaysia yang kecil ini. Pengerusi MINDRAF berkata, parti itu memperjuangkan apa yang sepatutnya yang diperjuangkan oleh parti-parti India yang lain. Dan mendakwa sudah mempunyai ahli seramai 3,000 orang. Jumlah ahli yang disasarkan ialah 10,000. Penulis nak tengok saja. Adalah sebuah lagi parti India yang baru ini senasib dengan parti India yang ditubuhkan oleh Nallakaruppan (MIUP - Malaysia Indian United Party), bekas pemimpin PKR, teman bermain tenis Anwar Ibrahim - yang bertindak keluar PKR sebab merajuk kerana tidak terpilih menjadi calon di PRK Ijok. MIUP akhirnya menyertai BN, sekarang tidak dengar khabar berita lagi, bagaikan melukut di tepi gantang. Jawatan pun tiada. Adakah MINDRAF akhirnya akan menyertai BN? Dan senasib dengan MIUP, gagal menyaingi MIC dan PPP? Lagipun masyarakat India sekarang ini masih lagi bersemangat dengan laungan "Makkal Sakhti", dan selesa dengan PKR.


Antara parti India yang ada di negara ini ialah MIC, IPF, MIUP, dan ditambah dengan yang baru, MINDRAF. Ditambah lagi dengan parti yang bermajoritikan kaum itu, PPP dan PSM, tak ketinggalan dengan minat orang India terhadap PKR, walaupun tidaklah ramai menjadi ahli. Kalau dilihat politik melayu, tengoklah AKIM, serpihan PAS, sampai sekarang tiada sambutan, langsung tidak disebut di mana-mana media, melainkan jika adanya PRK, barulah namanya muncul. Tak lupa juga banyak parti-parti Melayu dulu yang ditubuhkan, tapi tidak kekal lama, seperti Nasma (Parti Nasionalis Malaysia), Hamim, Berjasa, dan lain-lain.

Sunday, March 1, 2009

UCAPAN DSAI SEWAKTU DIPECAT PADA SEPTEMBER 1998

Ucapan Saudara Anwar Ibrahim, selepas dipecat dari jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan


Tarikh : 2 September 1998
Masa : 9.15 malam



Allhamdulillahirrabil`alamin, wassalatuwassallamuala ashrafil anbia iwalmursalin Wa`ala alihi waasahbihi ajma`in …


Assalamualaikum w.b.t
Alhamdullah kita mengucap syukur setinggi-tingginya kepada Allah S.W.T kerana dengan izin-Nya kita dapat berhimpun pada malam ini. Saya sebagai sahabat kepada rakan-rakan semua mengucapkan terima kasih dan penghargaan atas semangat yang ditunjukkan, kasih sayang yang ditunjukkan dan persaudaraan yang tulen. Seperti mana yang kita maklum, saya telah menerima surat daripada Perdana Menteri Datuk Sri Dr. Mahathir Mohammad menyatakan bahawa semua jawatan saya digugurkan dalam kerajaan, berkuat kuasa 5.30 petang tadi. Maknanya saya DIPECAT dari semua jawatan kerajaan. Allhamdulillah saya, Azizah dan keluarga terima ini sebagai satu perkembangan biasa dengan sabar dan oleh kerana jawatan adalah satu amanah maka kita tidak harus terlalu gusar. Tetapi cara tindakan itu saya pertikai. Saya memang dapat perkembangan, maklumat, sikap serta tindakan agak lama.




Sejak surat layang mula diterbitkan tahun lalu, satu tahun lebih yang lalu, ia berkembang dengan begitu meluas kerana didokong oleh tokoh-tokoh penting di dalam kerajaan termasuk satu dua tokoh yang cukup dekat dengan Perdana Menteri. Tetapi saya ambil sikap `husnuzzan' baik sangka, tidak menuduh sesiapa selain daripada yang terbukti.



Pada masa itu Peguam Negara yang sama menggesa saya mengambil tindakan tegas kepada orang-orang yang terlibat menyebarkan. Perdana Menteri menasihatkan kes itu ditutup. Nyata di antara lain kerana nama-nama yang dikaitkan itu melibatkan VVIP dan wang yang dikeluarkan juga banyak dan saya juga menerima surat pengakuan daripada orang dikatakan menandatangani, menafikan dengan sekeras-kerasnya dan bersumpah dengan nama Allah bahawa mereka tidak terlibat.



