Showing posts with label berita. Show all posts
Showing posts with label berita. Show all posts

Thursday, August 27, 2009

Diskriminasi...!!!

Zunar & Gedung Kartun


Mungkin inilah penyebab KDN bertindak merampasnya. Gambar PM tersilap mengibarkan bendera Mongolia sempena Hari Kemerdekaan.




Salam Ramadhan,


Demam PRK N.11 sudahpun berakhir. Tapi ada satu benda yang memang tidak menyenangkan. Pihak KDN yang dikawal oleh UMNO telah merampas beratus-ratus naskhah Majalah Gedung Kartun di Pejabat kartunis Zunar dan juga di beberapa tempat percetakan. Majalah ini merupakan majalah kartun alternatif hasil karya beberapa orang kartunis yang biasa melukis di akhbar Harakah dan Suara Keadilan seperti Zunar, Ronasina, Jonos, dan lain-lain.


Kartun pun sudah jadi ancaman. Nak gelak pun tak boleh! Majalah sebegini dirampas seolah-olah ianya sangat berbahaya. Sedangkan banyak lagi majalah-majalah mengarut di pasaran bebas saja dijual kepada orang awam, khususnya anak-anak muda. Kenapa tak ada rampasan pun? Majalah yang memaparkan artis-artis yang seksi di muka hadapan, kenapa tak ada tindakan? Inilah diskriminasi. Kuman seberang laut nampak, babi depan mata tak nampak!


UMNO/BN menerusi KDN hanya akan bertindak jika sesuatu perkara atau benda yang menyebabkan UMNO lemah. Kenapa tak dirampas majalah Mangga? Kerana ia tak menjejaskan kuasa UMNO/BN. Samalah juga dengan demonstrasi. Juga berlaku diskriminasi. Kenapa kita demonstrasi mengenai Bersih, PPSMI, dan Anti-ISA, UMNO akan mengerahkan polis untuk menyerang kita? Sedangkan jika dibuat demonstrasi atau perarakan Maulid Nabi, demonstrasi anti-Israel, polis hanya diam membatu? Sebab domonstrasi anti-Israel tidak jejaskan kuasa UMNO!


Tapi mereka sangka mereka cerdik, tak sedar tindakan mereka merampas Gedung Kertun keluaran pertama akan membuatkan 1 Malaysia ingin tahu apakah isi kandungannya, sekaligus menarik minat mereka untuk memiliki majalah tersebut. Zunar dan konco-konconya akan menjadi lebih terkenal, dan semestinya jualan Gedung Kartun akan bertambah! Kepada sesiapa yang ingin melanggan Gedung Kartun, boleh melayari blog Zunar & Konco di http://koncozunar.blogspot.com.


p/s : Sebelum era Reformasi, kartunis Zunar melukis di majalah Gila-Gila, selepas itu beliau beralih untuk melukis di Harakah, dengan watak kartun hidung besar yang popular, sehinggakan saya ketika itu hampir-hampir nak tergelak jika melihat kartun hidung besar di bahagian hadapan Harakah.


Zunar juga merupakan bekas editor akhbar Suara Keadilan.

Sunday, August 23, 2009

ADUN PKR Buat Hal Lagi...



Salam Ramadhan,


Baru masuk hari kedua umat Islam berpuasa, pagi tadi ADUN Lunas Mohd Radhi Salleh (kiri) mengumumkan keluar PKR dan menjadi ADUN Bebas melalui sidang media di Hotel Legend, Kuala Lumpur, 11.30 pagi tadi. Beliau yang juga exco pelancongan tidak pula lepaskan jawatannya. Alasannya, sudah hilang keyakinan terhadap pimpinan parti. Begitu juga dengan Pemangku Ketua PKR Bahagian Padang Serai, yang bertindak keluar parti dan membubarkan bahagian itu.


Hanya tinggal 2 hari lagi untuk pembuangan undi di Permatang Pasir. Malam nanti memang riuhlah berita di media kerajaan. Memang bermasalah betul. ADUN Lunas ni bermasalah ke? Teringat dengan peristiwa ADUN-ADUN lompat parti jadi Bebas di Perak dulu. Berbagai ancaman terhadap Pakatan Rakyat bermula dari Perak, kemudian Selangor, dan kini di Kedah. Tapi jika kita amati sebab yang dikatakan oleh ADUN Lunas tersebut, yang menjadi ahli sejak 1999 lagi ialah : " PKR sudah lari dari perjuangan dan telah lama bersabar dengan karenah PKR…hari ini saya merasa lapang dada dan ringan kepala setelah umum keluar PKR. Beban ini telah terpendam lama dalam diri saya. Mereka sudah tidak peduli kepada perjuangan asal PKR"



Betul ke?



p/s : ADUN PKR Pelabuhan Klang di Selangor apa cerita? Menteri Besar dah suruh letak jawatan kalau dah tak mampu kerja lagi...

Friday, July 17, 2009

Terbunuh Atau Dibunuh?

Perhimpunan di hadapan bangunan MACC di Shah Alam. 6 tangkapan dibuat, dan akan diteruskan. Mereka menuntut keadilan, tapi dilayan oleh pihak penguasa yang lebih hina daripada haiwan.



Setiausaha politik kepada Ean Yong Hian Wah (exco kerajaan Negeri Selangor), Teoh Beng Hock yang ditemui mati selepas didakwa terjatuh dari tingkat 20 bangunan MACC.



Teoh Beng Hock ditemui mati selepas menjadi saksi di dalam siasatan SPRM berkenaan dengan exco Kerajaan Negeri Selangor Ean Yong Hian Wah. Teoh dipercayai terjatuh dari tingkat 20 bangunan Wisma Masalam. Dia membunuh diri atau dibunuh? Inilah kesannya dari perbuatan gila SPRM yang menjadi barua kepada kerajaan UMNO/BN. Jika ada kes yang melibatkan pimpinan Pakatan Rakyat, siasatan segera dilakukan. Tapi jika ia melibatkan pemimpin UMNO, semuanya buat-buat diam membisu.


Siapa nak bertanggungjawab? Logik ke dia bunuh diri, sedangkan keesokan harinya adalah hari pernikahan beliau? Nampaknya polis kena betul-betul buat kerja dalam kes ini. Janganlah keluar keputusan yang Teoh membunuh diri kerana tertekan. Memalukan kalau macam tu. Pihak SPRM dan polis majoritinya adalah muka Melayu Islam, tapi hidup atas dunia ikut cara kafir. Diskriminasi. Double-standard. Bila sesuatu kes melibatkan pembangkang, dengan serta merta tindakan diambil. Memalukan. Orang bukan Islam lebih bermaruah daripada puak-puak jahanam ini.


