Wednesday, May 6, 2009

Benarkah Ia Kota Islam?



Semalam penulis meluangkan masa menonton TV3, dan terkeluar satu berita di mana Menteri Penerangan, Komunikasi, Kebudayaan, dan Warisan, Rais Yatim, mengumumkan bahawa Kuala Lumpur merupakan Kota Kebudayaan Islam, dan Yang Di-Pertuan Agong, Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin turut merasmikan majlis tersebut. Satu lagi solekan yang dibuat oleh pihak pemerintah yang mahu juga mempertahankan bahawa negara ini merupakan negara Islam. Penulis ingin tegaskan di sini, Malaysia bukan sebuah negara Islam, kerana langsung tiada ciri-ciri yang menggambarkan negara ini adalah negara Islam.


Semua ini adalah mainan politik. Semasa Madey mula-mula berkuasa dahulu, diperkenalkan Penerapan Nilai-Nilai Islam, itulah puncanya rasuah dan penyelewengan bermula dari zamannya, sebab ia dilaksanakan hanya untuk kepentingan politik! Selepas itu, timbalan dia pula, memperkenalkan Gagasan Masyarakat Madani, tapi negara terus dipalit dengan unsur-unsur yang bukan daripada Islam, tidak kiralah pemimpinnya kuat agama sekalipun. Turun Madey, naik pula Dollah Badwi, Islam Hadhari muncul. Entah ke mana perginya Penerapan Nilai-Nilai Islam dan Masyarakat Madani. Semasa era Islam Hadhari, politik wang semakin bercambah, kadar jenayah meningkat, jumlah anak luar nikah mendadak naik, sebab apa? Kerana Islam hanya diperkenalkan kulitnya sahaja. Dan terbaru, selepas Dollah turun, naik pula Najibs, dicampaknya Islam Hadhari, diperkenalkan One Malaysia. Apa semua ini? Islam yang diperkenalkan hanyalah untuk membantu mempertahankan imej seseorang pemerintah.



Cuba perhatikan bandaraya Kuala Lumpur sekarang, di mana Islamnya? Kota inilah tempat yang paling dibenci oleh penulis, tapi nak buat macam mana, penulis terpaksa pergi juga, kerana penulis belajar di sana. Kota yang penuh dengan najis, hasad dengki, penipuan, pengkhianatan, dosa, maksiat, dan bermacam-macam lagilah. Dilakukan oleh siapa? Majoriti Melayu yang beragama Islam. Di sini sudah terbukti, bahawa sudah tiada keberkatan di tempat sebegitu. Bukan niat penulis untuk memperlekehkan usaha menteri terbabit, tapi sebelum buat perkara sebegitu, eloklah basmi dahulu punca-punca kejahatan yang bersarang di Kuala Lumpur. Apa-apa perkara pun, baik ekonomi, perkahwinan, pergaulan, undang-undang, boleh diselesaikan dengan Islam (penulis meminjam ayat Anwar Ibrahim semasa dia masih Presiden ABIM).


Ini tidak, masih ada lagi pusat perjudian, arak dijual dengan terbuka, pusat pelacuran masih lagi beroperasi, maknyah serta bapuk masih lagi "berkampung" di Lorong Haji Taib, cubalah basmi dahulu "projek" di Jalan P. Ramlee, Bukit Bintang, dan lain-lain. Bukannya tidak boleh melaksanakan Islam di negara ini, cuma pemimpinnya sudah "ditutup pintu hatinya". Anggota kabinet lebih dari separuh beragama Islam, begitu juga umat Islam di negara ini, masih lagi melebihi 50%. Kenapa begitu susah untuk kembali kepada Islam? Bukannya Islam separuh-separuh. Kerajaan memperkenalkan satu dasar Islam, tapi dalam masa yang sama, masih lagi membenarkan judi, arak, zina, rasuah berleluasa. Ingatlah, kita hidup di dunia bukannya lama. Janganlah kita menuruti dan menjadi tukang angguk kepada orang yang salah, kalau kita menjadi sebegitu, maka samalah seperti kita menyembah mereka;


Dari Adi bin Hatim berkata : Sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah SAW membaca ayat ini : Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani

Mereka menjadikan rahib-rahib mereka, serta paderi-paderi mereka sebagai tuhan selain daripada Allah (at-Taubah : 31).