Jadi dengan itu kes ditutup. Tetapi pada masa itu laporan polis mengesahkan tindakan-tindakan yang diambil itu mempunyai kaitan politik yang cukup hebat. Dan mereka juga memberi ingatan kepada saya tahun lalu bahawa kalau orang-orang berkenaan sanggup melakukan tindakan seperti ini mereka tidak diberhentikan, maka mudah untuk langkah-langkah berikutnya. Dan pada masa itu saya terkejut apabila dimaklumkan bahawa mereka sedang mencari dua pelacur atau GRO yang akan diminta mengaku mengadakan hubungan seks dengan saya, untuk mengaibkan saya. Itu tahun lalu.



Kemudian saudara tahu perkembangan politik negara kita di mana saya menghadapi masalah, dengan beberapa keputusan yang melibatkan korporat-korporat besar tertentu, melibatkan keluarga dan saya terpaksa bertegas di dalam beberapa pekara; walaupun saya menunjukkan sikap yang cukup bertanggung-jawab sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri dan Menteri Kewangan. Di dalam kabinet saya tidak melepaskan kemarahan saya di luar daripada saluran tertutup, terutama berdepan dengan Perdana Menteri.
Tetapi pandangan-pandangan ini sudah tentulah tidak menimbulkan rasa senang. Ini melibatkan juga beberapa keputusan utama, projek-projek utama, PERWAJA umpamanya, pembelian MISC, KONSORTIUM PERKAPALAN dan beberapa yang lain yang diketahui umum.




Semasa Perdana Menteri bercuti saya memilih untuk membentangkan Akta Pencegahan Rasuah yang cukup ketat, dan yang cukup tegas, kerana rasuah ini bermaharajalela di negara kita. Orang-orang yang mempunyai kedudukan mengumpul kekayaan. Jadi saya menganggap sebagai pemimpin UMNO dan Barisan Nasional dan kerajaan harus menunjukkan ketegasan. Jadi saya menghubungi Perdana Menteri yang pada masa itu bercuti di London.



UNDANG-UNDANG RASUAH CUKUP KETAT


Dia kata harus ada Rang Undang-Undang yang tegas. Rupa-rupanya ada segelintir tokoh-tokoh penting yang cukup takut dengan undang-undang yang ketat. Mengapa kita harus merasa gementar dengan udang-undang rasuah kalau kita tidak terlibat dengan rasuah. Dan mengapa harus kita gunakan kedudukan untuk memperkayakan suku sakat kita? Dan keluarga kita ? dan orang-orang yang terdekat dengan kita semata-mata?
Kalau orang-orang itu punyai cara dan kaedah yang betul, orang tidak pertikaikan. Tetapi beberapa langkah itu ternyata tidak sesuai. Itupun saya tidak umumkan secara terbuka melainkan mengambil langkah membentangkan di dalam Parlimen. Rupa-rupanya ahli peniaga dan politik beberapa kerat ini terus-menerus membuat, merencana konspirasi politik untuk mendapat sokongan Perdana Menteri untuk menjatuhkan saya.
Sebab itu apabila buku 50 Dalil dikeluarkan saya sudah agak dari awal, ia adalah satu rencana politik besar untuk mengaibkan dan menjatuhkan saya. Saudara bayangkan dalam sejarah negara kita pernah ada satu buku seperti itu yang disebarkan dengan begitu meluas tanpa ada satu tindakan sekalipun. Buku itu diedarkan di majlis-masjlis rasmi, di masjid-masjid dan diedarkan juga oleh jabatan-jabatan rasmi termasuk dari Jabatan Perdana Menteri sendiri. Jadi saya tentu mengambil tindakan. Jadi saya mengambil tindakan sivil/ mahkamah. Peguam Negara menasihatkan lebih baik kalau diserahkan sahaja melalui laporan polis.
Jadi saya buat laporan polis. Saudara Azmin buat laporan polis, dan beberapa yang lain. Bila kita membuat laporan polis, digunakan kesempatan itu bukan untuk menyiasat kandungan orang-orang yang merencana dan penjenayah dan pemfitnah itu tetapi digunakan untuk menyinggung, menghina dan mendera saya, ahli-ahli keluarga saya dan rakan-rakan saya.