Isu berkenaan rumah Khir Toyo, mana dia peranan SPRM?? Tapi cepat saja bertindak dengan kes lembu yang melibatkan Menteri Besar Selangor. Semalam lebih kurang 300 orang berhimpun di hadapan bangunan MACC di Shah Alam, menuntut keadilan bagi pihak mendiang Teo beserta keluarganya.


Malu betul duduk di Malaysia, pemerintah hanya memakai topeng Islam.

Tuesday, July 7, 2009

Kesian Pak Syeikh


Kadang-kadang perasaan kasihan timbul di dalam diri saya apabila melihat Pak Syeikh tersenyum dan tersengih macam kerbau baru sudah minum air. Selama ini asyik hentam dia, sesekali ada juga rasa kesian pada orang tua ni. Bukan apa, kiri-kanan orang hentam dia, sejak September 1998 sampailah sekarang. Bermacam-macam cara dibuat untuk menyakitkan orang tua ini.


Besok merupakan hari perbicaraan kes liwat yang terbaru. Ramai yang kata ianya adalah konspirasi dan cubaan kedua untuk memasukkan orang tua ini sekali lagi di mahligai Sungai Buloh. Tak tahulah. Tapi si penuduh yang memfitnah itu mesti ada sebab dan alasan untuk kenakan Pak Syeikh. Kalau berjaya, pasti orang UMNO bergembira.


Kesian Pak Syeikh, orang maki hamun dia dari dulu hingga sekarang. Baru dia rasa betapa peritnya menjadi pembangkang di dalam negara. Dulu ikut sedap mulut saja hentam pembangkang, kata macam-macam. Kadang-kadang kelihatan lebih sudu dari kuah, sebab Presiden UMNO dulu taklah hentam pembangkang seteruk dia ni. Itu cerita lama.


Sekarang mungkin orang tua ni dah sedar, seksanya menjadi pembangkang, dan berhadapan dengan pemerintah yang zalim. Jika cubaan memasukkanya ke dalam Sungai Buloh buat kali kedua berjaya, nak tengok saja, macam mana keadaan Parti Keadilan. Berapa ramai yang setia, dan berapa banyak yang tidak tahan.


Macam 10 tahun dululah, berapa kerat saja yang bersusah payah bekerja untuk Parti Keadilan ketika Pak Syeikh masih berada di Sungai Buloh. Sekarang nak lihat berapa ramai yang betul-betul istiqamah. Adakah laungan "Reformasi" akan bergema di seluruh negara buat kali kedua? Saya rasa tidak. Laungan tersebut sudah basi dan hanya laku pada 10 tahun dulu saja.


Nak tengok juga berapa ramai rakyat yang berkumpul, adakah sama banyak macam 10 tahun dulu. Jika dulu majoriti yang berhimpun adalah Melayu, dan semestinya kebanyakannya dari UMNO. Sekarang kalau berhimpun pun, mesti bercampur dengan kaum lain. Kemungkinan Melayu yang berkumpul tak seramai 10 tahun dulu.


Lihatlah 10 tahun dulu, berduyun-duyun orang berhimpun di mana-mana untuk Pak Syeikh, sekarang mana dia orang semua?


Kesian Pak Syeikh..malangnya.

Monday, July 6, 2009

Siapa Nak Duit?

Rasul Melayu, Kahar. Foto ihsan daripada Fariz Musa


Siapa nak duit RM 10 ribu dengan senang, segeralah cari dan tangkap si mangkuk hanyun ini dan serahkannya kepada JAIS. Muka huduh dan tak bersih, ada hati nak jadi rasul. Kononnya surah Yasin turun kat dia.


Dia ni pernah ditangkap dan dibicarakan di mahkamah syariah. Tak bertaubat. Kalau ikutkan hukum Islam, sepatutnya dia ni dikenakan hukuman pancung kerana telah murtad. Oleh kerana pemerintah negara ini tidak berminat dengan Islam, maka lahirlah gejala-gejala seperti ini.


Yang tak masuk akalnya ada juga melayu yang percaya dan ikut "rasul" ni. Kononnya akan dijanjikan syurga, sampai sanggup bertekak untuk membela rasul mereka itu. Macam-macam, dunia dah hampir kepada kiamat. Semakin ramai yang mengaku nabi/rasul.

Thursday, July 2, 2009

DAP Kedah Keluar Pakatan Rakyat

Semalam DAP Kedah telah mengumumkan untuk keluar dari Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah, atas alasan pimpinan kerajaan Kedah gagal menyelesaikan siri isu sejak Pilihanraya Umum ke-12. Kenyataan ini melalui pengerusi DAP negeri iaitu Thomas Su.


Mungkin DAP Kedah berasa terpinggir. Kerusi pun hanya dapat 1 saja. Antara 2 isu utama ialah penutupan pusat penyembelihan babi di Alor Setar dan isu kuota 50% ekuiti bumiputera dalam projek pembangunan perumahan. Mereka pandai memainkan politik mendesak. Mendesak supaya orang ikut arahan dia. Itulah cara orang Cina berpolitik.


Mungkin juga DAP Kedah hendak mengulangi drama pada tahun 2000 apabila DAP keluar daripada Barisan Alternatif atas alasan tidak setuju dengan dasar-dasar PAS. Babi di Malaysia ini sudah dikira agak banyak. Terlalu banyak hingga makanan yang dimakan oleh orang Islam pun ada unsur-unsur babi. Mereka ni nak tunggu satu Malaysia dijangkiti H1N1 baru nak kurangkan babi?


PAS juga patut bertegas di dalam hal yang tidak menguntungkan parti itu. Selama ini PAS dilihat seakan-akan tunduk saja kepada parti-parti lain di dalam Pakatan Rakyat. Perlu diingat, PAS suatu masa ketika dulu ialah parti pembangkang terkuat di tanah air. PAS juga parti yang senior. Nasib baiklah Menteri Besar Kedah Ustaz Azizan tegas di dalam perkara ini.


Beliau menyerahkan keputusan DAP negeri kepada DAP Pusat, dan berkata DAP negeri yang memutar belitkan isu mengenai perobohan pusat penyembelihan babi tersebut. Bila terdesak mulalah buat tekanan, kerana hanya ada 1 kerusi, dia pun nak merasa jugak kuasa di negeri Kedah, tanpa memikirkan nasib PAS di Pulau Pinang yang turut terpinggir di dalam kerajaan negeri.