Maka aku berkata kepada baginda : Sesungguhnya kami tidak menyembah mereka.

Rasulullah bersabda : Bukankah kamu mengharamkan apa yang diharamkan oleh mereka, sedangkan Allah menghalalkannya, dan menghalalkan apa yang dihalalkan oleh mereka, sedangkan Allah mengharamkannya?

Aku menjawab : Ya. Rasulullah bersabda : Itulah yang dimaksudkan menyembah mereka.


(Hadis ini boleh didapati di dalam kitab Hadis 40 Imam Nawawi - ketika itu Adi Bin Hatim masih lagi dalam agama Kristian, tak lama kemudian, dia memeluk Islam).

Tuesday, May 5, 2009

Polis Oh Polis!


Sakit hati penulis apabila memikirkan tentang salah satu unit penjawat awam, yang mempunyai logo kepala harimau, beserta 2 kalimah suci di atasnya iaitu Allah dan Muhammad, tapi kelakuan mereka membelakangi suruhan serta arahan daripada Tuhan dan juga Rasul. Mereka hanya layak diberi gelaran "gangster" ataupun barua. Itulah polis diraja Malaysia (kenyataan penulis bukan untuk semua anggota polis, tapi 98% daripada mereka! 2% boleh dikira yang betul-betul jujur dan amanah). Buktinya :


1. Setiap laporan yang dibuat terhadap kes samseng, peras ugut, gangster, pukul, akan disimpan di bawah laci, tidak pernah mengambil tindakan. Kalau tindakan diambil, sudah lama kawasan "black area" di Kuala Terengganu sudah dibersihkan. Tapi oleh kerana sifat makan gaji buta mereka, mereka langsung tidak ambil peduli terhadap penjenayah, dan membiarkan penjenayah berleluasa.


2. Jelas, terang, dan nyata mereka merupakan alat kepada pihak pemerintah. Buktinya boleh dilihat di mana-mana. Yang lebih confirm adalah dari kelompok FRU serta SB, contohnya pernah satu ketika dulu di Sabak Bernam, markas PKN (Parti KeADILan Nasional) diganggu oleh polis, dan selepas itu Dr. Badrul Amin mendapat tahu anggota polis tersebut sudah dijamu dengan nasi oleh seorang YB UMNO. Pada PRU di Kuala Terengganu lepas, bandar tersebut boleh diibaratkan seperti "war zone", banyaknya kubu polis.


3. Jangan hairan dan pelik jika pusat judi, pelacuran, dan penjualan VCD haram masih beroperasi dan bermaharajalela, kerana mereka dilindungi sendiri oleh polis, malahan spy mereka pun ada daripada polis. Jangan nak menafikan, polis memang ada menerima duit kopi, berapa sangatlah gaji penjawat awam seperti mereka, nak tanggung anak bini lagi, harga barang naik, so nak ambil jalan mudah, terima sogokan!


4. Polis kita harapkan menjaga serta menjamin keselamatan orang awam, hatta dalam tahanan reman sekalipun, tetapi yang menyedihkan, mereka menjadi kaki pukul, ramai yang mendakwa dipukul oleh polis sewaktu dalam tahanan untuk mendapatkan maklumat, walaupun yang ditangkap tersebut belum lagi dibuktikan terlibat dengan jenayah. Contoh yang jelas, masih ingatkah mendiang A. Kugan? Dia dituduh terlibat dalam kegiatan mencuri kereta, baru dituduh, tetapi nasibnya berakhir apabila diseksa sehingga terbunuh semasa dalam tahanan. Cukup "persetan" sikap mereka, wajah saja Melayu, mengaku Islam.


5. Susulan daripada (4) diatas, jika kes sebegini berlaku, mereka (polis) sedaya upaya untuk menutup kesalahan mereka, serta melindungi pesalah polis tersebut, dengan memberi berbagai-bagai alasan.


6. Jangan marah atau melenting jika pengedaran dadah di negara ini masih meningkat, kerana yang ditahan dan ditangkap kerana mengedar dadah itu bukannya "tokey" dadah, mereka hanyalah diibaratkan sebagai "ikan bilis". Sedangkan ketua mereka sedang seronok bercanda dengan tokey besar.