Sehingga saudara Azmin sendiri dipanggil, dengan soal siasat dan lain-lain tindakan sampai tujuh kali. Dan orang-orang penjenayah itu tidakpun mendapat tindakan yang sama. Saudara-saudara saya masih pada masa itu terus bersabar, berbincang dengan Peguam Negara dengan Ketua Polis Negara, merayu kepada pertimbangan, peri kemanusiaan dan keadilan Perdana Menteri, tapi nampak tidak banyak kesan.
Bila anggota keluarga saya diganggu, saya juga mendapat rayuan dari ibu bapa saya, saya maklumkan juga kepada Perdana Menteri..Cukuplah. Kalau saya, Timbalan Perdana Menteri Negara, dibuat begitu rupa, apa lagi nasib rakyat biasa. Telefon rumah saya memang dirakam. Bukan baru...bertahun. Saya maklum kepada Perdana Menteri dan Perdana Menteri memang mengesahkan. Saya masih sabar kerana alasannya sekuriti. Kemudian bila Datuk Nala ditangkap, saya rasa mestilah isterinya merayu.




Sebab Datuk Nala saya biasa bermain tenis dengan dia. Pada masa-masa lain saya main dengan Datuk Ghazi ataupun dengan Allahyarham Datuk Wan Adli. Jadi saya tanya dan dari jawapan pihak-pihak yang bertanggung jawab, saya anggap sudah satu sandiwara dan mainan kerana mahu dikaitkan dengan beberapa kegiatan yang kurang baik, yang kononnya dilakukan oleh Datuk Nala. Saya masih terima kerana saya tahu saya tidak bersalah. Saya tahu saya pergi dengan siapa dan saya keluar jam berapa. Rekod polis ada saya balik jam berapa. Tiap kali di luar tennis court memang ada kereta polis. Mengapa kali ini ditutup itu semua. Ada kes yang dilibatkan dengan saya, semasa saya pemangku Perdana Menteri. Bolehkah saya pada masa itu boleh bergerak kemana-mana tanpa ada kawalan polis? Tetapi ini semua dipadamkan.



Dan cerita dibuat kerana kalau mahu tuduh saya rasuah agar sukar orang terima kerana boleh semak berapa kekayaaan yang saya ada. Berapa rumah ada ? Berapa ekar tanah ada ? Berapa mobil ada ? Besok bila kereta rasmi saya diambil, yang saya ada hanya kereta Proton yang agak buruk mungkin sepuluh tahun umurnya dan Pajero. Itu sahaja yang hak saya dan rumah saya di Damansara. Jadi kalau untuk rasuah saya rasa sukar. Kemudian sekarang ini ditambah hal-hal lain.



TUDUHAN SKANDAL SEKS ADALAH FITNAH YANG MELAMPAU


Kalau dulunya cerita serbuan dan lelaki itu sukar, sekarang nampaknya pelacur boleh diambil apa sukarnya? Boleh dibayar. Saya tanya Perdana Menteri, apa Datuk Sri fikir susah untuk saya mencari dua pelacur dan mengupahnya mengaku ada hubungan seks dengan Datuk Sri? Dia faham maksud saya. Tapi kita orang beragama, kita ada perinsip akhlak dan moral, kita tidak lakukan begitu dan tidak bayangkan kemungkinan pekara begitu boleh berlaku. Tetapi hal ini berlaku..



Jadi Datuk Nala dikatakan keluarkan berita, ada perempuan India yang ada hubungan dengan saya, ada lelaki, ada wang yang saya punyai di rumah dia, ada video seks yang saya punya di rumah dia. Mobil dia yang baik itupun saya punya. Itu bangkrap politik namanya. Itulah sebabnya pada masa itupun saya cukup yakin konspirasi politik ini untuk menjatuhkan saya.