Syabas kepada Ustaz Azizan. PAS tidak perlu tunduk kepada mana-mana parti di dalam negara ini. Kejayaan besar pembangkang di dalam negara ini juga berkat daripada sokongan orang PAS, yang mengundi parti pembangkang.

Friday, June 19, 2009

Golongan UG Tersepit

Pendirian tegas yang dikeluarkan oleh Mursyidul Am PAS tentang idea Kerajaan Perpaduan membuatkan golongan yang menyokong idea itu diam membisu. Nasharuddin sudah berkali-kali ditelefon, tetapi tak berjawab. Haji Abdul Hadi Awang buat masa sekarang masih lagi berada di luar negara, manakala Mustafa Ali diam seribu bahasa.




Dan mereka mungkin lebih tersentak lagi dengan tindakan 10 ahli parlimen PAS yang menyokong serta berdiri teguh di belakang Mursyidul Am di dalam isu kerajaan perpaduan. Mereka ialah Dr Hatta Ramli (Kuala Krai), Khalid Samad (Shah Alam), Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor), Datuk Kamaruddin Jaffar (Tumpat), Siti Zailah Mohd Yusoff (Rantau Panjang), Dr Siti Mariah Mahmud (Kota Raja), Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali (Titiwangsa), Dr Mohd Hayati Othman (Pendang), Taib Azamuddin Md Taib (Baling) dan Dr Mujahid Yusof Rawa (Parit Buntar).




Dengan tindakan itu, maka diharap idea Kerajaan Perpaduan berhenti serta merta. Janganlah bila penyokong sudah bising, diminta jangan ulas lagi isu ini. Lepas tu pemimpin UMNO bagi respon, dan pemimpin pro-UG ini bersuara semula. Kalau dah sekali senyap, biar senyap terus. Dan berita terbaru, Kelab Penyokong PAS awal-awal lagi dah bagi warning kepada pemimpin pro-UG supaya jangan turun ke Manik Urai. Tengoklah, gara-gara Kerajaan Perpaduanlah habis jadi kecoh. Dan satu lagi kononnya poster Presiden PAS tidak akan ditampal di sana. Yang ada hanyalah poster calon bersama Mursyidul Am merangkap Menteri Besar Kelantan.




Satu-satu perkara yang berlaku berkaitan dengan idea Kerajaan Perpaduan telah membuatkan pendokongnya tersepit. Inilah padahnya bila mengemukakan idea yang tidak pernah dibentangkan di dalam mana-mana mesyuarat parti dan juga dalam Pakatan Rakyat. Dan untuk menghapuskan kekeliruan ini, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat akan mempengerusikan mesyuarat khas yang akan dihadiri pemimpin tertinggi parti itu bagi membincangkan isu kerajaan perpaduan. Dan mesyuarat tersebut akan dipengerusikan oleh beliau sendiri.

Monday, June 15, 2009

Gugurnya Sebutir Permata



Hari Sabtu yang lepas merupakan hari kesedihan bagi umat Islam di seluruh dunia, kerana permata yang menyinar sebelum ini sudahpun malap. Syeikh Fathi Yakan, ulama' besar Lubnan telah kembali ke rahmatullah akibat sakit yang dideritainya. Ini merupakan satu kehilangan yang besar bagi orang Islam, ulama' yang sukar untuk dicari ganti. Banyak jasa almarhum di dalam menggerakkan perjuangan Islam sama ada di Lubnan ataupun dunia.



Salah satu kitab karangan almarhum yang masyhur ialah "maza ya'ni intima'i lil Islam" , atau diterjemahkan di dalam Bahasa Melayu ialah "Apa Ertinya Saya Menganut Islam". Saya ada menyimpan satu terjemahannya yang dikeluarkan oleh Pustaka Salam. Isi di dalam kitabnya mudah dan senang difahami. Semoga roh almarhum dicucuri rahmat.



Ungkapan "patah tumbuh hilang berganti" tidak sesuai digunakan untuk ulama'. Kerana dengan kehilangan mereka, untuk mencari penggantinya adalah amat sukar sekali. Inilah tandanya kiamat semakin hampir. Di akhir zaman Allah SWT menarik ilmu agama secara beransur-ansur dengan mematikan para alim ulama'. Maka kesannya ramai manusia menjadi bodoh dan jahil. Dengan itu, mereka akan melantik pemimpin di kalangan mereka yang jahil tentang ilmu agama. Apabila ditanyakan kepada pemimpin mereka akan masalah agama, maka pemimpin tersebut akan menjawab mengikut nafsunya, tidak tahu apa yang dicakapkan, dan keluarlah fatwa yang sesat lagi menyesatkan. Akhirnya, lebih ramai yang suka pergi konsert dan enjoy daripada pergi ke majlis ilmu.

Saturday, June 13, 2009

Tahniah, Presiden Mahmoud Ahmadinejad

Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad diumumkan kemenangannya.


Keputusan pilihanraya presiden di Iran sudahpun diumumkan, dan disaksikan calon konservatif Mahmoud Ahmadinejad sekali lagi diberi mandat oleh majoriti pengundi untuk menjadi presiden di republik Islam itu. Mahmoud Ahmadinejad memperoleh 62.63% undi, menewaskan pencabar utamanya, iaitu calon Reformis Mir Hossein Mousavi dengan hanya memperoleh 33.75% undi. 2 lagi calon yang turut mengambil bahagian dalam pilihanraya presiden ialah Mehdi Karroubi, speaker Parlimen Iran, dan seorang lagi calon, saya lupa namanya. Undi yang diperolehi kedua-dua calon ini tersangat rendah.


Mir Hossein Mousavi pada sidang medianya tadi tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut dan menuduh wujudnya pencabulan undang-undang ke atas pilihanraya yang dijalankan, dan beberapa tempat mengundi ditutup lebih awal. Justeru dia meminta pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamene'i campurtangan.


Mir Hossein Mousavi merupakan bekas Perdana Menteri republik itu pada tahun 1981-1989, yang mengetuai Iran di dalam peperangannya dengan Iraq. Pada masa itu Ayatollah Ali Khamene'i adalah Presiden Iran, dan pemimpin tertingginya ialah Almarhum Imam Khomeini. Ternyata dengan sikap tegasnya terhadap Barat, dan mengamalkan dasar anti-Barat, ditambah lagi dengan peribadi yang baik, Mahmoud Ahmadinejad tetap menjadi pilihan untuk menjadi presiden.


Diharap Mahmoud terus menjadikan Iran sebagai Singa untuk berhadapan dengan Amerika dan Israel laknatullah. Sesungguhnya Allah telah membangkitkan kaum yang lain untuk menegakkan Islam, disebabkan bangsa Arab sudah tidak mahu lagi berjuang. Iran menjadi contoh negara Islam yang berani.