Kesimpulannya, adakah mereka masih lagi boleh kita harapkan untuk menjamin keselamatan awam? Memang tidak dinafikan masih ada yang jujur, tapi bagi penulis, yang jujur itu jumlahnya terlalu sedikit. lebih kurang 2-3% saja, sedangkan Ketua Polis Negara sendiripun kita tak yakin dia itu betul-betul "bersih" daripada tuduhan rasuah 2 juta satu masa dahulu! Tak guna menyambut Hari Polis walaupun sudah berusia 200 tahun di Malaysia, tapi negara masih lagi dihantui oleh penjenayah-penjenayah tegar. Aduh malangnya rakyat Malaysia, adakah ini pembalasan Tuhan?

Monday, May 4, 2009

Haji Abdul Hadi Awang


Buku ini penulis terjumpa di rumah nenek pada beberapa tahun lalu. Tengok pada tarikhnya, ia dikeluarkan pada tahun 1984, bermakna buku ini sudahpun berusia 25 tahun. Masih elok, cuma muka depannya agak lusuh. Penulis membaca buku tersebut dan menghabiskannya sebanyak 2 kali. Macam tak percaya, Tuan Guru Haji Hadi, sekarang ini presiden PAS, sewaktu dahulu amat terkenal di seluruh negara.


Buku ini tajuknya Haji Abdul Hadi Awang : Hamba Allah Pemimpin Ummah, tulisan Jamhuri Badiuzzaman. Dakwa penulis buku tersebut, beliau mengikuti pengajian Haji Hadi di Masjid Rusila selama 3 tahun semenjak tahun 80-an. Dalam buku tersebut, penulis buku tersebut mendedahkan, terlalu ramai yang mahu mendengar pengajian agama yang disampaikan oleh Haji Hadi pada setiap pagi Jumaat, bermula jam 9 pagi hingga 10.30 pagi, angka pendengarnya dianggarkan mencecah 10 ribu! Diceritakan lagi, jika seseorang itu pertama kali mendengar kuliah Haji Hadi, maka dia akan rasa mahu mendengar lagi, sehinggakan ada yang menangis kerana insaf apabila mendengar kuliah Haji Hadi. Kaset ceramahnya pula, harga biasa ialah RM3, tapi di luar Terengganu, contohnya di Negeri Sembilan, Pahang, dan Perlis, harga kasetnya boleh mencecah sehingga RM5 atau RM6 sebuah. Penulis buku itu juga menceritakan serta memuji-muji sifat Haji Hadi yang warak, bersopan, baik, dan berakhlak mulia.


Memang penulis agak terkejut apabila mengetahui Haji Hadi agak popular di sekitar tahun 80-an. Ada seorang doktor menceritakan pada penulis, populariti Haji Hadi pada waktu itu mengatasi populariti Nik Aziz. Bahkan, akhbar mingguan Watan pada waktu itu menyiarkan pungutan suara terhadap tokoh-tokoh yang terkenal, antaranya ialah Mahathir di tempat yang pertama, Musa Hitam di tempat yang kedua, dan Haji Abdul Hadi jatuh pada tempat ketiga, diikuti oleh Kassim Ahmad pada tempat keempat. Mungkin pada awal 80-an, Malaysia dipengaruhi oleh angin Revolusi Islam Iran 1979, sehingga membangkitkan PAS di Terengganu pada 1982, dengan mendapat 5 ADUN daripada PAS, iaitu Haji Abdul Hadi (Rhu Rendang), Wan Muttalib Embong (Batu Burok), Mustafa Ali (Wakaf Mempelam), Abu Bakar Chik (Tepuh), dan Harun Taib (Manir). Jika ada soalan yang bertanya, antara Tuan Guru Nik Aziz dan Tuan Guru Abdul Hadi, siapa yang mula-mula mendapat gelaran "Tuan Guru?" Jawapannya ialah Haji Hadi. Beliau dipanggil "tok guru" pada awal 80-an sehingga sekarang pada usia lewat 30-an, sedangkan Nik Aziz mendapat title "tok guru" semasa PAS menguasai Kelantan pada 1990.