Saya masih menggunakan jalan yang baik, pendekatan yang bijaksana. Menasihatkan berulangkali dan merayu Perdana Menteri kerana saya anggap dia sebagai bapa. Dan saya katakan, saya tidak mungkin bayangkan bahawa dia juga merestui konspirasi seperti ini. Kalau mahu jatuhkan saya, tidaklah cara yang cukup menghina, mengaibkan ini. Rupa-rupanya rancangan ini sudah lama. Dengan terjadinya kejatuhan Suharto dan naiknya sahabat saya Habibie itu lebih membimbangkan kalangan-kalangan tertentu.



Sebab itu apabila Zahid (ketua Pemuda UMNO) bangkitkan soal kronisme, itu cukup menghantui mereka, luar biasa sekali. Itupun saya tegur Zahid, saya kata ini disiplin parti..sudah, sudahlah, hormatlah keputusan parti. Sebenarnya keputusan parti itu, keputusan Presiden parti. Jadi saya katakan, dan memang Zahid ada dan saya nasihatkan Zahid sudah dan patuhlah, kerana dalam jemaah ini ada peraturan jadi sudah di situ juga.



SINGKIR KETUA PENGARANG AKHBAR



Bila disingkirkan editor-editor Utusan - Johan, dan Berita Harian - Nazri dan Yunus di TV3, rupanya itu juga satu perencanaan awal konspirasi agar media itu dikawal dan dibolot semua oleh mereka kerana mempersiapkan satu ketika di mana tindakan akan diambil ke atas saya. Saya sedar juga pekara ini semua. Itupun saya panggil Nazri, sabar...terima dengan baik. Panggil Johan, sabar...terima dengan baik, bicara dengan Yunus, tak apalah Yunus..Sabar...terima dengan baik.



Dan bila Datuk Nala mengemukakan afidavit itu menggemparkan saya kerana di situ dia terus terang menyatakan dia dipaksa oleh polis menanda tangani tiga fail yang tidak ada hubungan dengan keselamatan ataupun peluru tetapi semata-mata untuk mengaibkan keluarga dan sahabat-sahabatnya yang berkaitan dengan wanita atau wang ringgit dan lain-lain. Dia enggan menanda tangani itu dan mencabar polis dalam mahkamah atas tindakan tersebut.



Allah Maha Besar, orang boleh merancang, "Wa makaru, wa makaru-llah, wallahu khairun makirin" (surah Ali Imran, ayat 54 bermaksud: Orang-orang kafir itu membuat tipu daya, dan Allah membalas tipu daya mereka it. Dan Allah sebaik-baik pembalas tipu daya) akhirnya yang menentukan ialah rancangan Allah S.W.T. Saya juga masih terus teliti tetapi bila siasatan dibuat nyata siasatan itu menjurus ke arah mengaibkan saya yang tidak ada kena-mengena dengan buku sama sekali.



Saya katakan Allah Maha Besar, saya ada peristiharan bersumpah dengan saksi oleh Pesuruh Jaya Sumpah yang ditandatangani secara peribadi lansung dengan peguam oleh Umi Hafilda dan Azizan. Dan bila saya perolehi ditangan saya saya katakan Masya Allah...ini orang-orang cuba dikaitkan dan cuba mengaibkan tetapi mereka dengan sendiri pergi dan membuat pengakuan bersumpah menafikan tuduhan-tuduhan jahat ini. Sebab itu siasatan itu tidak lagi menjurus kepada buku tetapi kepada yang lain.



HAKIM JUGA DISOAL SIASAT



Seorang hakim mahkamah dipanggil untuk ditemuduga dan disoal siasat. Dua soalan penting ditanya hakim kepada hakim wanita itu. Pertama : Apakah saudara ini orang Perdana Menteri atau orang Timbalan Perdana Menteri? Dia jawab : Saya orang Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, saya hakim. Tapi nampaknya saudari lebih baik dengan Timbalan Perdana Menteri. Dia jawab: Ya saya dulu bekerja dengan ROC dan saya juga pernah berkeliling untuk promosi IOFC -Labuan.