Allahuakbar!
Allahuakbar!
Allahuakbar!

Sunday, June 7, 2009

Berita Muktamar 2




Semalam saya pergi juga Muktamar di Stadium Malawati, dengan satu saja harapan, iaitu mendengar serta menyambut "berita gembira" yang bakal diumumkan. Di dalam posting sebelum ini, saya ada menyebutkan tentang keputusan tidak rasmi yang dikeluarkan berkenaan dengan pemilihan Timbalan Presiden. Gembira jugaklah kerana "puak anti-muqabalah" bakal menang, walaupun bukannya calon pilihan saya. Jadi dengan tidak sabarnya saya bertolak ke Shah Alam lebih kurang pukul 8.30 pagi.



Sesampainya di sana, lebih kurang pukul 10.30 lebih. Masa itu saya tak tahu lagi keputusan sudah dimumkan. Selepas membayar untuk pas "pemerhati", saya bergegas ke dalam stadium. Memang betul saya tak tahu apa-apa lagi keputusan pada waktu itu. Saya sangkakan saya sudah datang awal, rupa-rupanya terlewat lebih kurang setengah jam, kerana keputusan sudah diumumkan pada awal jam 10 pagi. Walaupun begitu, saya masih lagi tak tahu keputusan jwatan Timbalan Presiden memihak kepada siapa.



Tak lama daripada itu barulah saya tahu melalui SMS daripada Uncle Nuar, yang menyatakan bahawa Nasharuddin berjaya mempertahankan jawatan no. 2 itu. Apa lagi, kecewa bukan main lagi pada waktu itu. Melalui SMS itu juga, Uncle Nuar juga semacam tidak berpuas hati dengan keputusan itu, dan mempersoalkan akan peranan perwakilan, walaubagaimanapun beliau menyatakan begitulah kehendak para perwakilan. (P/S : Uncle Nuar = Anual Bakri Haron, S/U Politik Tuan Guru Nik Aziz). Tapi saya rasa pelik betul, kerana mengikut keputusan tidak rasmi, Husam sepatutnya memperoleh undi sebanyak 400 lebih, tapi apabila keputusan sebenar diumumkan, hanya 281 saja.



Pada malam selepas pengiraan undi, keputusan tidak rasmi telah dikeluarkan, dan menyatakan bahawa Husam Musa menang tipis. Berikut adalah keputusan tidak rasmi, Husam (453 undi), Nasha (388), dan Mohamad Sabu (188). Dan apabila keputusan yang rasmi diumumkan, undi yang di dapati oleh Husam jatuh mendadak, manakala Nasha pula undinya mendadak naik. Nasha (480), Husam (281), dan Mat (261). Pengundi hanya 1044 orang. Tapi mengapa perlu menunggu keesokan paginya untuk mengumumkan keputusan??? Apakah.... Harap-harap ianya keputusan serta kehendak sebenar para perwakilan, dan harap-harap persepsi saya ini salah. PAS bukan macam UMNO! Bukan....bukan.... Tapi jika betul, orang yang patut dituding jari dan yang berperanan ialah............! Tidak, PAS bukan macam UMNO. UMNO sangat teruk dan jahat.



Tak apalah kalau ia kehendak perwakilan. Tapi saya frust la jugak, selepas dapat tahu keputusan. Terus tak jadi nak ambil beberapa keping gambar di Muktamar untuk diletakkan di dalam blog ini. Lagipun tempat para pemerhati agak gelap, kalau ambil gambar, sangat tidak jelas. Walaupun hati telahpun tawar, saya tetap teruskan juga memerhatikan muktamar. Kadang-kadang terhibur juga dengan celoteh serta bebelan 2 orang pakcik yang duduk di sebelah, mengomel tentang sikap perwakilan yang berucap, tidak berani menyentuh isu muzakarah. Saya tak tahulah ada atau tak perwakilan membangkitkan isu ini. Tapi sepanjang saya duduk di dalam stadium sehingga semua perwakilan habis berucap, saya tak dengar pun mereka membangkitkan isu itu.
Kebanyakan para perwakilan hanya membahaskan perkara yang remeh, dan kalau ada isu besar pun, ia langsung tiada sangkut paut dengan parti. Ada yang berpantun,dan ada yang bersajak. Cuma perwakilan dari Perlis (tak silap saya nama dia Ustaz Yusaini) agak berani sedikit, menegur Setiausaha Agung yang tidak pernah datang ke Perlis. Dan meminta pemimpin tertinggi memilih Setiausaha Agung yang kerap turun padang. Yang lain-lain saya agak kurang berminat untuk mendengar.
Saya keluar dari stadium selepas muktmar ditangguhkan pada jam 12.30 tengah hari. Saya mengambil masa seketika untuk menjenguk berbagai macam gerai jualan, dan kemudian terus balik. Saya sudah tidak berminat selepas mengetahui keputusan jawatan no.2 tidak berpihak kepada calon anti-muzakarah. Tapi, keputusan awal ataupun ramalan mengenai Naib Presiden tepat pula. tuan Ibrahim Tuan Man, Salahuddin Ayub, dan Mahfuz Omar berjaya mengisi kerusi no.3 tersebut, dan Mujahid Yusof Rawa serta Nik Amar kecundang. Kenapa keputusan bagi kerusi no.2 lain pula? Kehendak perwakilan........
Kalau benar kehendak perwakilan, sepanjang perjalanan pulang saya berfikir, para perwakilan ini tahu ke keputusan yang mereka buat itu? Adakah mereka redha PAS mendekati UMNO? Atau sekadar menyahut seruan untuk mempertahankan kepimpinan Ulama'? Adakah dengan memakai kopiah serta jubah sudah boleh dikira sebagai ulama? tanpa memikirkan apakah implikasi atau kesan daripada pemilihan itu. Nasiblah...

