Showing posts with label perjuangan. Show all posts
Showing posts with label perjuangan. Show all posts

Monday, February 22, 2010

Jangan Guna Saluran Demokrasi Kalau Menolak Spekulasi


Pemimpin atas PAS asyik bising dengan kelakuan ahli dan penyokong yang kerap membuat spekulasi. Mereka juga melarang sesiapa yang bersuara dan mengkritik parti. Kalau tak suka ini semua, buat apa PAS berjuang dalam sistem demokrasi? Sistem demokrasi tidak boleh lari daripada spekulasi , persepsi dan kebebasan bersuara/bercakap. Kamu yang beria-ria sangat nak masuk pilihanraya dan berjuang menggunakan platform demokrasi, jadi kena terbukalah dalam menerima pandangan dan kritikan pihak luar.


PAS dalam demokrasi, tak ada bezanya dengan parti politik yang lain. Yan lainnya adalah PAS membawa imej Islam. Untuk menang, PAS terpaksa gunakan jalan yang ada dalam demokrasi seperti menghentam pihak lawan, berkelahi, dan sebagainya. Kalau nak ikut sangat perjuangan cara nabi, PAS sila keluar dari kepompong demokrasi. Guna method yang sama seperti mana Nabi Muhammad berpolitik dan akhirnya berjaya menubuhkan negara Islam Madinah. Nabi Muhammad tak menggunakan pilihanraya atau saluran demokrasi untuk tegakkan Islam. Zaman baginda mana ada benda semua itu.


Perjuangan baginda bermula daripada dakwah. Bukannya ceramah untuk raih undi. Apabila dakwah berkembang dan semakin ramai mahukan Islam, tak ada siapa yang boleh lawan kebangkitan Islam. Inilah method atau kaedah yang digunakan oleh Imam Khomeini dalam Revolusi Islam Iran 1979. Imam Khomeini tidak gunakan sistem demokrasi untuk menggulingkan Shah Iran. Ianya bermula dari dakwah akhirnya membawa kepada kebangkitan umat Islam. Rejim Shah tidak dapat berbuat apa-apa dan akhirnya Shah Iran lari ke luar negara.


PAS telah bergelumang dengan politik demokrasi yang kotor. PAS tidak boleh lagi claim bahawa diri mereka merupakan gerakan Islam tulen. Politik yang digunakan pada zaman sekarang ini ialah politik Machiavellian, "Matlamat Menghalalkan Cara". PAS tidak boleh halang orang ramai menyatakan pandangan terhadap PAS walaupun tidak menggunakan saluran yang betul. Ini negara yang menggunakan sistem demokrasi, jadi jangan syok sendiri.


Kalau masih berkeras juga, sila tarik diri dari menggunakan sistem demokrasi dan juga pilihanraya.

Saturday, June 13, 2009

Kesian Haji Hadi...

Sekarang sudah ramai yang tidak segan silu berani menghina, mengutuk, mengecam, dan mengumpat Haji Hadi ini ekoran idea yang diperkenalkannya. Walaupun pada pandangan kita, dia memang salah, tapi takkanlah sampai berani melabelkan beliau sebagai "sial", "bodoh", "stupid", "celaka", dan sebagainya. Memang salah Haji Hadi sebab dia yang perkenalkan idea itu, dan tidak pula mahu menjelaskan dengan lebih lanjut, tapi dia pun manusia. Dia pun tak sunyi dari buat salah dan silap.


Kalau dah marah sangat, berlapiklah bila mengata kat dia. Dia bukannya orang biasa. Dalam dadanya penuh dan sarat dengan ilmu yang bermanfaat. Kalau dah tak suka, benci, sekurang-kurangnya hormatilah dia kerana ilmu yang dimiliki. Janganlah memaki dan menyumpah dia seolah-olah dia langsung tidak ada jasa di dalam mengembangkan ajaran Islam dan juga PAS. Beliau tanpa kenal lelah jemu menyampaikan firman tuhannya. Kenanglah sikit jasanya dahulu, di saat negara dilanda fenomena kepimpinan baru pada tahun 80-an. Di masa itu Mahathir baru saja menjadi PM. Memang aura dia kuat, rakyat banyak yang sokong. Ditambah lagi dengan fenomena Anwar Ibrahim yang menyertai UMNO.


Siapa yang mengimbangkan sokongan rakyat kepada UMNO kalau bukan Haji Hadi? Pada tahun 80-an jugalah Haji Hadi mula menonjol, PAS semakin mendapat sokongan, sehinggakan PAS menjadi saingan utama kepada UMNO. {engaruh Haji Hadi masa itu tidak terbatas di Terengganu saja, bahkan hampir keseluruh negara. Pahang, Kelantan, Perlis, Kedah, Selangor, dan Kuala Lumpur. Ramai yang berminat dengan perjuangan Islam ketika itu, ditambah lagi dengan angin Revolusi Iran pada lewat 70-an. Haji Hadilah salah seorang yang banyak berjasa dalam menarik rakyat menyokong perjuangan PAS.


Kesian Haji Hadi. Tak cukup dengan UMNO selalu menghentam beliau, orang sendiri pun nak hentam? Dulu Haji Hadi banyak berhadapan dengan ujian dan dugaan. Kenyataan beliau selalu diputar belitkan oleh kerajaan pemerintah. Dia dituduh di dalam isu kafir mengkafir, ekoran menyampaikan kuliah menggunakan kitab Mustika Hadis, di dalam bab cara yang boleh membatalkan iman.


Tak termasuk dengan Amanat Haji Hadi yang diselewengkan. UMNO menyeleweng amanat tersebut dengan mendakwa, Haji Hadi menyeru rakyat menentang UMNO bukan kerana namanya UMNO, tetapi kerana UMNO berkawan dengan orang bukan Islam. Sungguh berat fitnah itu. Sedangkan amanat yang original ialah semasa Haji Hadi menyampaikan ceramahnya di Kampung Benggol, Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981 yang berbunyi ;


Saudara-saudara sekelian percayalah,

Kita menentang UMNO, bukan kerana nama dia UMNO. Kita menentang Barisan Nasional bukan kerana dia lama memerintah kerajaan. Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah. Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh kerana itulah kita menghadapi mereka. Oleh itulah kita cuba berlawan dengan mereka.


Percayalah saudara-saudara sekelian,

Perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam. Kita tidak perlu masuk Buddha, Kita tidak perlu masuk Hindu, Kita tidak perlu masuk Kristian, Tapi kita menjadi kafir dengan mengamalkan 'politik suku, agama suku'.


Inilah amanat yang sebenar. Cukuplah UMNO saja yang selalu mengutuk Haji Hadi, termasuk UMNO Terengganu yang kuat memaki hamun beliau, janganlah penyokong PAS sendiri yang membuat perkara yang sama. Kesianlah sikit kepada beliau. Beliau telah mengorbankan sebahagian besar kehidupannya demi menyebarkan Islam di negara ini. Berterima kasihlah sikit.