Soalan kedua: Apakah ada hubungan sulit dengan Timbalan Perdana Menteri? Dia kata: Tak ada sulit , apa maksud sulit? Ada dinner atau private lunch? Dia jawab: tidak. Ada hubungan yang dikaitkan dengan seks dengan Timbalan Perdana Menteri?
Apa muslihat soalan seperti itu?



Kalau tidak mahu diperangkap semua. Saya tidak hairan kalau seratus orang dipanggil dan mungkin sebahagiannya dibayar dan diupah, untuk membuat pengakuan, saya beritahu kepada Perdana Menteri saudara boleh atur 100 pelacur, dan saya akan katakan saya tidak bersalah dan ini bahkan ini adalah rencana politik yang cukup jahat !!!!
Jadi saudara-saudara ini agak melampau. Saya ada puluhan bukti lain tentang kenyataan-kenyataan ini dan tentang puluhan orang dipanggil dengan cara dan tindakan dibuat. Dan saya tidak menjelaskan, dan teman-teman sama sekali tidak tahu sebab saya fikir saya harus pertahankan kerajaan dan parti dan kita tidak harus sabar, dan biar saya yang tanggung. Biar saya sendiri yang tanggung. Dan biar yang lain itu kita hadapi kemudian.



SAYA TIDAK MELAKUKAN HUBUNGAN SEJENIS! …



Kemudian bangkit lagi soal-soal lain. Ditanya umpamanya soal hubungan sejenis. Ada seorang dipanggil dan digertak. Jika saudara tidak mengaku saya akan buka fail dan charge saudara atas kesalahan saudara, yang saudara lakukan lima tahun yang lalu. Bahkan Azizan itu sendiri adalah pemandu saya 9 tahun yang lalu. Saudara boleh bayangkan macam mana kotornya konspirasi ini berlaku.



Kemudian masalah lain pula. Masalah perbezaan pendapat dalam usul ekonomi. Dulu masa saya jadi Presiden ABIM, saya dituduh agen Libya. Sekarang sudah Timbalan Perdana Menteri saya dituduh agen Amerika Syarikat, kerana orang cemburu cara saya disambut di Amerika. Permaidani merah...ambiklah permaidani merah dari atas rumah sampai ke bawah...tidurlah dengan permaidani merah, nak heran apa? Akhir yang ada kain putih juga selimut...



Cuba istigfhar sama...kebetulan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat itu teman lama saya semasa dia senator lagi, jadi bila saya sampai ke Pentagon, dia kata sebagai sahabat dia nak bagi penghormatan. Wah..dia baca ini adalah bukti dia agen facist(?) Dia ingat politik kita murahan begitu sekali. Sudah tahu bagaimana saya dihina dan dicerca melalui media, seolah-olah saya ini tidak ada maruah dan terlibat dalam jenayah seks ala Clinton. Dia kata saya tak boleh jawab kerana ini urusan mahkamah. Saya tak boleh jawab kerana saya Timbalan Perdana Menteri, kena jaga hati Perdana Menteri.



Yang akhir yang kemungkinan saya didakwa nanti , kalau tidak malam ini dia ambil, mungkin besok, atas membocorkan rahasia kerajaan , atas Akta Rahasia Kerajaan kerana kononnya kabinet fail ke fail apa ke , kontrak diperolehi di tangan orang lain. Mana tahu fail itu dicuri dan dijadikan alasan. Mana tahu orang lain yang terlibat . Mengapa saya ? kerana tidak ada kes lain yang boleh digunakan. Kalau keadilan tidak dapat diberi kepada orang yang punya kedudukan seperti saya, keadilan apa bagi rakyat ?



SAYA TIDAK ADA RUMAH RASMI DI PUTRA JAYA



Dan kita dituntut untuk menegakkan keadilan. Jadi saudara-saudara, saudari-saudari, keadaannya begini sekarang. Saya bersyukur kepada Allah S.W.T, lebih-lebih lagi kerana saya dan Azizah nampak tidak sedikit pun rasa gusar atau takut hilang jawatan atau rasa besok `traffic out rider' sudah tidak ada, Mercedes pun hilang, dan rumah pun tak ada. Nasib baik rumah saya sekarang kosong. Perdana Menteri beritahu saya "Tak apalah you boleh ambik one month". Saya kata "No, once I get a letter, give me one or two days I'll get out from the house."