Pengaruh Tuan Guru Haji Abdul Hadi masih ada lagi sekarang, walaupun momentumnya tak sehebat 80-an dulu. Penulis berjaya mengenalpasti beberapa penceramah yang mengikuti gaya ucapan Haji Hadi sewaktu berceramah, antaranya Ustaz Nasaruddin Tantawi (Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat), Azman Shapawi (Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu), dan Mohd Nor Hamzah (ADUN Bukit Payong). Hari ini, penulis lihat, biasa saja kuliah pagi Jumaat yang disampaikan oleh Haji Hadi di Masjid Rusila, sama saja dengan mana-mana penceramah. Biasalah masjid di mana-mana penuh apabila yang memberi kuliah itu Haji Hadi. Penulis menjadi anggota jemaah Masjid Rusila sejak tahun 2007, 2 tahun lepas. Jumlah pendengarnya, sampai jugalah ke angka 1 ribu, tapi tidak lah seramai mana yang cuba digambarkan oleh penulis buku di atas. Di sini penulis ada mengambil beberapa keping gambar di Masjid Rusila pada beberapa minggu lalu.


Persoalannya, mengapa pengaruh Haji Hadi berkurangan, tak seperti "fenomena" pada tahun 80-an? Seperti yang digambarkan dalam buku, seolah-olah beliau ini ulama' besar suatu ketika dulu, bahkan pernah dibandingkan dengan Imam Khomeini oleh pelancong dari Perancis. Kehebatan Haji Hadi di Terengganu dulu, membuatkan UMNO menjadi resah, sehingga memaksa mereka memanggil Anwar Ibrahim untuk memberi ceramah di Marang, pada 14 Mac 1986, supaya menyerang serta memperlekehkan perjuangan Islam. Pada waktu itu Anwar mendakwa perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS adalah perjuangan "ayat Kerusi" dan "Kerusi Parlimen", menafikan usaha BN untuk membawa dasar Islamisasi di negara ini.


Mungkin keadaan sekarang sudah berubah, ramai yang mendapat populariti berbanding Haji Hadi. Penulis dapat perhatikan sekarang, Nik Aziz jauh lebih popular dari Haji Hadi. Tak tahu kenapa. Kemungkinan zaman kegemilangan Haji Hadi sudah berlalu..

Sunday, May 3, 2009

Mengapa Penulis Berjinak Dengan Berpolitik

Kehidupan penulis semasa kecil dahulu sama saja dengan kanak-kanak lain. Tiada apa yang hendak difikirkan, dan langsung tak tahu menahu tentang politik di tanah air. Sehinggalah akhir pada tahun 1998, masa itu penulis baru di darjah 3, semua pelajar di sekolah penulis pada waktu itu sibuk bercakap tentang Anwar dan Madey. Antara soalan yang popular pada waktu itu ialah "Kau sokong Anwar ke Mahathir?" Penulis yang langsung tak tahu menahu pada waktu itu, dan hanya mengenal Madey seorang saja sebagai PM, terus menjawab, "mestilah Mahathir". Selepas memberitahu jawapan tersebut, penulis terus digelakkan. Lama kelamaan barulah penulis tahu konflik di antara Anwar dan Madey. Pada waktu itu, kalau seseorang diketahui menyokong Madey, dia akan dicop sebagai "jahat". Kalau menyokong Anwar, barulah dikatakan baik. Namun, selepas 11 tahun berlalu, barulah penulis sedar bahawa kedua-dua "malaun" tersebut langsung tak boleh dipakai..


Sikap penulis pada darjah 3 itu merebak sehingga ke darjah 4 (tahun 1999), pada masa itu, PRU ke 10 semakin hampir, dan penulis hanya mengikuti orang sekeliling yang rata-ratanya membenci Madey, penulis mula didedahkan pada politik di usia sebegitu, dan akhirnya, lekatlah perkataan "Mahathir Jahat", "Mahathir Bapak Keling", dan "UMNO - Undur Mahathir Negara Okey". Keputusan PRU pada waktu itu mengumumkan bahawa negeri penulis iaitu Terengganu sudah jatuh ke tangan PAS. Apalagi, bersorak gembiralah pada waktu itu.