Saturday, June 6, 2009

Berita Muktamar


PAS JUGA MEMPERJUANGKAN BAHASA IBUNDA



Muktamar PAS ke-55 bermula dari semalam, dengan dirasmikan oleh Presiden, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, yang memulakan Ucapan Dasar Presiden yang bertajuk "Islam Memimpin Perubahan". Antara tetamu kehormat yang hadhir pada muktamar PAS semalam ialah Presiden PKR, Dr. Wan Azizah, Naib Presiden Azmin Ali, MB Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Zaid Ibrahim, pemerhati, wakil NGO dan wakil dalam dan luar negara, wakil gerakan Islam, serta petugas media.
Antara perkara penting yang berlaku semalam ialah PAS menganugerahkan Sasterawan Negara, Dato' A. Samad Said, dan bekas pengarah DBP, Dato' Dr. Hassan Ahmad dengan Anugerah Pejuang Bahasa. Ia merupakan kali yang pertama PAS menyediakan anugerah sebegitu. Pada pembukaan Muktamar Dewan Pemuda PAS di Gombak, A. Samad Said turut mendeklamasikan sajaknya.
Ini juga membuktikan PAS juga komited dalam memperjuangkan bahasa ibunda, dengan penyertaan pemimpin-pemimpinnya di perhimpunan Mansuhkan PPSMI pada Mac lalu. Ada juga pemimpin PAS yang bersungguh-sungguh memperjuangkan bahasa Melayu, contohnya Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS, iaitu Dato' Abu Bakar Chik, dan calon Timbalan Presiden, Mohamad Sabu. Itu merupakan salah satu sebab mengapa saya menyokong Mohamad Sabu.
KEPUTUSAN PERTANDINGAN
Semalam juga merupakan bermulanya pengundian yang dilakukan oleh para perwakilan, untuk memilih Naib Presiden dan juga Timbalan Presiden. Seramai 1,044 perwakilan yang boleh mengundi. Dan keputusannya akan diumumkan hari ini. Pasti yang menjadi tumpuan adalah kerusi Timbalan Presiden. Sudah banyak maklumat tidak rasmi yang diperolehi.
Melalui sumber-sumber yang tertentu, bagi jawatan Naib Presiden, Dr. Mujahid Yusof Rawa dan YB Nik Amar dijangka tersingkir daripada memenangi jawatan Naib Presiden. Dan jawatan itu dijangka akan diperolehi oleh Sallahuddin Ayub, Mahfuz Omar, dan Tuan Ibrahim Tuan Man. Bagi jawatan Timbalan Presiden pula, persaingan di antara Husam Musa dan Nasharuddin agak sengit. Dan Husam mendahului Nasharuddin. Dan Husam juga dijangka menang tipis.
Turutannya adalah 1) Husam 2) Nasharuddin 3) Mohamad. Sayangnya Mohamad Sabu agak terkebelakang. Tapi walaubagaimanapun sekurang-kurangnya Husam menduduki tempat pertama, dan Husam merupakan calon yang menentang pendekatan PAS-UMNO. Baguslah, walaupun agak terkilan juga dengan keputusan yang bakal menimpa Mohamad Sabu. Apa-apapun, keputusan yang mendebarkan akan diketahui pada hari ini.
Dan 1 lagi mesej penting, dengan muktamar PAS ini, kita dapat lihat perbedaannya dengan Perhimpunan Agung UMNO. Para perwakilan PAS ini beradab, tidak seperti UMNO, yang bersorak-sorak, ber "boo", menjerit-jerit. Jika perwakilan PAS ada pun, ianya adalah laungan serentak iaitu "Takbir".

Thursday, June 4, 2009

Muktamar : Pilihlah Calon Yang Tidak Mahu Bergabung Dengan BN



1. Hari ini berlangsunglah Muktamar Dewan Pemuda PAS yang dirasmikan semalam oleh "ular di dalam semak", di Taman Melewar. Kemudian baru diikuti oleh Dewan Ulama' dan Dewan Muslimat. Muktamar penuh diadakan pada hari Sabtu dan Ahad.

2. Tumpuan saya adalah mengenai pemilihan dan juga calon-calonnya. Ianya berkaitan isu dengan calon yang beria-ria mahu berbaik dengan UMNO dan juga calon yang tidak mahu bersama UMNO, dan beristiqamah di dalam perjuangan PR.

3. Memang terdapat berita-berita yang dikatakan sejak selepas PRU-12 lagi, sudah ada pemimpin PAS termasuk pemimpin tertinggi mengadakan beberapa kali pertemuan dengan pemimpin UMNO. Walaupun mereka menafikan, akan tetapi kebenaran akhirnya terbongkar jua, dan memaksa mereka meminta maaf kepada penyokong-penyokong PAS.

4. Sekarang "ular-ular" tersebut sekali lagi ada dicalonkan di dalam pemilihan kali ini yang dijangka sengit, lebih-lebih lagi kerusi yang bernombor 2, yang berperanan membantu Presiden PAS di dalam menentukan hala tuju parti Islam tersebut.

5. Media arus perdana yang menjadi hamba kepada UMNO terus sibuk menjaga tepi kain orang dengan turut membuat liputan terhadap muktamar ini. Ada dilihat menyerang calon yang tertentu, dan ada juga yang menyokong calon tertentu. Ini termasuk di dalam blog-blog yang menjadi pencacai UMNO. Ingatlah, jika ada pemimpin atau calon yang disukai oleh UMNO dan selalu diberi liputan, maka berhati-hatilah, kerana ia boleh diibaratkan seperti api di dalam sekam.

6. Begitu juga sebaliknya, dengan media yang selalu menghentam dan memburukkan paemimpin atau calon PAS, mungkin itulah yang sepatutnya kita memberi sokongan. Kerana dia tidak cenderung kepada UMNO, maka media-media menyerangnya.

7. Siapa yang selalu di serang oleh UMNO? Kerana pemimpin ini memang tidak suka adanya pendekatan di antara UMNO dan PAS. Iaitulah diantaranya ialah YB Khalid Samad dan YB Husam Musa. Khalid Samad di dalam blognya ada menghentam Nasharuddin Mat Isa yang dilihat cenderung untuk bergabung dengan UMNO dengan mengadakan berkali-kali perjumpaan dengan pemimpin UMNO.

8. Di Selangor pun ada pemimpin PAS yang cenderung kepada UMNO. Selepas keputusan PRU-12, berlari-lari pemimpin PAS ini menuju untuk bertemu dengan Khir Toyo. Siapa? Dr. Hasan Ali. Nasib baik Hasan Ali ini tidak bertanding, kalau tidak wajib dia ini jangan dibiarkan memenangi sebarang jawatan pun. Di Selangor, pesuruhjayanya mesti ditukar. Agaknya disebabkan bersikap tegas terhadap pendekatan UMNO-PAS, Khalid disingkirkan dari jawatan Timbalan Pesuruhjaya oleh Hasan Ali.

9. Begitu juga pemimpin PAS yang agak cenderung kepada UMNO, seperti Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mustafa Ali, yang memainkan peranan di dalam sebarang keputusan yang dibuat oleh Haji Hadi. Pesuruhjaya Terengganu juga patut ditukar. Mungkin Haji Hadi boleh menjawatnya sekali lagi. Dan Mustafa Ali lah salah seorang penyebab kegagalan 16 September.