Saya tidak rasa terlalu hebat, nak bina rumah ratusan juta untuk saya duduk. Sebab itu di Putra Jaya walaupun diserang oleh parti pembangkang, bahawa saya dah punya rumah rasmi, saya nak maklumkan kepada saudara-saudara, sampai hari inipun saya belum mengesahkan rumah rasmi saya di Putra Jaya. Belum ada. Tapi saya tak dapat jawab kerana kalau saya jawab, saya menyinggung orang lain. Itu disebut harga rumah rasmi Timbalan Perdana Menteri RM50 juta, harga rumah rasmi Perdana Menteri RM200 juta, saya tidak boleh jawab kerana saya tidak punyai dan belum luluskan apa-apa.



Begitu juga senarai yang diberikan kononnya keluarga saya terlibat. Saya tidak pernah luluskan satupun projek sepanjang saya menjadi Menteri Kewangan untuk mana-mana ahli keluarga saya. Boleh semak sepanjang saya jadi Menteri Kewangan mana-mana saham saya luluskan untuk ahli keluarga saya. Yang dikeluarkan atas nama ayah saya itu, atas nama IOI, dan dia terlibat dalam projek IOI itu sebelum saya jadi Menteri lagi. Dan saya tidak terlibat dalam kelulusan itu. Satu projek kecil hospital Tampoi entah apa…Itu nak disamakan dengan projek berbiliun ringgit yang diberikan kepada orang-orang lain dan orang-orang tertentu?
Haa..ini orang boleh baca sekali gus…Dia fikir dia renung ada bedanya. Tapi saudara-saudara, saudari-saudari, apa yang harus kita lakukan? Kita beristighfar kepada Allah S.W.T kita pohon ampun, kerana sebagai manusia kita ada kelemahan, kita ada kesilapan, tetapi kita harus ada semangat untuk berjuang menegakkan kebenaran dan keadilan.




SAYA TIDAK LETAK JAWATAN, SAYA DIPECAT!



Saya yakin ahli-ahli UMNO dan rakyat, bahawa Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazan akan tahu sebenarnya. Apa sebab Suharto jatuh maka oleh kerana diganti oleh Habibie maka di sini orang nombor dua sebelum Habibie harus dibunuh sebelum jatuh orang nombor satu. Apakah ini muslihatnya? Apakah kita katakan kita tidak ada persamaan dengan politik Indonesia? Tetapi harus mengapa begitu? Sebelum jatuh yang pertama lebih baik bunuh yang nombor dua dulu?



Saudara-saudari..saya dah ambil keputusan, APABILA DISURUH LETAK JAWATAN, SAYA TIDAK LETAK JAWATAN , kerana saya tahu daripada awal ini konspirasi politik yang jahat terhadap saya. Dan sebab itu saya disingkir daripada jawatan - saya terima dan baik dan saya cukup bersyukur kerana disepanjang masa tuduhan itu, dan kes ini dia nampak tenang. Apabila saya katakan pada dia "Azizah, susah ni… belum tentu … you kena kerja balik dekat hospital." Dia kata " Masa I kahwin dengan you dulu tu pun, macam tulah juga."
Jadi sekarang saya minta saudara-saudara gunakanlah kebijaksanaan. Orang menunggu kita lakukan kesilapan, langgar undang-undang, gopoh dalam tindakan, dan ini yang ditunggu dan dinanti oleh mereka
.
(ALLAHU AKBAR, ALLAHU AKBAR, ALLAHU AKBAR) Tepuk tangan



Kita jangan lakukan apa-apa kesilapan, ikut peraturan dan ikut undang-undang. Kalau saya mahu diambil malam ini, jangan halang. SAYA AKAN PERGI SEBAGAI PAHLAWAN.
(ALLAHU AKBAR, ALLAHU AKBAR, ALLAHU AKBAR) Tepuk tangan



Jangan halang, jangan ganggu, kerana pasukan keselamatan jalankan kerja mereka. Saya yakin, sebahagian besar pasukan polis itu orang yang jalankan tugas dengan teratur dan professional. Sebahagian kecil memang diupah atau demi keselamatan masa depan mereka. Belum tentu..