Selepas waktu itu, sedikit demi sedikit penulis mula tidak mengambil tahu soal politik, hinggalah habis UPSR, naik ke sekolah menengah, satu fikiran baru mulai timbul, penulis mengambil keputusan untuk tidak mengambil tahu urusan politik, kerana pendapat penulis pada waktu itu, "tak kira siapa memerintah, asalkan negara aman, sudah." Pada waktu itu, penulis sudah melupai Reformasi 1998 secara total. Langsung tiada sedikit wajah Anwar Si Mata Lebam di dalam fikiran, dan penulis hanya menyokong dan agak pro kepada BN, tanpa mengetahui fakta. Waktu itu penulis diantara Form 1 hingga Form 3. Penulis langsung tak ambil kisah siapa yang memerintah negara, asalkan negara selamat. Sikap ini hinggalah usia meningkat ke 16 tahun (2005). Dalam tahun tersebut, terjadilah satu peristiwa, yang menyebabkan tanggapan penulis terhadap BN berubah 100%, terjadi pada pertengahan tahun 2005, apabila satu peristiwa menyayat hati berlaku di Kampung Bujal, Kemaman, Terengganu. Rumah serta masjid dirobohkan, tanpa belas kasihan, oleh barua-barua Idris Jusoh.



Sejak peristiwa itu, penulis insaf dan mula menanam kebencian terhadap UMNO/BN dan juga Idris Jusoh, MB Terengganu pada masa itu. Tapi, penulis masih tidak ikut perkembangan politik tanah air pada waktu itu, dan hanya menyokong PAS dari belakang, support segala usaha PAS. Bila penulis mula mengikuti perkembangan politik tanah air? Sewaktu habis SPM, hujung tahun 2006. Isu-isu popular pada waktu itu ialah kejahatan Khir Toyol terhadap Kampung Berembang, dan juga kes pembunuhan Altantuya. Setiap 2 minggu penulis pasti akan membeli Harakah. Minat terhadap politik bertambah apabila penulis mula belajar di Madrasah al-Hidayah (rujuk profile penulis di http://diarireformis.wordpress.com/), pada tahun 2007. Masa itulah penulis terdedah dengan ceramah politik, selalu membeli vcd ceramah, tambahan pula ilmu agama semakin meningkat, membuatkan penulis terus-menerus menyokong perjuangan Islam.


Selepas keluar dari tempat itu pada Jun 2007, penulis semakin kerap pergi mendengar ceramah politik, manakala VCD ceramah yang terkumpul sudah mencecah ratusan keping, dalam masa beberapa bulan. Agak seronok apabila mengambil tahu tentang politik. Banyak maklumat, informasi, serta pengetahuan yang berguna penulis peroleh, membuatkan penulis membuat keputusan untuk terus menjauhi UMNO. Tahun 2008, musim PRU 12, penulis buat pertama kali melibatkan diri dalam berkempen, dengan membantu seorang calon PKR bertanding. Minat terhadap politik terus berkembang di dalam diri penulis sehingga sekarang, tak pernah jemu atau bosan, di samping rajin membaca untuk menambahkan pengetahuan tentang suasana politik dahulu dan sekarang, dan penulis rajin membeli buku-buku politik, untuk dibuat rujukan dan kajian, menggantikan buku-buku belajar yang sepatutnya penulis baca, kerana buku-buku tersebut langsung tiada guna, tidak menarik minat langsung.


Dan sekarang ini, penulis melangkah lebih maju, dengan mula terjun ke dalam dunia blog, dan melahirkan blog ini, sejak dari Februari lepas. Penulis dapat rasakan, kerjaya penulis pada masa yang akan datang akan berkaitan dengan politik..

Saturday, May 2, 2009

Mohamad Sabu Timbalan Presiden PAS


1. Tak lama lagi, berlangsunglah Muktamar Tahunan PAS, yang kali ini bertempat di Stadium Malawati, Shah Alam. Pemilihan pucuk pimpinan parti ini pasti meriah kerana beberapa pemimpin bakal "bertukar kerusi", dan juga ada muka baru yang mahu bertanding. Penulis hanya ingin memfokuskan kerusi Timbalan Presiden yang agak "panas".


2. Beberapa nama pemimpin timbul untuk mencabar Ust. Nasharuddin di kerusi no.2 parti itu. Nama-nama tersebut ialah Mohamad Sabu, Husam Musa, Dr. Haron Din, Ust. Azizan Razak, dan Hassan Ali. Bagi penulis, penulis bersetuju jika Tuan Haji Mohamad Sabu dipilih menduduki kerusi Timbalan Presiden bagi menggantikan Nasharuddin Mat Isa. Ada beberapa sebab kenapa penulis amat berharap supaya beliau menduduki tempat itu. Sebelum itu, penulis ingin menyatakan sebab kenapa nama-nama selain dari Mat Sabu atau Abang Mat tidak perlu menduduki kerusi tersebut.