10. Dengan ini, bagi saya, walau apa pun, Nasharuddin Mat Isa patut disingkirkan dari kerusi no.2 iaitu Timbalan Presiden, untuk diisi oleh salah satu daripada Mohamad Sabu dan Husam Musa. Mereka berdua ini dilihat tidak menyokong dengan pendekatan PAS-UMNO dan lebih selesa bersama Pakatan Rakyat. Pada para perwakilan PAS, pilihlah dengan bijak, atau selalu bersolat istikharah, agar tidak tersalah pilih. Dan tolaklah mana-mana calon yang dilihat cenderung kepada UMNO seperti Nasharuddin Mat Isa dan Mahfuz Omar.

Beberapa hari yang lepas ada penulis yang menjadi barua UMNO di akhbar Utusan mempersoalkan apakah salah dan dosa UMNO sehinggakan PAS tidak mahu berbaik. Saya akan menulis artikel mengenainya sedikit masa lagi. Mungkin selepas Muktamar. Saya akan buktikan UMNO memang tidak boleh dimaafkan, dan haram bergabung dengannya. Buat PAS, ingatlah seorang Mukmin tidak akan dipatuk pada lubang yang sama.

Nasharuddin terus menerus menafikan PAS tidak akan masuk UMNO. Ya memang tidak akan masuk UMNO, tapi untuk bergabung dengan UMNO mungkin YA! Kerusi Timbalan Presiden patut ditukar kepada yang lebih layak. Kita ada Mohamad Sabu dan Husam Musa. Pilih antara 2 ini. Saya terlebih dahulu menyokong Mohamad Sabu, dan berharap beliau memenanginya. SALAM.

Monday, June 1, 2009

1Malaysia Sudah Kena Tipu!

Manohara mencium ibunya, Daisy Fajarina



Tengoklah macam mana media di Malaysia ini menipu rakyatnya. Macam-macam cara dibuat untuk menutup kebenaran, dan menyiarkan yang baik-baik saja walaupun ada sesetengah perkara, kita lihat ianya elok, namun kebenarannya adalah sebaliknya..



Masih ingatkah lagi dakwaan kononnya Manohara Odelia Pinot (bukan M. Manoharan ADUN Kota Alam Shah), model keturunan Indonesia Perancis yang didera oleh suaminya, Tengku Muhammad Fakhry, kerabat diraja Kelantan? Bila perkara itu didedahkan oleh ibu kepada model itu, dengan segeranya ia ditangkis oleh media di negara ini, sedangkan pihak kerabat diraja Kelantan diam membisu.. Media negara ini menipu kononnya dakwaan itu palsu, dan menyiarkan beberapa keping foto yang menunjukkan kemesraan Manohara dan suaminya.



Saya pada ketika itu mengambil sikap berdiam diri dulu, sebab nak tengok perkembangannya, maklumlah kerabat diraja ni makhluk jenis gedebe, lebih sudu daripada kuah, jadi saya tak percaya dengan berita sebegitu. Akhirnya kebenaran terbongkar. Ketika ini Manohara sudah berada di samping ibunya, Daisy Fajarina, di Indonesia. Tak tahulah macam mana dia melarikan diri, khabarnya diambil oleh ibunya semasa berada di Singapura.



Selepas sampai di Indonesia, dia membuat kenyataan akhbar , dia menceritakan dia sering didera oleh Fakhry. Dan tidak bertindak seperti seorang suami, dan mengakui tidak lagi mencintai suaminya itu. Berikut adalah kenyataan dia;



"Very hapy, bisa pulang ke Indonesia, thanks every one, terima kasih untuk semuanya, you are the best,"



"Memang Mano mengalami siksa baik fisik dan batin selama berada dalam cengkaman Tengku. Mano diperlakukan seperti laiknya mainan tiap hari dan tiap malam. Jadi tidak ada satu fitnah pun yang dilempar mama ke Kelantan,"



"Sebaliknya apa yang dikatakan mereka telah memberi apartmen dan mobil itu semua fitnah. Jangankan untuk itu uang lamaran saja nggak ada."



"Soal Mano yang disilet-silet, itu semua betul apa yang dibilang, ada bukti-bukti dan ada visum,"



Inilah yang cuba disembunyikan oleh pihak media, dan kerabat diraja Kelantan. Biasanya yang banyak buat onar ialah kerabat diraja. Punca imuniti dan kuasa sultan ditarik pun adalah berpunca daripada kerabat diraja yang gila dari Johor tu. Semenjak krisis Perak, saya sudah tidak lagi menghormati Sultan-Sultan di negara ini, kecuali Sultan Terengganu.



Mereka ada pun tidak banyak memberi kesan kepada rakyat. Tapi yang menyebabkan institusi diraja tercemar adalah daripada perbuatan kerabat mereka sendiri. Jika dilihat dari kedudukan mereka yang agak "spesial", mungkin juga satu hukuman yang agak "spesial" patut disediakan untuk kerabat-kerabat diraja? Contohnya cucu sultan Johor, macam syaitan saja lagaknya.

Sunday, May 31, 2009

Tahniah, Dr. Mansor Othman

Akhirnya keputusan PRK N.12 diumumkan sekejap tadi, dan kerusi Penanti berjaya dipertahankan. Walaupun berdepan dengan berbagai-bagai karenah PDRM dan SPR sepanjang berkempen, namun hasilnya berbaloi. ADUN Penanti yang baru, Dr. Mansor Othman menewaskan ketiga-tiga calon Bebas dengan majoriti yang tinggi. Manakala ketiga-tiga calon Bebas hilang wang pertaruhan.


Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng , tadi mengumumkan bahawa Dr. Mansor Othman akan mengabgkat sumpah sebagai Timbalan Ketua Menteri 1 pada hari Rabu ini. Peratusan keluar mengundi adalah yang paling terendah di dalam sejarah, dan tidak seperti yang disasarkan, iaitu hanya 46.15% sahaja. Berikut adalah keputusan bagi PRK N.12 Penanti.


N12: PENANTI : 15,384
1. Mansor Othman (PKR) 6,052 undi
2. Aminah Abdullah (Bebas) 392 undi
3. Nai Khan Ari a/l Nai Keow (Bebas) 494 undi
4. Kamarul Ramizu Idris (Bebas) 56 undi

Jumlah pengundi 7,100

Peratus 46.15 peratus

Undi rosak 106 undi

Majoriti 5,558 undi.