Dan saya nak ingatkan selepas kes ini, hakim mahkamah tinggi yang membuat keputusan dalam kes Sivil mengenai buku telah ditukar. Hakim yang kononnya sahabat saya, Datuk Zainon juga ditukar, dipindah. Dan sekarang ini beberapa pegawai kanan termasuk official assignee dipindahkan dalam masa yang singkat. Saya dituduh untuk mengambil sikap menggunakan BPR untuk menyiasat EPU, menyiasat Ketua Polis Negara, dan menyiasat Peguam Negara. Saya tidak mengarahkan BPR untuk menyiasat. Tapi kalau BPR mempunyai Prinsip dan tegas dan kalau ada bukti...silakan. Tetapi nyata khabar-khabar ini disebarkan untuk timbulkan kemarahan dan prejudis daripada kalangan cabang-cabang instrumen kerajaan termasuk polis, jabatan Peguam Negara dan Badan Kehakiman.



Jadi saudara-saudara saya tidak mengarahkan BPR berbuat demikian. Dan bekas Ketua Pengarah BPR yang memang dibersarakan, tidak diperbaharui, boleh disahkan hal ini. Jadi kalau diminta daripada saya siapa dalang-dalang yang terlibat ini, dalang-dalang ini kaya, punyai jawatan tinggi. Saya tidak bermaksud untuk berbuat demikian sekarang. Saya punyai dokumen, saya punyai tape dan sampaikan masanya kita akan dedahkan..
(ALLAHU AKBAR, ALLAHU AKBAR, ALLAHU AKBAR) Tepuk tangan



Jadi saudara kena gunakan kebijaksanaan sekali lagi, patuh pada peraturan. Saya tidak mahu apa-apa masalah. Kalau benar saudara-saudara simpati kepada saya , pertahankan prinsip perjuangan supaya tidak dijadikan alasan. Namun berjuang mesti diteruskan. Patuh pada peraturan tidak bermakna menjadi bacul. Ada orang bacul kerana takut hilang jawatan.



Saya enggan kompromi tentang hal itu dan saya dihukum dan dipecat walaupun menjawat jawatan yang cukup tinggi, tunggu saat dan ketika menggantikan Perdana Menteri yang kekal lama itu. Jadi saya ingin sekali lagi menyatakan perinsip perjuangan " Wal lazi jahada fina linahdiyannahum subulana wa innallah lama'al muhsinin." (surah al-Ankabut, ayat 69, bermaksud : Dan sesiapa yang berjuang dijalan Kami, maka Kami akan beri hidayat ke arah jalan kami dan sesuangguhnya Allah bersama orang-orang yang baik)



Ada bezanya diantara orang yang melangkah dalam perjuangan. Kalau ditanya apakah hikmahnya dengan semua ujian-ujian ini. Ujian ini bukan untuk kita bebal, untuk kita marah , untuk kita gundah gulana. " La takhzan innallaha ma'ana " (surah at-Taubah, ayat 40: Janganlah kamu berdukacita sesungguhnya Allah bersama dengan kita).



Tetapi untuk kita beristigfhar. Dan kalau tanya saya, saya kata saya lebih banyak beristighfar dan saya lebih banyak insaf dan saya banyak belajar bahawa sebenarnya dalam perjuangan ini yang paling dekat dengan kita adalah orang-orang yang masih berpaut kepada cita-cita dan idealisme mereka. Yang pertama lari daripada kita adalah orang-orang yang berpaut kepada kontrak-kontrak besar.
Jadi saya ucapkan sekali lagi terima kasih kepada saudara-saudari dan doakanlah kepada Allah S.W.T mudah-mudahan diberikan kekuatan kepada kita untuk kita hadapi ujian dan cabaran. Dan percayalah kalau kita dilandasan yang benar, Allah akan merestui perjuangan kita
. " Fathun minallah wa fathun qareeb." (Kejayaan itu daripada Allah dan kejayaan itu sangat dekat)


Wassalamualaikum w.b.t



Tamat : 10.00 malam.