3. Datuk Husam Musa merupakan orang yang agak "dingin", dan juga kurang mesra alam, terutamanya bila berhadapan dengan orang yang tidak dikenali. Lagipun, beliau masih perlu menjalankan tugas beliau dengan teliti sebagai seorang exco kerajaan negeri Kelantan, dan juga sebagai ADUN. Dia ini juga dilihat agak "tidak kena", kerana begitu bernafsu mahukan jawatan no.2 dalam parti, dan seperkara lagi, dia dilihat agak pro kepada Anwar Ibrahim, dan juga dari kalangan profesional-liberal.


4. Bagi Dato' Dr. Haron Din pula, eloklah beliau mengekalkan saja jawatan sebagai Timbalan Mursyidul Am, kerana pemimpin seperti beliau lebih sesuai untuk memimpin rohani, dan lebih bagus jika beliau membantu tugas Tuan Guru Nik Aziz, Mursyidul Am PAS. Ustaz Azizan Razak, tanggungjawab beliau agak berat, kerana perlu menjaga negeri Kedah, kerana beliau adalah seorang Menteri Besar, dan juga ADUN Sungai Limau, jadi, dikhuatiri beliau kurang menumpukan perhatian jika jawatan serta tugasnya terlalu banyak.


5. Dan pendapat bagi Hassan Ali, dia juga mempunyai tugas tersendiri, sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor, exco kanan kerajaan Selangor, dan juga ADUN Gombak Setia. Masalah di MAIS pun dia dah pening kepala, inikan pula nak tambah bebanan nakkan kerusi Timbalan Presiden. Tumpukan saja kerja di Selangor tu! Jangan nak sibuk-sibuk ambil bahagian nak bertanding.


6. Kenapa Mohamad Sabu layak menduduki tempat Timbalan Presiden, untuk membantu Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang selaku presiden, kerana beliau bukannya seorang ADUN mahupun Ahli Parlimen. Jadi beliau tidak banyak tugas untuk diselesaikan, dan hanya perlu menumpukan perhatian terhadap jawatan Timbalan Presiden sahaja, disamping membantu tugas Presiden parti.


7. Beliau seorang yang mudah mesra, walaupun terhadap orang yang masih belum dikenali. Tidak lokek dengan senyuman, berbeda jauh dengan Husam Musa. Penulis masih ingat, betapa ramahnya Mohamad Sabu ini semasa penulis makan semeja dengannya sewaktu beliau datang ke Kuala Terengganu, dan juga perbualan penulis dengannya sewaktu di Masjid Negeri. Memang seorang yang mesra dan senang mendampingi orang-orang bawahan. Lagipun, bagi penulis, Mohamad Sabu ini adalah "diantara" golongan profesional dan golongan agama. Kedudukannya adalah ditengah-tengah.


8. Mohamad Sabu merupakan antara pemimpin PAS yang banyak menerima ujian dan dugaannya, contohnya pernah dikenakan ISA, beberapa kali ditahan polis, dilokap,turun naik mahkamah, dan lain-lain. Selalu berada di mana-mana demonstrasi, malah memimpin perhimpunan dan perarakan aman. Beliau juga seorang pemimpin yang lantang jika berucap, walaupun kadangkala agak celupar. Walaupun celupar, elok juga, ia boleh mengimbangkan di antara presiden dengan timbalan presiden. Jika presiden PAS nadanya lembut, maka timbalannya mestilah sebaliknya.


9. Dan yang paling penting, Mohamad Sabu merupakan orang yang arif dan faham akan perangai Anwar Ibrahim, kerana beliau pernah duduk di dalam ABIM, maka beliau boleh "mengawasi" tindak tanduk politik Anwar Ibrahim. Beliau juga pernah menjadi "seteru" Anwar. Ini boleh dipastikan supaya unsur-unsur mahupun anasir-anasir Anwar Ibrahim dapat dihalang dan juga dibendung daripada merebak ke dalam PAS. Kalau tidak, apa bedanya antara PAS dan PKR.


10. Inilah diantara alasan penulis yang menginginkan Tuan Haji Mohamad Sabu menjadi Timbalan Presiden PAS. Harap menjadi kenyataan. Sekian.