Penyandang: Mohammad Fairus Khairuddin (PKR) Majoriti: 2,219 undi.



Tahniah Dr. Mansor. Jalankan amanah dan mandat yang diberikan dengan baik.

PRK Yang Membosankan


Biasanya setiapkali PRK diadakan, saya pasti akan menyelitkan beberapa kisah di lokasi pilihanraya di dalam blog ini. Tapi kali ini cukup berbeda, PRK N.12 Penanti, bagi saya inilah PRK yang paling membosankan, tiada isu yang menarik. Saya pun jarang mengikuti perkembangan mengenai PRK di sana. Mungkin salah satu sebabnya ialah UMNO/BN tidak menyertai PRK ini, dan menyebabkan ianya menjadi hambar.
Cuma sesekali saja saya ambil tahu sikit-sikit mengenai keadaan di sana melalui berita di televisyen mahupun internet. Gelagat calon PKR, Dr. Mansor Othman jarang sangat saya perhatikan, cuma saya agak "terhibur" sedikit dengan rentak dan tarian yang dilakukan oleh salah seorang calon Bebas, Aminah Abdullah, macam-macam pendedahan yang dibuat, sekadar mahu memeriahkan suasana, dedah sana, dedah sini, asalkan kain jangan tersingkap sudah.
Cuma satu yang menariknya ialah SPR dan Polis dilihat sudah mula mengambil alih tempat UMNO/BN. Biasalah, polong, kalau tuan tak ada lagi mengganaslah dia! Beberapa orang pemimpin PR, iaitu Badrul Hisham Shaharin (Ahli MKT Keadilan), N. Gobalakrishnan (MP Padang Serai), Zuraida Kamaruddin dan Lim Kit Siang dipanggil ke balai untuk memberi keterangan berhubung memainkan isu Altantuya dan Perak semasa berceramah, alasannya, ceramah seumpama itu mengandungi unsur hasutan dan boleh mengganggu ketenteraman negara! Macam-macam peraturan yang dibuat oleh polis untuk menghalang penceramah daripada memberi ceramah, sedangkan UMNO yang tidak bertanding turut terliur dan juga memberi ceramah, bahkan siap menghasut pengundi supaya jangan keluar mengundi. Tapi polis tak ambil tindakan pun.
Penceramah tak boleh cakap pasal Altantuya…tak boleh sentuh pasal Sidang DUN Perak..tak boleh pasang video…pembesar suara mesti tak boleh didengari diluar kawasan ceramah…semua kawasan ceramah mesti cerah…SB mesti dibenarkan mengambil gambar dan video….macam-macam peraturan baru yang tak masuk akal. Kemudiannya masalah ditimbulkan oleh SPR pula, SPR menetapkan bahawa pondok panas yang hendak didirikan mestilah bersaiz 8 kaki x 8 kaki, baru keluarkan arahan itu, sedangkan pondok panas sudahpun tersedia dengan saiz 20 kaki x 20 kaki. SPR mengeluarkan arahan baru, dan arahan tersebut terus daripada Putrajaya. Macam-macam karenah yang dibuat oleh SPR.
Apa-apapun, hari ini hari pembuangan undi. SPR mensasarkan 70% akan keluar mengundi. Setakat pagi ini, lebih kurang 15% saja yang keluar mengundi. PKR yakin bahawa majoriti kali ini bertambah berbanding pada PRU lalu. Pada PRU lalu, Fairus memperoleh 7,346 undi, menewaskan Abdul Jalil Majid yang mendapat 5,127 undi.
Khabarnya, 5000 ahli UMNO tidak keluar mengundi.

Friday, May 22, 2009

Keputusan Memihak Kepada Zambry



Seperti yang semua jangkakan, keputusan Mahkamah Rayuan memihak kepada Zambry, sekaligus menolak keputusan Mahkamah Tinggi. 3 panel hakim petang tadi memutuskan bahawa Zambry merupakan MB Perak. Hujah yang digunakan oleh mereka ialah hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Aziz Rahim membuat kesilapan dalam keputusannya, dan Sultan Perak layak melantik Zambry apabila Mohamad Nizar Jamaluddin hilang majoriti dalam DUN.

3 panel hakim tersebut ialah Datuk Md Raus Sharif, Datuk Zainun Ali, dan Datuk Ahmad Maarof. Peguam Nizar, Sulaiman Abdullah memberitahu mahkamah bahawa pihaknya akan mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan, yang merupakan mahkamah tertinggi di dalam perlembagaan. Itulah satu-satunya peluang dan harapan bagi Nizar untuk memperoleh keadilan. Kalau betul mahkamah itu bersih, esok mahkamah Persekutuan mesti menagguhkan keputusan Mahkamah Rayuan, on the spot, serupa dengan apa yang dilakukan oleh Mahkamah Rayuan, yang menolak keputusan mahkamah Tinggi pada keesokan harinya.

Kekosongan DUN Manek Urai dan PRK

1. Pagi tadi PAS menerima berita duka dari Kelantan apabila salah seorang ADUN meninggal dunia pada jam 5.55 pagi tadi. Haji Ismail Yaacob, 60, merupakan ADUN Manek Urai, meninggal di Hospital Raja Perempuan Zainab II.


2. Punca kematiannya kurang jelas, akan tetapi yang jelas Allahyarham telah lama menderita penyakit gout, dan sebelah kaki kanannya telahpun dipotong kerana menghidap penyakit kencing manis.


3. Ini merupakan satu kehilangan besar buat PAS Kelantan. Apa yang saya dapat tahu, walaupun Allahyarham tidak berpelajaran tinggi, tetapi beliau merupakan seorang wakil rakyat yang ramah serta baik hati dan juga prihatin. Pengundi di Manek Urai kehilangan seorang wakil rakyat yang baik.


4. Allahyarham mula memenangi kerusi DUN tersebut sejak tahun 1986. Terbukti kehebatan beliau kerana kekal menjadi wakil di kawasan DUN tersebut hingga sekarang, kecuali pada tahun 2004, apabila PAS Kelantan menggantikan beliau dengan calon lain, DUN tersebut jatuh ke tangan UMNO. Tetapi DUN Manek Urai berjaya di rampas kembali apabila PAS Kelantan mencalonkan Allahyarham pada PRU-12.


5. Berlaku satu lagi kekosongan kerusi DUN selepas Penanti. Ini bermakna SPR perlu mengumumkan tarikh Pilihan Raya Kecil dalam tempoh 60 hari.


6. Banyak betul PRK selepas PRU lepas. Pertamanya ialah Permatang Pauh, diikuti dengan Kuala Terengganu, seterusnya Bukit Gantang, Bukit Selambau, Batang Ai dan Penanti. Dan Manek Urai bakal menyusul.


7. Adakah ini satu ketetapan atau takdir yang ditentukan oleh Tuhan, supaya seluruh rakyat Malaysia dapat menyaksikan kejatuhan UMNO/BN? Dengan PRK diadakan berturut-turut?


8. Kawasan mana lagi yang bakal menjadi medan PRK. Bukit Lanjan? UMNO/BN sudah tidak berani menyuruh Eli meletakkan jawatan, kecualilah yang memainkan isu tersebut ialah pencacai-pencacai dan orang bawahan UMNO. Kota Alam Shah nyaris-nyaris berlaku PRK, tetapi M. Manoharan pula dibebaskan, kerana BN tidak sanggup menanggung malu.


9. Di Penanti pula, hari penamaan calonnya ialah esok. BN sudah mengumumkan tidak mahu meletakkan calonnya. KJ pula berkata ianya adalah satu protes terhadap pembangkang. Mereka mana berani mengatakan mereka takut pada kekalahan. Tengok saja mereka berdolak-dalik di Perak, mencuba sedaya upaya DUN tidak dibubarkan.


10. Adakah UMNO/BN akan meletakkan calonnya di Manek Urai sekiranya berlaku PRK di sana? Apa pula alasan yang diberi kalau tidak melatakkan calon?

Wednesday, May 20, 2009

Bloggers Menguasai Hampir Separuh Daripada Calon Muktamar PAS Ke-55



1. Menulis blog merupakan satu trend baru kepada kebanyakan orang di negara ini. Jumlah penulis blog di Malaysia sudah mencecah ribuan orang.
2. Blog digunakan untuk menyatakan pandangan, melontarkan idea, mengkritik, menyampaikan maklumat, informasi, berita terkini, serta menyampaikan mesej tertentu.
3. Di Malaysia, blog merupakan alternatif kepada media cetak dan media elektronik, terutamanya berkaitan dengan isu-isu semasa, dan juga politik.
4. Ini kerana semua media utama dikawal oleh pihak pemerintah. Selain itu, berita yang disampaikan di dalam blog lebih cepat daripada media utama.
5. Menulis blog ini tidak ketinggalan di dalam kalangan pemimpin-pemimpin PAS. Presiden PAS beserta Mursyidul Am sendiri menjadi blogger, begitu juga pemimpin-pemimpin yang lain, seperti Mohamad Sabu, Husam Musa, Ahmad Awang, Kamaruddin Jaffar, Dr. Syed Azman, dan ramai lagi.
6. Berita terbaru, hampir separuh daripada calon pemilihan parti pada muktamar ke-55 bulan Jun depan, merupakan penulis blog.
7. Dengan menulis blog, pendapat serta keperibadian yang terpancar daripada penulisan mereka dapat diketahui dengan lebih jelas.
8. Nampaknya, menulis blog juga memberi kesan dalam mendapatkan pencalonan. Teknologi yang ada harus dimanfaatkan sebaiknya. Kadang-kadang di sesetengah situasi, blog boleh digunakan untuk berkempen di alam maya.
9. Untuk membuat sebarang aduan atau laporan kepada YB-YB tertentu, tak perlu menyusahkan diri untuk pergi ke Pusat Khidmat Masyarakat, hantar saja komen di dalam blognya!
10. Teknologi yang canggih pada zaman ini banyak dapat memberi manfaat jika digunakan dengan betul. Namun begitu, keburukan serta kesan tidak baiknya juga ada.

Tuesday, May 19, 2009

BN Tidak Akan Bertanding Di Penanti

Semalam, Perdana Menteri, Najib Tun Razak berkata di dalam sidang medianya, BN tidak akan meletakkan calon di PRK Penanti, dengan meletakkan 3 alasan;


1. Kekekosongan kerusi itu bukan diperuntukkan oleh perlembagaan tetapi satu usaha PKR untuk menyelesaikan masalah dalamannya.


2. Pilihanraya kecil ini satu permainan politik pembangkang.


3. BN lebih mengutamakan khidmat kepada rakyat dan langkah memulihkan ekonomi negara.



Ulasan : Bukti BN takut untuk menghadapi pilihanraya kecil di Semenanjung selepas kalah teruk di Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, dan Bukit Selambau. Tapi tak mustahil mereka akan menaja calon Bebas untuk menentang calon PKR di Penanti. Semua jentera dan petugas PAS di seru mengerahkan tenaga untuk menghadapi PRK di sana.


UMNO/BN sudah semakin tidak relevan. Hanya satu-satunya survivor mereka ialah di Sabah dan Sarawak. Kalaulah PRK diadakan di sana, memang sah awal-awal lagi BN letakkan calon, seterusnya mencabar pembangkang untuk menyertainya. Mereka takut untuk buat Pilihanraya di Semenanjung, tengok saja Perak, sampai bila hendak ditunggu supaya DUN dibubarkan? Mereka akan buat apa saja untuk memastikan diri mereka terus berkuasa. Tapi keadaan ini tidak akan bertahan lama. UMNO selangkah demi selangkah menuju kehancuran.


Pasti ramai yang menggigit jari, maklumlah tempat PRK ni lubuk wang, banyak projek mee segera, kempunan semuanya nak merasa nikmat itu.

Friday, May 15, 2009

KUATKAN SEMANGAT, SDR LUTFI!


Pada malam 11 Mei lepas, anak kepada Ketua Pengarang Harakah, iaitu Ahmad Lutfi Othman telah dimasukkan ke dalam Hospital Ampang akibat demam denggi berdarah. Anaknya iaitu Ahmad Ikmal Syafiq, 13 merupakan anak ketiga beliau, dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana keadaannya semakin kritikal semenjak 3 hari yang lalu.


Dimaklumkan bahawa, anak Ketua Pengarang Harakah itu keadaannya tidak menunjukkan banyak perubahan dan masih di tahap kritikal. Selain itu, anaknya juga sudah 8 hari tak mahu makan. Tubuhnya tak bermaya. Ahmad Lutfi mengharap jasa baik orang ramai supaya mendoakan keselamatan anaknya itu.


Ramai warga kerja Harakah melawatnya di hospital itu. Turut hadir ialah Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah. Sama-sama kita semua mendoakan kesejahteraan untuk anak Lutfi supaya sembuh seperti sediakala.


Nota : Ahmad Lutfi Othman merupakan salah seorang penulis politik yang saya kagumi. Blog beliau di http://jiwapejuangkini.blogspot.com/